Semoga Ia Mengukir Senyuman...

Semoga Ia Mengukir Senyuman...
Karya-karya Nazrie Haslieanie

Sunday, August 14, 2016

Kisah Orang, Orang Kisahkan

Usai pertemuan dengan penulis yang terlibat sama dalam buku yang saya tangani. Beliau juga merupakan seorang penulis dalam antologi cerpen yang turut saya sertai. Pada waktu itu, sempat juga beliau menyelit tentang pesta buku tempoh hari. Katanya, ada seorang penulis muda yang datang ke reruai hampir setiap hari dan bukunya laku terjual. Pertemuan dia dengan pembaca juga membuatkan bukunya laris. 

Itu namanya usaha. Saya terkejut. Secara peribadi saya tidaklah mengenalinya begitu mendalam namun ada banyak kisahnya dikisahkan kepada saya. Namun suatu hal yang saya pelajari, kita sibuk kisahkan orang begitu begini. Seperti contoh, dia tak bagus. Perangainya teruk (ini komen tentang keperibadian). Manuskripnya macam orang tak pernah menulis tapi perasan bagus (ini komen tentang bahannya). Semua ini sekadar contoh. Tapi mungkin kita tak sedar, seseorang itu ada usaha di luar kemampuan kita. Mungkin kita juga tak sedar yang bahan yang bagus, jika disimpan di dalam stor dan tidak terjual maka penulis dapat apa? Sekadar habuk di kulit buku-buku itu saja? 

Sekurang-kurangnya dia ada kemahiran bercakap dan bertemu dengan orang. Harapkan saya? Sikit-sikit malu, sikit-sikit tak mahu 'paksa' orang beli buku sebab kasihan. Aduhai, sebab itu tak boleh jadi penjual! Teknik pemasaran awal-awal lagi sudah gagal. Diam tak diam memang saya mengaguminya apabila mengetahui kisahnya daripada sisi yang berlainan. 

Kisah yang orang kisahkan tu, dengar saja tapi jangan sampai kita bersikap tidak adil pada pihak lagi satu sebab kita pun tak tahu pihak yang mengisahkan kisah itu sejauh mana benarnya.

Sunday, August 7, 2016

Karya 2016

Jika diikutkan, sasaran saya pada tahun ini ialah 10 buah buku diterbitkan. Namun, semua itu hanyalah perancangan sahaja. Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, dua buah buku sudahpun ditangguh penerbitannya pada tahun hadapan. Begitu juga buku kanak-kanak saya yang sepatutnya pada tahun ini, dianjak juga ke tahun depan. Positifnya, tahun hadapan saya masih ada buku baharu. Cuma jangan dianjak lagi tempohnya sudahlah! Tak sanggup rasanya.

Pada tahun ini, karya yang tidak dirancang langsung ialah buku antologi puisi (yang masih belum saya tuntut). Sesuatu yang baharu juga tu sedangkan saya tak pandai tulis puisi. Jika berkelapangan, saya kongsi puisi-puisi itu di sini nanti. Untuk hari ini, saya persembahkan karya-karya saya yang sudahpun terbit pada tahun ini dan bakal terbit tidak lama lagi. 

***Antologi Sedetik.doc***


*** Antologi Cerpen Untukmu Ibu***

 ***Antologi Puisi Bahtera Peradaban***

 ***Antologi Cerpen Sarkas II***

***Antologi Cerpen Cupcakes***

Masih ada 5 bulan dalam tahun 2016 ini untuk saya merealisasikan impian saya itu. Diharapkan impian 10 buah buku itu bakal menjadi nyata. Insya-Allah... amin... 

2016, Kembalinya ke Dunia Penerbitan Buku

Tahun 2016, saya kembali ke Kuala Lumpur. Di sini, saya ditawarkan jawatan editor di sebuah syarikat yang cukup dikenali. Saya teruja? Jika ditanya, saya mampu jawab biasa-biasa saja. Kembali menjadi editor bermakna kembali merentas masa juga kurikulum. Kali ini subjek yang dikendalikan juga bertambah. Memandangkan saya masih di rumah lama, perjalanan ke tempat kerja juga memakan masa dan saya cepat penat. Apa kena mengena penat dengan perkara yang saya nak kongsi? Apabila penat, saya tidak mampu lagi jadi 'burung hantu' seperti dulu. Nak menulis, walaupun otak kembali meligat dengan macam-macam hal namun kekuatan saya tidak lagi seperti selalu. Eh, cakap macam dah tua sangat, kan? Hahaha...

Kembali ke 'lubuk rezeki' sememangnya memberi banyak pengalaman baharu buat saya. Jangan tak tahu, saya ditemuramah oleh pelajar universiti bagi tugasan mereka tentang proses kreatif saya. Terkejut juga kerana siapalah saya ini namun saya tetap teruja kerana mereka sudi menjadikan saya sebagai tempat rujukan. Maaf juga kepada mereka kerana bagi saya tidak banyak membantu. Sekadar informasi biasa saja yang dapat saya kongsi. Yang paling teruja mereka menambah dalam laporan mereka, tentang pandangan mereka terhadap saya. Allah... terima kasih atas pandangan positif itu.

Kemudian, saya dihubungi oleh pensyarah saya untuk berkongsi cerita kejayaan saya dalam bidang penulisan malah saya 'diangkat' oleh mereka sebagai penulis prolifik. Sekali lagi, sesuatu yang di luar imaginasi saya. Prolifik, saya belajar perkataan ini sewaktu saya di universiti. Pada waktu itu Tuan Ahadiat Akashah menjadi tamu dalam forum yang dianjurkan oleh pihak fakulti. Saya hanya penonton. Tidak pernah terdetik bahawa saya akan menjadi prolifik (itu pun bukan saya yang berikan 'pengiktirafan'). Dua orang penting, iaitu Puan Pengerusi Syarikat saya serta Puan Pensyarah yang berikannya. Saya hanya mampu bersyukur ke hadrat-Nya dan 'pengiktirafan' itu memberi saya satu inspirasi untuk terus berkarya dan bukan menjadi bodoh sombong dengan nikmat kurniaan-Nya.

Tidak lama selepas itu, seorang lagi pelajar tingkatan enam juga menghubungi saya dan meminta maklumat ringkas tentang saya. Saya memang tidak keberatan untuk beri kerjasama namun sebolehnya para pelajar juga tidak keberatan untuk kongsi perkembangan kerja tersebut dengan saya sebagai rekod sendiri sahaja.

Atas dasar kepercayaan juga, saya diberi tanggungjawab oleh senior dalam bidang penulisan untuk menjadi penyelenggara dalam antologi cerpen. Sekarang, antologi itu berada pada peringkat pengumpulan bahan sekali gus pada peringkat penyuntingan. Apa yang membuatkan saya teruja, beberapa orang rakan saya turut sertai antologi itu yang sekian lama saya nantikan mereka untuk menulis. Tahniah buat mereka!

Alhamdulillah, itulah seputar perjalanan saya pada 2016. Walau apa jua yang saya alami, saya mesti terus berkarya. Penat? Waktu melayan penat sudah habis. Sekarang saya mahu tumpu memuntahkan segala macam idea yang bersarang di minda. Jumpa karya saya nanti ya!

Jalan Tuju Jaya Itu Berliku

LUAHAN: Pada baru-baru ini saya berasa sedikit kecewa apabila dua buah buku saya bersama seorang rakan (kami menulis bersama) dikatakan bakal terbit pada tahun depan. Sudah dijanjikan untuk terbit, apa mahu lagi kan? Ya... itu memang benar tapi manuskrip itu kami hantar kepada penerbit pada penghujung 2013. Kemudian, 2014 sepi... lalu saya minta rakan saya itu (kerana dia yang ditugaskan untuk tanya tentang perjalanan manuskrip) kepada pihak penerbit. Maka pada 2015 kami menyemak pruf nya. Pada 2016 dikatakan bahan itu bakal terbit (mungkin) pada pesta buku antarabangsa (tapi sudah lepas). Kali ini saya pula yang tanya tentang manuskrip itu. Kata editor, bakal terbit pada pesta buku negeri. Namun masih tiada. Selepas itu, mungkin diterbitkan pada penghujung 2016 dan paling baharu status yang dimaklumkan kepada rakan saya (kerana saya sudah penat mahu tanya) buku-buku itu bakal terbit pada tahun depan. Harapnya bukan pada bulan Disember tahun depan. Kami menunggu anak-anak kami itu dilahirkan dengan penuh pengharapan... kami faham, editor pun susah hendak jangka bila buku mahu terbit jika pihak atasan tidak memaklumkan apa-apa. Malah kami faham, pada kali ini juga akibat daripada pelbagai hal maka buku yang menjadi mangsa namun kami ini bukan lagi anak-anak kecil yang boleh disuap ke mulutnya dengan alasan sebegitu sedangkan buku lain (mungkin sebab orang-orang itu merupakan orang penting atau ternama) diterbitkan pula.
Sudahlah lama tidak tulis apa-apa di blog. Sebaik tulis, saya membebel tentang hal sebegini. Maaflah, saya mahu katakan hal sebenar. Jika tidak, orang anggap... kita tabur manuskrip saja, terus orang terima. Sedangkan hakikatnya sukar ditelan... 

Sunday, November 1, 2015

Cerpen Pertama dan Berikutnya

Sejak saya menjadi penulis sepenuh masa iaitu selama hampir 6 bulan ini, boleh saya katakan sudah 11 buah cerpen berjaya saya hasilkan. Walaupun pencapaian tidaklah membanggakan seperti mana penulis yang memang pakar dalam penulisan cerpen, saya tetap memandang 11 buah cerpen itu sebagai satu pencapaian yang agak baik sebabnya, saya sudah terlalu lama berhenti menulis cerpen (lebih tepat cerpen dewasa).

Seawal penglibatan saya sebagai seorang penulis, saya menulis cerpen dan hantar ke majalah Mingguan Wanita pada masa itu yang memang perlukan cerpen yang banyak kerana ia terbitan secara mingguan. Jadi, saya dan rakan-rakan pada masa itu ambil peluang dan setiap kali cerpen terbit di majalah, kami sangat teruja hingga mahu saja lompat bintang. Di bawah ini, merupakan anak sulung saya yang memberikan laluan kepada saya untuk terus berkarya.


***Alahai Ayah, terbitan Mingguan Wanita tahun 2005***


Seperti kebanyakan karya yang saya hasilkan, ia tentang kekeluargaan dan hubungan antara anak dan ayah. Pada masa ini masih terlalu hijau dalam bidang penulisan. Namun, ia pengalaman yang berguna buat saya.

Berbalik kepada 11 cerpen yang dihasilkan itu, ia terhasil kerana beberapa pertandingan yang dianjurkan oleh beberapa penerbit. Namun, daripada 11 buah cerpen ini, dua daripadanya ditolak penerbit. Cerpen yang ditolak itu mungkin sangat tidak kena temanya kerana bahasa yang saya gunakan seperti bahasa purbakala hehehe... manalah orang sekarang hendak baca, kan? 

Cerpen kedua yang kononnya ditolak, membuatkan saya bertambah terkilan hingga saya bertanyakan kembali sebab cerpen saya itu ditolak. Namun, mungkin sudah rezeki saya sebenarnya cerpen itu tidak ditolak pun cuma pengendali tersalah pandang. Alahai, kalau saya tak berkeras (dan masih seperti dahulu yang selalu saja membiarkan segala keputusan penerbit, pasti saya tak berpeluang untuk lihat cerpen saya itu diterbitkan. Cerpen yang sememangnya ditolak pula saya tidak diberikan apa-apa sebab munasabah. Jadi, saya ambil keputusan tidak perlu lagi menulis untuk penerbit itu. Saya bukan berputus asa tapi dari setiap bahan yang ditolak, saya semakin tahu bahan yang kena dengan cara rumah penerbitan tersebut.

Cerpen saya yang lain-lain pula adalah kerana saya ingin sekali terlibat dengan hal-hal kesusasteraan yang dianjurkan oleh salah sebuah penerbit yang berdekatan dengan negeri saya. Ini juga peluang yang saya tak lepaskan. Saya hantar dua buah cerpen ke penerbit berkenaan (dan walaupun masih belum terima apa-apa perkhabaran, saya akan menantikan dengan penuh sabar)

Cerpen lain juga yang dihasilkan mesti menggunakan tema yang diberikan. Dari situ, penulis perlu menjadi lebih kreatif dalam menghasilkan karyanya. Bagi saya pula, cerpen yang menggunakan tema sebegitu adalah unik. Saya menghantar setiap satu tema hanya sebuah cerpen manakala penerbit sebuah lagi, tidak perlu menyebut tema di dalam cerpen berkenaan. Hanya perlu hantarkan karya bebas.

Dua buah cerpen saya yang sudahpun diterima (dan salah satunya berada dalam antologi Sedegup Cinta) dengan senang hati saya menunggunya ke tangan saya. Cerpen yang sebuah lagi itu sudah masuk fasa penyuntingan dan semakan (agar penulis tidak memplagiat karya kerana timbul isu besar yang terjadi baru-baru ini jadi penerbit makin berhati-hati dan sewajarnya begitu).

Kesemua pengalaman menulis cerpen ini memang menyeronokkan. Cuma rasa sedikit pening sebab nak fikir cerpen yang lebih baik dan tak klise. Nanti ada yang kata cerita terlalu klise dan sudah dijangka pula pengakhirannya. Apapun, diharapkan tujuh buah cerpen saya yang lain itu berjaya mendapat tempat di hati penerbit sekali gus diterbitkan. Jika ia diterbitkan, jadi adalah peluang saya untuk ada banyak buku pada tahun 2016 (upss, salah satu impian sudah terburai rahsianya...) (^^,)V 



Friday, October 30, 2015

Apa yang Ada Sepanjang 2015?

Apa yang ada? Banyak sebenarnya. Antaranya, empat buah buku saya terbit termasuk yang paling baharu (cerpen dewasa). Wah, dah tulis cerpen dewasa sekarang? Alahai, jangan disulitkan benda yang mudah, jangan disempitkan benda yang sebenarnya sangat terbentang luas. Apabila bercakap soal cerpen dewasa atau novel cinta mesti kita terbayangkan kisah-kisah cinta yang ditayangkan di dalam televisyen itu, bukan? Ia memanglah sebahagiannya saja namun cinta itu luas sekali pengertiannya. Eh, apa kata kisah dan buku 'cinta' saya tu saya perincikan dalam entri yang lain dan kali ini kita reviu dulu serba sedikit buku saya yang ada pada tahun ini dan pada 2014 yang saya berhenti menulis seketika dulu tu. Terimalah... dipersembahkan...

***Apabila Ibu Ambil Cuti, novel kedua terbitan ITBM***

TAJUK: APABILA IBU AMBIL CUTI
TERBITAN: ITBM
TAHUN TERBITAN: 2014
KISAHNYA: Kisahnya pasal apa? Kenapa pula ibu ambil cuti? Ke mana? Ke Paris, London, New York, Bangsar South? Hah, semua ni akan terjawab apabila buku ini berjaya rakan-rakan hadam. Kisah remaja yang santai saja sebenarnya dan juga ceritanya biasa tapi insya-Allah setiap daripada buku-buku saya tentu ada mesej yang hendak disampaikan. Ya lah, kalau tak ada mesej hendak disampaikan, takkanlah buku ini mendapat tempat di hati para pemilih dari Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada tahun 2015 dan membelinya sebanyak 502 naskhah. Alhamdulillah itu rezeki. Rezeki tak disangka buat seorang "Penganggur Kelas Pertama"

***Ketiga-tiga buku bergambar pertama saya***

TAJUK:BOLEHKAH AIMAN..., PARI MAHU TERBANG, DONAT BERWARNA-WARNI TERBITAN: BUKU PRIMA
TAHUN TERBITAN: 2015
KISAHNYA: Buku bergambar pertama saya. Masa hasilkan buku-buku ini banyak sekali kesukaran saya hadapi dan juga pengalaman baharu yang saya kutip di sepanjang menyiapkannya. Pertama sekali, menghasilkan buku bergambar bersama pelukis yang saya cari sendiri atau saya akan 'dipasangkan' dengan mana-mana pelukis yang mungkin saya tidak kenali sama sekali. Alhamdulilah, seorang rakan editor membantu saya dengan memperkenalkan kepada sepupunya yang juga seorang pelukis. Sepanjang proses itu juga, beberapa kali saya diminta untuk mengubah lukisan (kerana pelukis pertama tidak menepati kehendak pihak penerbit hingga akhirnya saya diperkenalkan oleh editor berkenaan). Saya juga membayar sejumlah wang bagi lukisan untuk buku-buku itu (pada waktu ini belajar keluar modal sendiri). Rasa parah juga tapi itulah pelaburan yang saya lakukan sebab pelukis tersebut tidak mahu berkongsi royalti. Sebuah surat perjanjian turut kami tandatangani. Sepanjang proses penulisan juga, oleh kerana kekangan masa, saya pernah menaip bahan saya ini sewaktu saya menunggu bas di hentian bas hanya dengan menggunakan telefon bimbit yang kecil pada masa itu. Mata pun boleh sakit tapi memandangkan saya perlu mencuba untuk ambil peluang ini, saya tidak hiraukan semua itu. Apatah lagi saya pernah juga ke kafe siber semata-mata mahu siapkan bahan berikutnya demi mengejar tarikh akhir yang semakin hampir. Namun syukur kepada-Nya, kerana ketiga-tiga manuskrip saya diterima untuk diterbitkan.

***Sedegup Cinta, kisah cinta yang pelbagai***

TAJUK: ANTOLOGI CERPEN SEDEGUP CINTA
TERBITAN: SO PUBLICATION (DENGAN KERJASAMA GMM)
TAHUN TERBITAN: 2015
KISAHNYA: Apabila terbaca satu tawaran menulis cerpen, saya mencubanya. Walaupun tahu ia mungkin akan menjadi sebuah cerita yang kaku (mungkin) namun bukan saya yang menilai. Lagipun salah satu sebab saya suka untuk menulis dalam antologi ini adalah kerana ia kisah cinta yang sentiasa berlegar di sekeliling kita yang mungkin jarang kita beri perhatian. Cinta itu luas. Bukan terbatas pada lelaki dan perempuan ajnabi saja. Cinta pada kucing, pada agama, bangsa, kerjaya. Itu kategori cintalah tu! Tapi istimewanya penerbitan kali ini, ia tidak dibayar royalti atau belian putus akan tetapi kami para penulis yang terlibat perlu membayar sejumlah wang (untuk kos percetakan dan sebagainya) dan diberikan 20 buah naskhah buku untuk dijual. Ia masih segar dan wangi di tangan saya sebab baru keluar dari gudang. Saya pun masih dalam proses membuat pengeposan. Insya-Allah dan alhamdulillah untuk setiap perkara indah yang terjadi pada tahun ini. Sasaran tahun 2016? Hemmm... (^^,)

Kenapa Saya Mulakan Blog?

Sudah lama. Malah terlalu lama saya mendiamkan diri. Entri terakhir saya juga berkenaan buku Rifqi Di Dunia Nyum-nyum. Yang mana buku itu sudah beberapa kali saya peroleh royaltinya. Walaupun berkongsi royalti dengan rakan penulis tapi itulah antara buku kebanggaan kami kerana pertama kali kami melakukan JV (joint venture) - walaupun mungkin istilahnya tidaklah tepat. Berbalik kepada tajuk di atas, 'Kenapa Saya Mulakan Blog?'. Ya, beberapa tahun lalu saya berkeputusan untuk memulakan blog kerana saya nak buku-buku saya dan hasil kerja saya dikenali. Sepanjang tempoh itu juga, ada jatuh bangunnya saya sebagai seorang penulis tambahan penulis kecil (dan saya akui masih kecil sekarang ini). Bukan menjadi penulis selebriti, itulah akibat yang saya tanggung walaupun saya sendiri tidak gemar untuk menonjolkan diri. Akibat yang saya tanggung ialah, "Siapa Nazrie Haslieanie?". Sekali lagi, suka saya tegaskan, saya tidak mencari publisiti kerana saya bukanlah artis tetapi saya mahu karya-karya saya dikenali. Insya-Allah saya akan menantikan itu penuh sabar dengan berkarya dengan lebih baik lagi selepas ini. Sebab lain kenapa saya mulakan blog adalah kerana saya mahu tulis dan terus tulis dengan bahasa yang terjaga (kerana saya tidak sangat menjaga ejaan, tatabahasa dan segala hukum hakam bahasa apabila saya menulis di laman sosial. Jadi, blog menjadi satu wahana untuk saya menulis dengan lebih baik sekali gus membantu saya memperbaik hasil penulisan saya. Harapnya... Sepanjang tempoh saya berdiam diri, banyak perkara yang terjadi. Saya tidak sempat untuk mencoret apa-apa di blog kerana terlalu sibuk melunaskan tugasan dan impian orang lain hingga melupakan impian sendiri namun pada awal bulan Mac (jika tidak silap saya). Sekali lagi saya melepaskan jawatan sebagai orang yang bertanggungjawab mencantikkan bahan-bahan hingga menjadi buku. Pada masa itu saya mendapat tawaran sebagai seseorang yang di luar (sedikit) daripada bidang yang saya ceburi selama 9 tahun namun jodoh, ajal, maut itu bukan di tangan saya. Hanya kerana saya tidak mampu untuk mengawal tekanan yang mendatang, sekali lagi saya berkeputusan untuk berhenti kerja dan kini hampir 6 bulan saya sudah pun bergelar 'Penganggur Kelas Pertama' (saya sendiri yang menamakannya sebegitu) kerana pada zahirnya menganggur daripada tugasan yang dulu tapi bersyukur kerana dapat menjadi seseorang yang saya impikan iaitu Penulis Sepenuh Masa... Alhamdulillah (^^,)V

Saturday, June 28, 2014

Rifqi? Siapa Itu Rifqi?

Hahaha... saspen tajuk saya pada kali ini kan? Sebenarnya, selain Rifqi di alam nyata iaitu sepupu kesayangan saya, sebenarnya ia merupakan nama watak dalam buku terbaharu saya iaitu "Rifqi Di Dunia Nyum-nyum". Pada mulanya tajuk ini dicadangkan sebagai "Pengembaraan Nyum-nyum" namun ditukar atas nasihat penerbit. Begitu juga nama watak yang dicadangkan telah menimbulkan kekeliruan Puan Editor. Tapi, saya baik-baik saja menerima pandangan. Inikan demi kebaikan... Jangan bersikap mendabik dada kerana kita tak tahu apa yang telah dirancang oleh pihak penerbit. Buku ini menemui "peminat" sekitar bulan Mac. Belum cetak lagi kawan-kawan sudah "cop" dan mahu beli. Saya sangat terharu. Dan saya juga kali ini sudah berani buat promosi dan jual buku sendiri. Saya berikan hadiah (sebagai penghargaan) kepada pembeli terawal. Rasa seronok pula melalui pengalaman baharu jual buku sendiri. Yang saya fikirkan bukan pulangan tapi sokongan kawan-kawan tu buat saya sangat terharu. Di sini saya "tampalkan" beberapa gambar yang berkaitan dengan buku Rifqi tersebut.
- Kulit hadapan buku Rifqi -
- Sepuluh pembeli utama yang bertuah -
- Inilah hadiahnya... kecil tapi bermakna... yang penting ikut tema buku... :-) -

Monday, June 9, 2014

Lama Menyepi...

Sekali lagi, saya menyepi. Pada kali ini terlalu lama malah sangat lama. Ya, alasannya juga masih sama. Saya kesibukan. Sekarang bertambah sibuk kerana mempromosi sendiri dan juga menjualnya kepada rakan-rakan terdekat. Buku apa? Ya, buku baharu sayalah! Pada tahun ini ada dua buah buku baru (mungkin tiga atau empat? Upppsss...) itu masih lagi belum pasti dan saya tidak akan seenaknya berbicara jika sesuatu hal itu belum pasti dan sahih. Kena sah! dulu barulah saya akan mengiakannya. Semoga saya bertambah rajin mengemaskini blog dan luangkan banyak masa untuknya. Pada masa yang sama saya juga perlu siapkan beberapa manuskrip untuk beberapa buah rumah penerbitan. Semoga semuanya berjalan lancar dan segala rintangan dapat dihadapi dengan ketenangan. Insya-Allah.

Friday, October 18, 2013

Terapi Diri Melalui Pembacaan

Usai menjalani proses terapi diri dengan membaca buku penulis kegemaran saya iaitu Norhisham Mustaffa (yang saya panggil Pak Cik Hisham). Ya, saya ambil masa yang agak lama untuk menghadam isi kandungan buku ini kerana ada sahaja dugaan yang menerpa. Buku Persinggahan yang saya rasa tak perlu saya rungkai isi perutnya kerana jika anda mencarinya di enjin carian Google, akan ada blog yang menjelaskan tentangnya. Buku ini tidak saya beli secara segar dari kedai buku. Kebetulan saya terjumpanya di kedai buku secondhand. Mungkin sudah rezeki saya. Dan sebenarnya masih mengharap jika buku-buku malar hijau begini dapat saya temukan di mana-mana tapi kalau ada ulang cetak itu lebih berbaloi-baloi... Tidaklah malu jika mahu meminta tanda tangan penulis kelak. :)
Tentang buku ini yang ingin sekali saya kongsi ialah tatkala membacanya atau hasil penulisan lain Pak Cik Hisham tentunya saya tersenyum sendiri. Apabila saya terbaca perkataan seperti berlentang kalang, berpeluh rejap, soksek-soksek, sakler dan banyak lagi perkataan yang mustahil untuk saya senarai panjangkan di sini membuatkan saya terbuai bagaikan kembali ke ‘tanah air’ (kononnya saya perantau yang jauh sekali tinggalnya). Bukankah sesuatu yang menyeronokkan, yang indah, yang mencuit rasa apabila membaca hasil tulisan yang tertera perkataan yang biasa digunakan atau lebih tepat dialek yang dituturkan dieja dan menjadi perkataan yang akhirnya termaktub dalam sesebuah buku? Saya tunjukkan kawan-kawan makna perkataan yang saya ambil dalam Pusat Rujukan Persuratan Melayu @ DBP.
Dulu saya pernah mempersoalkan adakah dialek-dialek begini dikira sebagai Bahasa Melayu Rendah? Seperti mana yang pernah saya diberitahu contohnya tentang sebuah buku yang menulis dialog tentang dialek Kedah atau Melaka (jika tak salah perkiraan saya) seperti ‘Ulaq melingkaq atas pagar’ (sesuatu seperti ini)? Namun jika sudah termaktub dalam Kamus Dewan, maka bukankah ia sudah menjadi bahasa yang utuh penggunaannya dan boleh diguna pakai dalam mana-mana buku penulisan kreatif tanpa perlu menyoal itu dan ini? Atau bagaimana? Dalam Kumpulan Cerpen Pemberani ini juga, ada satu cerpen yang bertajuk Ceritera Sebuah Kampung yang menggunakan 'ambo' (kata ganti nama diri pertama yang pada masa belajar di sekolah dulu cikgu Bahasa Inggeris saya kata, ia bermaksud 'humble'. Jadi sesiapa yang menggunakan 'ambo', orangnya tentu sekali 'humble' ;-) dan 'kelik' yang bermaksud balik. Perkataan ini dicondongkan. Saya sedang mencari jawapan. Kepada tuan atau puan editor yang tahu apakah relevannya silalah maklumkan kepada saya eh, ambo ni... (^^,)v
*** Kumpulan cerpen yang memuatkan 16 buah cerpen yang bagi saya semuanya menarik belaka. Kata orang, kalau dah suka semuanya pasti sempurna... hehehe... dan buku ini diedit oleh sifu saya tau...

Wednesday, October 16, 2013

Menjadi Penilai Manuskrip Pula? Layak kah?

***Ini bukan rumah saya... Inilah RUMAH PENA yang berwajah baharu!*** Ya, saya berada di Rumah Pena. Pada suatu Ahad nan lalu. Pada mulanya hampir mahu membatalkan niat untuk menghadirkan diri kerana rakan saya yang sepatutnya menjemput saya pada jam 7.30 pagi tertidur. Saya pula bagaikan Patung Cendana berdiri di tepi jalan selama 1 jam setengah. Fuh! Hampir hilang sabar dibuatnya tapi mujurlah kerana nekad, rakan saya itu tetap ajak saya pergi dan ya, saya mahu katakan... berbaloi-baloi menghadirkan diri. Mujurlah majlis masih belum bermula. Bak kata kawan saya sewaktu sampai "Aku fikir hanya 'golongan-golongan' kita sahaja (nanti akan saya jelaskan sebabnya). Terasa kerdil pula... Ya, sangat kerdil kerana setelah masuk ke dewan (tempat bengkel dijalankan, barulah kami tahu kami bersama siapa di dalam bengkel tersebut).
*** Suasana sewaktu bengkel berlangsung *** Paginya sewaktu bersarapan, saya bersama dengan seseorang yang sungguh mesra. Di kala beliau 'tumpangkan' kopinya di meja kami, saya berkata "Puan, don't forget your coffee". Beliau menyambut pesanan saya dengan berkata "Sudah berapa kali pagi ini saya makan. Di hotel sudah makan, di sini pun makan lagi. I love food" Saya kemudiannya membalas "Me too". Lepas itu barulah saya tahu beliau ialah Puan Azmah Nordin. Oh, malunya... sebab tak kenal penulis tersohor... Ya, kerdilnya kami kerana bengkel tersebut turut dihadiri oleh Dr. Zurinah Hassan, PM Dr. Lim Swee Tin, Dato' Baha Zain dan ramai lagi yang mungkin saya sendiri, kerana kedangkalan saya tidak kenal mereka semua. Bengkel yang penuh warna-warni itu dimulakan dengan pembentangan oleh Dr. Salleh (Presiden PENA)yang kemudiannya mengusik Dr. Zurinah yang masuk sedikit lewat dan lalu depan khalayak dengan berkata "Model lalu... model 70-an" dan kemudian disambut oleh gelak tawa kami semua dan kelihatan Dr. Zurinah tersipu-sipu malu. Yang paling saya tak akan lupa apabila kawan saya kata "Aku demam hari ni (besoknya). Mungkin semalam sebab jumpa para senior yang berperangai 'pelik-pelik' (maksudnya kelakar dan bukan seperti orang dewasa. Lagak mereka juga seperti kami-kami sahaja. Alahai, para penulis, para pemuisi... orangnya tentulah berseni... halus dan ada karakter yang tersendiri. :)
*** Saya bersama Dato' Baha Zain dan kedua-dua orang sifu yang amat saya hormati. Hanya sempat ambil gambar bersama Dato' Baha kerana telefon bimbit saya sangatlah canggih *** Berbalik kepada Bengkel Penilai Manuskrip ini, sebenarnya kami (editor) yang dijemput bukanlah layak hendak menjadi penilai seperti tokoh yang disebut di atas tetapi sekadar perkongsian maklumat yang lebih menyenangkan kerja pelbagai pihak kelak dan saya, tentunya merasakan bengkel ini amat bermanfaat kerana di dalamnya turut disebutkan karya-karya yang akan dipilih dan yang tidak akan dipilih oleh pihak PENA dan ITBM. Sambil menyelam minum airlah! Hehehehe... Sebaik pulang dari bengkel itu, banyak ilmu bermanfaat yang diperoleh yang kemudiannya saya kongsi bersama rakan penulis agar mereka dapat menghantar karya ke ITBM dan yang penting diterbitkan. Sedikit saya kongsikan input yang saya peroleh daripada bengkel tersebut antaranya pihak ITBM & PENA akan menolak manuskrip buku kanak-kanak seperti buku bergambar kerana tiada nilai sastera di dalamnya. Kemudian, cerita-cerita cinta mudah,ala... seperti yang kebanyakannya di pasaran kini. Turut digalakkan bagi penulis yang mahu menghasilkan cerpen agar menghantar kumpulan cerpen dan seboleh-bolehnya bukan antologi cerpen kerana jika pihak PENA & ITBM mahu menilainya agar sukar (kerana ramai penulis) Nah, sekarang saya perkenalkan... inilah wajah-wajah yang selama ini mencantikkan lagi tulisan kalian di luar sana. Helaian demi helaian diteliti agar karya kalian menjadi cantik malah sangat cantik.
*** Saja saya letak bingkai yang berbunga-bunga... biar mereka mengedit dengan hati yang lebih berbunga riang... :p *** Bengkel tersebut memang meninggalkan kesan buat saya. Baik dari segi menambah semangat (kerana pada hemat saya, inilah dunia yang perlu saya kembangkan... dunia penulisan dan bergaul dengan mereka yang sewajarnya agar dapat mengutip ilmu-ilmu daripada mereka yang arif. Kalau ada bengkel seperti ini lagi, tak salah kalau jemput editor kerdil ini ya? (^^,)V

Sunday, August 18, 2013

Antara Buku Kebanggaan Saya

Wah, tajuk entri kali ini seolah-olah 'pilih kasih' pula. Buku-buku saya yang lain itu macam mana halnya? Semuanya saya suka dan bangga namun 'Budak Tin' ini paling saya banggakan kerana mungkin penerbitnya merupakan salah sebuah penerbit besar tapi tidak sesekali memperbesar diri mereka dengan ayat-ayat yang tidak enak didengar. Apatah lagi membuatkan penulis-penulis kecil berasa bertambah kecil dan turut berkecil hati hehehe. Yang saya banggakan, pada bahagian belakang itu tertera perkataan PENA. Oh, kononnya buku saya ini dikategorikan sebagai sastera (yang mengikut pemahaman saya ayatnya mestilah bombastik, penuh metafora serta kiasan-kiasan atau bait-bait yang sangat indah. Pabila saya katakan kepada seorang rakan yang saya sedang menulis untuk rumah penerbitan itu, ada rakan yang mengatakan "Wah, selepas ini awak akan seiring dengan SN A. Samad Said lah!" Oh, tak lah sampai begitu. Jauh sekali kelayakan saya apatah lagi ilmu-ilmu saya berbanding beliau. Saya tidak menulis untuk menjadi sebahagian daripada mereka. Cukuplah saya menulis untuk saya namun bukan syok sendiri. Andai ada teguran yang membina saya akan ambil sebagai panduan untuk menjadi lebih baik tentunya. Sewaktu buku ini sudahpun diterbitkan, seorang sifu menghantar mesej di dinding laman sosial saya dengan mengatakan "Biarlah kita menulis buku kerana kita ghairah akan buku dan dunia penulisan. Menulis memang untuk mendapatkan keuntungan material. Tapi biarlah material itu datang bersama-sama 'roh' sebagai seorang penulis. Maka, paling tidak tulis dan terbitkan sebuah buku setahun dengan penerbit yang turut sama menerbitkan karya A. Samad Said, Sutung Umar RS, Omar Mamat, Rejab F.I., Marsli N.O., Norhisham Mustafa, S.M. Zakir, Shamsuddin Othman, Rahimidin Zahari dan banyak nama besar yang lain. Biarlah di antara celah nama besar tersebut terselit nama Nazrie Haslianie ~ Sifu Mat Jack. Terima kasih!!! Saya akan terus berkarya...

Sedikit Cercaan Tidaklah Menggoyahkan!

Kiranya tidak perlu saya perkenalkan siapa beliau yang melontarkan kata-kata ini. Saya terpaut pada kata-kata ini. Kata-kata yang membangkitkan saya dari sedar bahawa hidup ini tidak hanya mempunyai jalan yang lurus. Jalan yang berliku-liku pasti turut ditempuhi. Saat saya menulis dan apabila menjerit meminta hak saya, saya dilontar dengan kata-kata yang mengatakan "Kamu ini bukan penulis hebat mana pun" > Begitulah seolah-olahnya... Kata-kata yang akan sentiasa melekat di hati saya agar menjadi peringatan supaya saya sentiasa sedar diri yang saya hanyalah penulis kecilan dan tiada nama yang gah! Satu kes yang lain pula apabila acapkali saya meminta penjelasan tentang manuskrip yang terkepam atas alasan yang sama, saya dibandingkan pula dengan penulis yang menulis bersama dengan saya yang mempunyai nama dan bukunya laku dengan baik tentunya bahawa "Penulis itu tidak kisah pun! Beliau tulis buku banyak dengan syarikat kami" > yang seolah-olah menyatakan 'Berapa buku yang kau ada hinggakan kau mahu memekik terlolong di sini? Gah mana nama kau atau hebat mana atau laku sangatkah karya kau yang kau mahu melalak di sini?" Itulah secebis kisah saya penulis biasa-biasa dengan karya yang biasa-biasa dan tidak pernah laku dengan baik pun. Hanya biasa-biasa juga. Sejujurnya saya sendiri tidak meletakkan harapan yang tinggi pada setiap karya-karya saya kerana saya sedar yang tahap penulisan saya masih biasa-biasa sahaja. Tak apalah yang biasa-biasa pun. Yang penting saya terus berkarya dan post ini sekadar menyatakan apa yang terbuku di hati, sesungguhnya sedikit cercaan tidaklah menggoyahkan malah mengingatkan... hanya terima kasih yang mampu diungkapkan... (^^,) *gambar di atas, diambil dengan niat daripada https://www.facebook.com/Dailyinspirationandmotivation

Saya Memang Pemalas!!!

Kali terakhir saya melihat post saya ini adalah pada Januari 2012 dan saya tergerak hati untuk menulis blog lagi setelah setahun kemudian malah lebih. Ya, saya malas untuk menulis blog kerana banyak hal yang berlaku. Pada bulan Mei 2012 saya melepaskan jawatan di syarikat lama dan pada Jun 2012 pula saya diterima ke syarikat yang baharu. Kata bekas bos saya, "Sekurang-kurangnya pengalaman awak semakin luas dan resume awak akan menjadi 'cantik'. Eprk! Baiklah, saya terima nasihat itu. Pada bulan Mei itu juga (Pesta Buku Antarabangsa KL), saya bertemu dengan seorang editor yang sangat ramah dan menyuntik kata-kata semangat kepada saya agar saya menulis untuk syarikatnya walaupun pada mulanya saya berasa segan. Beliau tidak putus-putus berkata "Penulis yang kecil akan menjadi seorang penulis yang berjaya juga kelak"... dan saya pegang kata-kata beliau hinggalah karya saya diterbitkan pada tahun ini. Pada tahun 2012 juga banyak kisah-kisah yang suka duka (mungkin lebih kepada duka saya lalui) dan berlarutan hinggalah ke tahun ini. Perihal kisah duka yang dilalui itu membuatkan benak saya yang kurang rasional ini kerap sahaja bertanya "Kenapa semua ini terjadi?" Hati kecil pula dan sahabat yang baik menasihati "Tuhan mahu berikan kau pengalaman. Kau orang yang sangat kaya dengan pengalaman" dan setelah kata-kata itu diungkapkan, saya terfikir sejenak... saya bukan orang yang bijak pandai... orang yang luas pembacaannya namun saya ditakdirkan jadi penulis kerana saya menyintai apa-apa bidang berkaitan dengan penerbitan buku malah saya diberikan kelebihan untuk mencari ilmu baru dalam setiap buku saya (sekurang-kurangnya ilmu itu baru buat saya). Malah pengalaman saya yang serba sedikit saya jadikan panduan semasa menulis apatah lagi pengalaman yang saya amati daripada kisah orang lain. Sekurang-kurangnya Tuhan mahu menjadikan saya insan yang lebih baik. Lebih dewasa, lebih banyak pengalaman dan mengambil iktibar daripada segala sikap-sikap manusia terhadap saya. Dan, di saat ini pada jam 1.52 pagi waktu tempatan, pada 18.8.13 saya berjanji, daripada pengalaman itu akan saya garap menjadi sesuatu yang bakal memberikan saya hal-hal yang indah. Inshaallah... Doakan saya... (^^,)V

Thursday, January 12, 2012

Syukur, Masih Terjual dengan Baik...

Judul yang Terjual antara 1000 - 1999 Unit bagi Tahun 2011


Alhamdulillah... masih ada rezeki buat saya pada tahun ini. Buku Bacakan Saya Satu Cerita (BSSC) masih terjual dengan baik. Mengikut perkiraan, sudah 4 atau 5 tahun buku ini diterbitkan dan masih terjual dengan baik. Memandangkan inilah hasil bagi langkah pertama saya dalam bidang penulisan ini, tentunya saya sangat berasa bangga dan gembira.

Baiklah, mari saya kongsikan cerita saya yang terdapat dalam buku ini. Ceritanya sangat ringan tetapi mempunyai moral dan mesej yang jelas. Amat sesuai bagi para ibu bapa yang ingin membacakan untuk anak-anak atau bagi anak-anak yang ingin membacanya sendiri. Selamat membaca ya! (Klik bagi mendapatkan paparan yang lebih besar. Kalau tidak, kawan-kawan perlu menggunakan kanta pembesar pula untuk membacanya! He...he...he...

Nah, lagi satu...


Jika kawan-kawan masih tidak dapat membacanya dengan baik di skrin ini, apa tunggu lagi? Pergilah ke kedai buku dan sila dapatkan buku ini. Bukan sahaja cerita saya malah kawan-kawan dapat membaca cerita-cerita yang lain juga, daripada penulis ternama juga antaranya Pak Rejab (Rejab F.I), Kursyi Hirdan dan ramai lagi! Jadi, tak rugi membelinya. Jangan lupa dapatkan buku ini ya! (^^,)V.

Thursday, December 22, 2011

Berita Tergempar!!!

Hemmm… kawan-kawan, sila jangan terkejut dengan perkara yang ingin saya kongsikan pada hari ini. Hemmmm… (aik, hemmm lagi? Hahahaha). Semalam, seperti kebanyakan hari selepas waktu bekerja, saya akan ke ‘mall’ yang berdekatan dengan tempat saya bekerja. Seperti selalu juga, rutin saya ialah masuk ke kedai-kedai buku yang ada di situ. Walaupun hanya sekadar mencuci mata dan sesetengah penulis mengatakan bahawa sekadar mencium bau buku-buku baru. Hemm...(kenapa banyak hemm ni?).

Saya ke sana kerana ingin bertemu dengan seorang rakan. Namun sebelum ke kedai makan, saya masuk ke kedai buku yang tak perlu saya sebutkan namanya. Cukup sekadar saya katakan yang kedai buku itu menjual buku-buku second hand dan harganya tentu sekali amat murah. Kebanyakkannya ialah buku-buku berbahasa Inggeris serta majalah-majalah lama. Saya pernah bertanya cara untuk menjual buku-buku terpakai ini kepada pekerja di situ. Buku-buku di kedai tersebut tersangatlah banyak. Oleh kerana tempat itu agak kecil dan sempit, ada buku-buku diletakkan di atas lantai sahaja.

Beberapa bulan yang lepas, saya ke sana dan mendapati buku penulis kegemaran saya ada di situ. Jadi, saya membelinya. Namun rak bagi buku-buku bahasa Melayu hanyalah satu rak. Itupun tak penuh. Di bawah rak tersebut, diletakkan majalah-majalah Mastika dan komik-komik berbahasa cina.

>>> Inilah rak yang saya maksudkan.


>>> Kelihatan sebuah buku yang cukup saya kenali.

Pada kali ini juga saya ke rak yang sama dan perkara yang mengejutkan saya ialah, banyak buku-buku berbahasa Melayu yang kavernya masih baru! Malah saya ambil satu persatu dan ternyata, tajuk-tajuk buku tersebut (yang saya biasa lihat di kedai buku Popular) turut berada di sana. Malah, sebagai orang penerbitan juga, saya mula menyiasat tahun cetakan buku-buku tersebut pada bahagian prelim. Mengejutkan! Semuanya buku-buku cetakan 2011. Maknanya buku-buku baru!

Naluri penyiasat saya semakin membuak-buak. Saya panggil penjaga kedai tersebut yang merupakan warga Filipina. Jadi, saya mesti berbahasa Inggeris jika mahu tahu lebih lanjut. Maaf, google translation ditutup pada blog ini (hahahaha).

”May I know who sold these books to you? It is from personal collection or from publisher?” Tanya saya tergagap-gagap. (Maaf, bahasa Inggeris saya tidak bagus!).
”Err... it is from individual who came and sold to us,” katanya pula.
“Oh I see. No, I just curios. Actually I am an editor so I know whether this book is new or not,” kata saya sambil menunjukkan cara untuk mengetahui tahun cetakan sesebuah buku.
Dia mengangguk faham.
Tapi saya masih tidak berpuas hati. ”Some of these books are written by my friends (and myself-ingin saja saya jerit begitu. Tapi jeritan itu terlekat di kerongkong sahaja.) Like this book,” kata saya sambil menunjukkan buku sahabat saya Kawan atau Lawan yang baru sahaja kami berasa gembira kerana terbit lagi sebuah bukunya pada tahun ni.


>>> Buku saya, dua buah (huuuu) dan buku rakan saya. (juga dua buah yang saya nampak)

Wajah gadis itu termanggu seketika dengan pernyataan saya.
”Oh, maybe the collectors don’t want to keep these book and sold it right?” Kata saya mengakhiri perbualan sambil melemparkan senyuman yang manis namun sedikit luka di jiwa. Persoalan saya, siapakah collector itu? Jika orang perseorangan, mengapakah ada lebih daripada sebuah buku? Banyak juga buku-buku di situ yang masih baru. Saya juga sempat membelinya (hahahaha). Buku Diari Mat Despatch dan Selasa Bersama Morrie yang sudah lama saya pesan tapi masih belum mendapat maklum balas. Siapa? Siapa? Dan siapa? Itu yang menjadi tanda tanya. Ada sesiapa yang boleh memberikan jawapan? (^^,)V


>>> Akhirnya menjadi milik saya...masih baru walaupun harga 'kurang' hemm... maafkan saya Tuan Bahruddin Bekri...

Wednesday, December 21, 2011

Suasana Sepi...

Malam ini saya tidur agak awal. Namun saya terjaga pada pukul 2.30 pagi tadi tatkala teringatkan sesuatu hal yang masih belum saya sempurnakan. Suatu impian, suatu azam yang saya tanamkan tapi masih tidak bercambah hasilnya.

Sedar tak sedar sudah hampir dua bulan saya tidak menulis apa-apa di sini. Juga tidak menulis novel atau cerita kanak-kanak lain. Sedangkan perancangan ada saya buat. Tunggu masa untuk berjuang saja. Saya terlalu sibuk barangkali.

Tiada topik yang ingin saya kupas pada waktu-waktu begini walaupun banyak hal yang bergelodak di dalam jiwa. Hal bayaran yang masih belum dilunaskan sang penerbit, surat perjanjian masih tidak dihantar posmen (atau lebih tepat kerana penerbit masih belum menyediakannya buat saya, soal manuskrip yang mendapat maklum balas yang sedikit sebanyak membuatkan saya malas mengambil tahu lebih lanjut mengenainya,tentang status buku yang masih meragukan. Sudah dicetak, sedang dicetak atau memang tidak dicetak! Tentang banyak perkara lain yang masih juga membuatkan saya gusar sekaligus membuat banyak pertikaian. Hmm...entahlah!
Malam ini suasananya sepi. Yang pasti, tiada kena mengena dengan entri saya pada kali ini. Jumpa lagi! (^^,)V

Thursday, October 27, 2011

Bertemu Kawan Lama


Eh, betul ke tajuk di atas? Kawan lama? Ya, betullah Nazrie! Kami mula kenal semasa chat di chatbox KarnaDya dan dari situ banyak hal penulisan yang kami kongsi hinggalah selama dua tahun tanpa kenal siapakah yang empunya diri. Buku dia atas ialah buku terbaru sahabat saya ini. Jangan lupa membacanya. Saya juga akan membacanya nanti dan akan previu di blog ini. Tunggu ya!
>>> Entah apa yang dibincangkan dengan Szalies ni. Rancak sungguh berbual.

Pertemuan saya dengannya di Ekspo Buku Islam di KL Sentral baru-baru ini mengujakan. Manakan tidak, setelah sekian lama barulah kita bersua malah banyak juga ilmu-ilmu baru yang saya kutip daripada Szalies. Terima kasih sahabat!
Kadang-kadang persahabatan ini agak pelik, bukan? Saya, Szalies dan Syazlera Aibie hanya berhubung melalui emel dan telefon. Tapi saya boleh katakan, kami agak rapat dan berkongsi satu minat yang sama. Hal yang kami bicarakan juga tentu sekali tentang hal yang sama. Menjadi sahabat seseorang tidak semestinya berada dengannya selama 24 jam. Tapi kita tahu bila sampai masanya, kita perlu memainkan peranan sebagai seorang sahabat yang baik, pendengar yang setia dan penasihat yang bijaksana. Moga persahabatan ini akan sentiasa kekal! Insyaallah.
>>> Posing bersama penulis buku Gulai Pisang Ikan Masin. Ouch!

Kepada kedua-dua orang sahabat saya ini, (Szalies dan Syazlera Aibie) dilupa jangan tentang perjuangan kita ya! Yang paling penting, kita sentiasa ada untuk satu sama lain. (^^,)V

Monday, October 17, 2011

Rindunya...

Wah, jangan terkedu pula membaca tajuk di atas. Saya tidak rindukan sesiapa tentunya. Tapi saya rindu untuk menulis (hem... walaupun sebenarnya ada beberapa manuskrip yang perlu dikerjakan jika editor memberikan lampu hijau kelak). Saya sungguh sibuk sekarang ini. Sibuk dengan satu ‘kerja’ baru. Kerja yang menguntungkan saya. Pssttt... apabila saya sebut ‘menguntungkan’, itu tidak bermakna hal yang berkaitan wang sahaja. Kenalan baru, pengalaman baru, itu juga dikira sesuatu yang menguntungkan, bukan?

Saya semakin rindu untuk menulis apabila dikhabarkan jumlah muka surat semakin dikurangkan untuk pembaca sasaran yang lebih rendah umurnya. Wow!!! Jom kita buat sorakan ombak. \o/\0/\0/\o/ hehehe... Sudah ada beberapa rangka dalam kepala saya. Wah, hebatnya kamu Cik Nazrie, dalam kepala yang bersarang seribu macam hal itu mampukah info itu bertahan lama? Sila jawab sendiri ya!


Hahahaha... saya pernah terbaca tentang ‘catatkan idea yang kita dapat di atas kertas kerana tinta terakhir itu lebih baik daripada ‘tercatat’ di ingatan sahaja. Alamak, perlu makan lebih banyak kismis mindalah kalau begini halnya.

Baiklah, andai kata lama saya tidak menjengah (eh, blog sendiri pun tak nak jengah?) maka kawan-kawan tahu bahawa saya sedang kesibukan dengan dunia saya. Dunia impian saya tentunya! Insya-Allah. (^^,)V