Semoga Ia Mengukir Senyuman...

Semoga Ia Mengukir Senyuman...
Karya-karya Nazrie Haslieanie

Sunday, August 7, 2016

2016, Kembalinya ke Dunia Penerbitan Buku

Tahun 2016, saya kembali ke Kuala Lumpur. Di sini, saya ditawarkan jawatan editor di sebuah syarikat yang cukup dikenali. Saya teruja? Jika ditanya, saya mampu jawab biasa-biasa saja. Kembali menjadi editor bermakna kembali merentas masa juga kurikulum. Kali ini subjek yang dikendalikan juga bertambah. Memandangkan saya masih di rumah lama, perjalanan ke tempat kerja juga memakan masa dan saya cepat penat. Apa kena mengena penat dengan perkara yang saya nak kongsi? Apabila penat, saya tidak mampu lagi jadi 'burung hantu' seperti dulu. Nak menulis, walaupun otak kembali meligat dengan macam-macam hal namun kekuatan saya tidak lagi seperti selalu. Eh, cakap macam dah tua sangat, kan? Hahaha...

Kembali ke 'lubuk rezeki' sememangnya memberi banyak pengalaman baharu buat saya. Jangan tak tahu, saya ditemuramah oleh pelajar universiti bagi tugasan mereka tentang proses kreatif saya. Terkejut juga kerana siapalah saya ini namun saya tetap teruja kerana mereka sudi menjadikan saya sebagai tempat rujukan. Maaf juga kepada mereka kerana bagi saya tidak banyak membantu. Sekadar informasi biasa saja yang dapat saya kongsi. Yang paling teruja mereka menambah dalam laporan mereka, tentang pandangan mereka terhadap saya. Allah... terima kasih atas pandangan positif itu.

Kemudian, saya dihubungi oleh pensyarah saya untuk berkongsi cerita kejayaan saya dalam bidang penulisan malah saya 'diangkat' oleh mereka sebagai penulis prolifik. Sekali lagi, sesuatu yang di luar imaginasi saya. Prolifik, saya belajar perkataan ini sewaktu saya di universiti. Pada waktu itu Tuan Ahadiat Akashah menjadi tamu dalam forum yang dianjurkan oleh pihak fakulti. Saya hanya penonton. Tidak pernah terdetik bahawa saya akan menjadi prolifik (itu pun bukan saya yang berikan 'pengiktirafan'). Dua orang penting, iaitu Puan Pengerusi Syarikat saya serta Puan Pensyarah yang berikannya. Saya hanya mampu bersyukur ke hadrat-Nya dan 'pengiktirafan' itu memberi saya satu inspirasi untuk terus berkarya dan bukan menjadi bodoh sombong dengan nikmat kurniaan-Nya.

Tidak lama selepas itu, seorang lagi pelajar tingkatan enam juga menghubungi saya dan meminta maklumat ringkas tentang saya. Saya memang tidak keberatan untuk beri kerjasama namun sebolehnya para pelajar juga tidak keberatan untuk kongsi perkembangan kerja tersebut dengan saya sebagai rekod sendiri sahaja.

Atas dasar kepercayaan juga, saya diberi tanggungjawab oleh senior dalam bidang penulisan untuk menjadi penyelenggara dalam antologi cerpen. Sekarang, antologi itu berada pada peringkat pengumpulan bahan sekali gus pada peringkat penyuntingan. Apa yang membuatkan saya teruja, beberapa orang rakan saya turut sertai antologi itu yang sekian lama saya nantikan mereka untuk menulis. Tahniah buat mereka!

Alhamdulillah, itulah seputar perjalanan saya pada 2016. Walau apa jua yang saya alami, saya mesti terus berkarya. Penat? Waktu melayan penat sudah habis. Sekarang saya mahu tumpu memuntahkan segala macam idea yang bersarang di minda. Jumpa karya saya nanti ya!

No comments:

Post a Comment