Seawal penglibatan saya sebagai seorang penulis, saya menulis cerpen dan hantar ke majalah Mingguan Wanita pada masa itu yang memang perlukan cerpen yang banyak kerana ia terbitan secara mingguan. Jadi, saya dan rakan-rakan pada masa itu ambil peluang dan setiap kali cerpen terbit di majalah, kami sangat teruja hingga mahu saja lompat bintang. Di bawah ini, merupakan anak sulung saya yang memberikan laluan kepada saya untuk terus berkarya.
***Alahai Ayah, terbitan Mingguan Wanita tahun 2005***
Seperti kebanyakan karya yang saya hasilkan, ia tentang kekeluargaan dan hubungan antara anak dan ayah. Pada masa ini masih terlalu hijau dalam bidang penulisan. Namun, ia pengalaman yang berguna buat saya.
Berbalik kepada 11 cerpen yang dihasilkan itu, ia terhasil kerana beberapa pertandingan yang dianjurkan oleh beberapa penerbit. Namun, daripada 11 buah cerpen ini, dua daripadanya ditolak penerbit. Cerpen yang ditolak itu mungkin sangat tidak kena temanya kerana bahasa yang saya gunakan seperti bahasa purbakala hehehe... manalah orang sekarang hendak baca, kan?
Cerpen kedua yang kononnya ditolak, membuatkan saya bertambah terkilan hingga saya bertanyakan kembali sebab cerpen saya itu ditolak. Namun, mungkin sudah rezeki saya sebenarnya cerpen itu tidak ditolak pun cuma pengendali tersalah pandang. Alahai, kalau saya tak berkeras (dan masih seperti dahulu yang selalu saja membiarkan segala keputusan penerbit, pasti saya tak berpeluang untuk lihat cerpen saya itu diterbitkan. Cerpen yang sememangnya ditolak pula saya tidak diberikan apa-apa sebab munasabah. Jadi, saya ambil keputusan tidak perlu lagi menulis untuk penerbit itu. Saya bukan berputus asa tapi dari setiap bahan yang ditolak, saya semakin tahu bahan yang kena dengan cara rumah penerbitan tersebut.
Cerpen saya yang lain-lain pula adalah kerana saya ingin sekali terlibat dengan hal-hal kesusasteraan yang dianjurkan oleh salah sebuah penerbit yang berdekatan dengan negeri saya. Ini juga peluang yang saya tak lepaskan. Saya hantar dua buah cerpen ke penerbit berkenaan (dan walaupun masih belum terima apa-apa perkhabaran, saya akan menantikan dengan penuh sabar)
Cerpen lain juga yang dihasilkan mesti menggunakan tema yang diberikan. Dari situ, penulis perlu menjadi lebih kreatif dalam menghasilkan karyanya. Bagi saya pula, cerpen yang menggunakan tema sebegitu adalah unik. Saya menghantar setiap satu tema hanya sebuah cerpen manakala penerbit sebuah lagi, tidak perlu menyebut tema di dalam cerpen berkenaan. Hanya perlu hantarkan karya bebas.
Dua buah cerpen saya yang sudahpun diterima (dan salah satunya berada dalam antologi Sedegup Cinta) dengan senang hati saya menunggunya ke tangan saya. Cerpen yang sebuah lagi itu sudah masuk fasa penyuntingan dan semakan (agar penulis tidak memplagiat karya kerana timbul isu besar yang terjadi baru-baru ini jadi penerbit makin berhati-hati dan sewajarnya begitu).
Kesemua pengalaman menulis cerpen ini memang menyeronokkan. Cuma rasa sedikit pening sebab nak fikir cerpen yang lebih baik dan tak klise. Nanti ada yang kata cerita terlalu klise dan sudah dijangka pula pengakhirannya. Apapun, diharapkan tujuh buah cerpen saya yang lain itu berjaya mendapat tempat di hati penerbit sekali gus diterbitkan. Jika ia diterbitkan, jadi adalah peluang saya untuk ada banyak buku pada tahun 2016 (upss, salah satu impian sudah terburai rahsianya...) (^^,)V
No comments:
Post a Comment