Semoga Ia Mengukir Senyuman...

Semoga Ia Mengukir Senyuman...
Karya-karya Nazrie Haslieanie
Showing posts with label buku baru. Show all posts
Showing posts with label buku baru. Show all posts

Sunday, August 7, 2016

Karya 2016

Jika diikutkan, sasaran saya pada tahun ini ialah 10 buah buku diterbitkan. Namun, semua itu hanyalah perancangan sahaja. Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, dua buah buku sudahpun ditangguh penerbitannya pada tahun hadapan. Begitu juga buku kanak-kanak saya yang sepatutnya pada tahun ini, dianjak juga ke tahun depan. Positifnya, tahun hadapan saya masih ada buku baharu. Cuma jangan dianjak lagi tempohnya sudahlah! Tak sanggup rasanya.

Pada tahun ini, karya yang tidak dirancang langsung ialah buku antologi puisi (yang masih belum saya tuntut). Sesuatu yang baharu juga tu sedangkan saya tak pandai tulis puisi. Jika berkelapangan, saya kongsi puisi-puisi itu di sini nanti. Untuk hari ini, saya persembahkan karya-karya saya yang sudahpun terbit pada tahun ini dan bakal terbit tidak lama lagi. 

***Antologi Sedetik.doc***


*** Antologi Cerpen Untukmu Ibu***

 ***Antologi Puisi Bahtera Peradaban***

 ***Antologi Cerpen Sarkas II***

***Antologi Cerpen Cupcakes***

Masih ada 5 bulan dalam tahun 2016 ini untuk saya merealisasikan impian saya itu. Diharapkan impian 10 buah buku itu bakal menjadi nyata. Insya-Allah... amin... 

Friday, October 30, 2015

Apa yang Ada Sepanjang 2015?

Apa yang ada? Banyak sebenarnya. Antaranya, empat buah buku saya terbit termasuk yang paling baharu (cerpen dewasa). Wah, dah tulis cerpen dewasa sekarang? Alahai, jangan disulitkan benda yang mudah, jangan disempitkan benda yang sebenarnya sangat terbentang luas. Apabila bercakap soal cerpen dewasa atau novel cinta mesti kita terbayangkan kisah-kisah cinta yang ditayangkan di dalam televisyen itu, bukan? Ia memanglah sebahagiannya saja namun cinta itu luas sekali pengertiannya. Eh, apa kata kisah dan buku 'cinta' saya tu saya perincikan dalam entri yang lain dan kali ini kita reviu dulu serba sedikit buku saya yang ada pada tahun ini dan pada 2014 yang saya berhenti menulis seketika dulu tu. Terimalah... dipersembahkan...

***Apabila Ibu Ambil Cuti, novel kedua terbitan ITBM***

TAJUK: APABILA IBU AMBIL CUTI
TERBITAN: ITBM
TAHUN TERBITAN: 2014
KISAHNYA: Kisahnya pasal apa? Kenapa pula ibu ambil cuti? Ke mana? Ke Paris, London, New York, Bangsar South? Hah, semua ni akan terjawab apabila buku ini berjaya rakan-rakan hadam. Kisah remaja yang santai saja sebenarnya dan juga ceritanya biasa tapi insya-Allah setiap daripada buku-buku saya tentu ada mesej yang hendak disampaikan. Ya lah, kalau tak ada mesej hendak disampaikan, takkanlah buku ini mendapat tempat di hati para pemilih dari Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada tahun 2015 dan membelinya sebanyak 502 naskhah. Alhamdulillah itu rezeki. Rezeki tak disangka buat seorang "Penganggur Kelas Pertama"

***Ketiga-tiga buku bergambar pertama saya***

TAJUK:BOLEHKAH AIMAN..., PARI MAHU TERBANG, DONAT BERWARNA-WARNI TERBITAN: BUKU PRIMA
TAHUN TERBITAN: 2015
KISAHNYA: Buku bergambar pertama saya. Masa hasilkan buku-buku ini banyak sekali kesukaran saya hadapi dan juga pengalaman baharu yang saya kutip di sepanjang menyiapkannya. Pertama sekali, menghasilkan buku bergambar bersama pelukis yang saya cari sendiri atau saya akan 'dipasangkan' dengan mana-mana pelukis yang mungkin saya tidak kenali sama sekali. Alhamdulilah, seorang rakan editor membantu saya dengan memperkenalkan kepada sepupunya yang juga seorang pelukis. Sepanjang proses itu juga, beberapa kali saya diminta untuk mengubah lukisan (kerana pelukis pertama tidak menepati kehendak pihak penerbit hingga akhirnya saya diperkenalkan oleh editor berkenaan). Saya juga membayar sejumlah wang bagi lukisan untuk buku-buku itu (pada waktu ini belajar keluar modal sendiri). Rasa parah juga tapi itulah pelaburan yang saya lakukan sebab pelukis tersebut tidak mahu berkongsi royalti. Sebuah surat perjanjian turut kami tandatangani. Sepanjang proses penulisan juga, oleh kerana kekangan masa, saya pernah menaip bahan saya ini sewaktu saya menunggu bas di hentian bas hanya dengan menggunakan telefon bimbit yang kecil pada masa itu. Mata pun boleh sakit tapi memandangkan saya perlu mencuba untuk ambil peluang ini, saya tidak hiraukan semua itu. Apatah lagi saya pernah juga ke kafe siber semata-mata mahu siapkan bahan berikutnya demi mengejar tarikh akhir yang semakin hampir. Namun syukur kepada-Nya, kerana ketiga-tiga manuskrip saya diterima untuk diterbitkan.

***Sedegup Cinta, kisah cinta yang pelbagai***

TAJUK: ANTOLOGI CERPEN SEDEGUP CINTA
TERBITAN: SO PUBLICATION (DENGAN KERJASAMA GMM)
TAHUN TERBITAN: 2015
KISAHNYA: Apabila terbaca satu tawaran menulis cerpen, saya mencubanya. Walaupun tahu ia mungkin akan menjadi sebuah cerita yang kaku (mungkin) namun bukan saya yang menilai. Lagipun salah satu sebab saya suka untuk menulis dalam antologi ini adalah kerana ia kisah cinta yang sentiasa berlegar di sekeliling kita yang mungkin jarang kita beri perhatian. Cinta itu luas. Bukan terbatas pada lelaki dan perempuan ajnabi saja. Cinta pada kucing, pada agama, bangsa, kerjaya. Itu kategori cintalah tu! Tapi istimewanya penerbitan kali ini, ia tidak dibayar royalti atau belian putus akan tetapi kami para penulis yang terlibat perlu membayar sejumlah wang (untuk kos percetakan dan sebagainya) dan diberikan 20 buah naskhah buku untuk dijual. Ia masih segar dan wangi di tangan saya sebab baru keluar dari gudang. Saya pun masih dalam proses membuat pengeposan. Insya-Allah dan alhamdulillah untuk setiap perkara indah yang terjadi pada tahun ini. Sasaran tahun 2016? Hemmm... (^^,)

Thursday, July 28, 2011

Penantian Berakhir Sudah!

Alhamdulillah... penantian saya selama EMPAT tahun, saya ulangi EMPAT tahun, bukan empat hari atau empat bulan ya! Akhirnya berakhir apabila anak saya yang berikutnya sudah dipromosikan di laman sesawang pts. Nah, barulah saya berani hendak bercerita tentang buku saya ini. Opss, saya tak mahu mempromosikan buku ini kerana di web pts sudah menerangkan segala-galanya tentang buku ini. Tinjau di link ini ya: http://http//pts.com.my/index.php/buku/40-tokoh-islam/

Apalah penulis ni, malas betul hendak promosikan buku sendiri! Hehehe... bukan begitu, saya rasa biarlah produk saya sendiri yang berbicara. Inilah kaver depan buku saya itu. Cun tak? Yang penting, isinya lagi cun ya!


Hah, terkebil-kebil mata kawan-kawan memandang kaver buku terbaru saya ni kan? Hehehe... tak mengapalah. Tak lama lagi buku ini akan berada di pasaran ya (ha, promosi sikit!). Berbalik kepada cerita saya tentang penantian selama empat tahun menunggu cerita ini diterbitkan, bukan suatu hal yang selesa. Saya akui, sampai satu tahap saya hampir terlupa tentang buku ini. Tapi apabila ia sudah menjadi produk, maka saya bersyukur dan sangat gembira.

Mesti kawan-kawan tertanya-tanya macam mana saya boleh terlibat dalam menghasilkan buku tokoh Islam ini. Ya, sesiapa yang mengenali saya tahu bahawa saya bukan berkelulusan bidang agama. Tapi entah kenapa tatkala puan editor melamar saya, saya terus terima. Dalam fikiran saya pada masa itu (pada hari pertemuan para penulis dan editor Bacakan Saya Satu Cerita (BSSC)) "Orang sudah memberi kepercayaan kepada saya untuk melakukan tugas ini, maka tak salah kalau cuba. Lagi pula, bukannya menulis sesuatu yang berat. Hanya sumbangan para tokoh dan sedikit biografi mereka." Saya sanggup membeli buku terbitan Indonesia untuk dijadikan rujukan dan tentu sekali membuat rujukan di Internet dan rujukan-rujukan lain juga. Inilah yang dinamakan pelaburan ya!

Pada hari itulah saya diajak untuk menjadi penulis bersama beberapa orang penulis lain. Setelah pembahagian tugas dilakukan, saya teruja membuat manuskrip tokoh ini kerana secara tak langsung, saya mengenali tokoh-tokoh Islam (yang sebagai orang Islam perlu tahu sumbangan para tokoh ini). Namun boleh saya katakan banyak dugaan yang melanda sepanjang pembikinan manuskrip ini dan saya tetap gagahi jua walaupun keadaan agak kelam-kabut sehinggalah memakan masa empat tahun. Dan kini, jeng jeng jeng... (^^,)V

Friday, February 18, 2011

Akhirnya Muncul Jua...



“Jika dia mahu menjerit, jeritan itu hanyalah di dalam hatinya sahaja. Jika dia mahu menangis berulang-ulang kali pun, air matanya sudah kering. Jika dia mahu memberontak, manalah dia mampu kerana dia masih sedar siapalah dirinya.”

Itulah perasaan Nur tatkala dia memikirkan nasibnya itu. Namun, hadirnya Hani di dalam hidupnya memberikan suatu harapan baru buatnya. Insan yang bergelar sahabat itu bukan sahaja cuba untuk mencapai impiannya malahan juga sanggup berkorban apa sahaja deminya.

Sedangkan mereka tidak mempunyai hubungan yang istimewa. Hanyalah seorang sahabat. Apakah benar hubungan persahabatan bukan suatu hubungan yang istimewa? Apakah pula impian Nur? Bagaimanakah pengorbanan Hani terhadap sahabatnya itu? Temuilah jawapannya di dalam ‘Ku Juga Punya Hati’.

Sunday, June 20, 2010

Buku Raya???

"Tahniah Nazrie", kata sahabat saya.
"Kenapa?" saya bertanya.
"Tahniah kerana cerpen kau terpilih di PTS One", katanya lagi.
Saya hanya menyambut ucapan tahniah itu dengan sebuah senyuman dan ucapan terima kasih.
Alhamdulillah, ini kali kedua cerpen saya diterbitkan oleh PTS One (cerpen raya).
Pada mulanya saya tidak berminat untuk menyertainya kerana saya anggap cerpen raya tentu sekali banyak karya yang cliche. Namun, setelah buku tersebut sampai ke tangan saya, saya dapati terdapat kepelbagaian cerita yang disampaikan dan yang pasti, peristiwa tersebut bertemakan bulan puasa dan hari raya. Di bawah ini, kulit buku raya tersebut. Kalau 'terserempak' di kedai buku kelak, jangan lupa beli ya! (^^,)V