Semoga Ia Mengukir Senyuman...

Semoga Ia Mengukir Senyuman...
Karya-karya Nazrie Haslieanie
Showing posts with label Promosi. Show all posts
Showing posts with label Promosi. Show all posts

Sunday, August 7, 2016

Karya 2016

Jika diikutkan, sasaran saya pada tahun ini ialah 10 buah buku diterbitkan. Namun, semua itu hanyalah perancangan sahaja. Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, dua buah buku sudahpun ditangguh penerbitannya pada tahun hadapan. Begitu juga buku kanak-kanak saya yang sepatutnya pada tahun ini, dianjak juga ke tahun depan. Positifnya, tahun hadapan saya masih ada buku baharu. Cuma jangan dianjak lagi tempohnya sudahlah! Tak sanggup rasanya.

Pada tahun ini, karya yang tidak dirancang langsung ialah buku antologi puisi (yang masih belum saya tuntut). Sesuatu yang baharu juga tu sedangkan saya tak pandai tulis puisi. Jika berkelapangan, saya kongsi puisi-puisi itu di sini nanti. Untuk hari ini, saya persembahkan karya-karya saya yang sudahpun terbit pada tahun ini dan bakal terbit tidak lama lagi. 

***Antologi Sedetik.doc***


*** Antologi Cerpen Untukmu Ibu***

 ***Antologi Puisi Bahtera Peradaban***

 ***Antologi Cerpen Sarkas II***

***Antologi Cerpen Cupcakes***

Masih ada 5 bulan dalam tahun 2016 ini untuk saya merealisasikan impian saya itu. Diharapkan impian 10 buah buku itu bakal menjadi nyata. Insya-Allah... amin... 

Friday, October 30, 2015

Apa yang Ada Sepanjang 2015?

Apa yang ada? Banyak sebenarnya. Antaranya, empat buah buku saya terbit termasuk yang paling baharu (cerpen dewasa). Wah, dah tulis cerpen dewasa sekarang? Alahai, jangan disulitkan benda yang mudah, jangan disempitkan benda yang sebenarnya sangat terbentang luas. Apabila bercakap soal cerpen dewasa atau novel cinta mesti kita terbayangkan kisah-kisah cinta yang ditayangkan di dalam televisyen itu, bukan? Ia memanglah sebahagiannya saja namun cinta itu luas sekali pengertiannya. Eh, apa kata kisah dan buku 'cinta' saya tu saya perincikan dalam entri yang lain dan kali ini kita reviu dulu serba sedikit buku saya yang ada pada tahun ini dan pada 2014 yang saya berhenti menulis seketika dulu tu. Terimalah... dipersembahkan...

***Apabila Ibu Ambil Cuti, novel kedua terbitan ITBM***

TAJUK: APABILA IBU AMBIL CUTI
TERBITAN: ITBM
TAHUN TERBITAN: 2014
KISAHNYA: Kisahnya pasal apa? Kenapa pula ibu ambil cuti? Ke mana? Ke Paris, London, New York, Bangsar South? Hah, semua ni akan terjawab apabila buku ini berjaya rakan-rakan hadam. Kisah remaja yang santai saja sebenarnya dan juga ceritanya biasa tapi insya-Allah setiap daripada buku-buku saya tentu ada mesej yang hendak disampaikan. Ya lah, kalau tak ada mesej hendak disampaikan, takkanlah buku ini mendapat tempat di hati para pemilih dari Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada tahun 2015 dan membelinya sebanyak 502 naskhah. Alhamdulillah itu rezeki. Rezeki tak disangka buat seorang "Penganggur Kelas Pertama"

***Ketiga-tiga buku bergambar pertama saya***

TAJUK:BOLEHKAH AIMAN..., PARI MAHU TERBANG, DONAT BERWARNA-WARNI TERBITAN: BUKU PRIMA
TAHUN TERBITAN: 2015
KISAHNYA: Buku bergambar pertama saya. Masa hasilkan buku-buku ini banyak sekali kesukaran saya hadapi dan juga pengalaman baharu yang saya kutip di sepanjang menyiapkannya. Pertama sekali, menghasilkan buku bergambar bersama pelukis yang saya cari sendiri atau saya akan 'dipasangkan' dengan mana-mana pelukis yang mungkin saya tidak kenali sama sekali. Alhamdulilah, seorang rakan editor membantu saya dengan memperkenalkan kepada sepupunya yang juga seorang pelukis. Sepanjang proses itu juga, beberapa kali saya diminta untuk mengubah lukisan (kerana pelukis pertama tidak menepati kehendak pihak penerbit hingga akhirnya saya diperkenalkan oleh editor berkenaan). Saya juga membayar sejumlah wang bagi lukisan untuk buku-buku itu (pada waktu ini belajar keluar modal sendiri). Rasa parah juga tapi itulah pelaburan yang saya lakukan sebab pelukis tersebut tidak mahu berkongsi royalti. Sebuah surat perjanjian turut kami tandatangani. Sepanjang proses penulisan juga, oleh kerana kekangan masa, saya pernah menaip bahan saya ini sewaktu saya menunggu bas di hentian bas hanya dengan menggunakan telefon bimbit yang kecil pada masa itu. Mata pun boleh sakit tapi memandangkan saya perlu mencuba untuk ambil peluang ini, saya tidak hiraukan semua itu. Apatah lagi saya pernah juga ke kafe siber semata-mata mahu siapkan bahan berikutnya demi mengejar tarikh akhir yang semakin hampir. Namun syukur kepada-Nya, kerana ketiga-tiga manuskrip saya diterima untuk diterbitkan.

***Sedegup Cinta, kisah cinta yang pelbagai***

TAJUK: ANTOLOGI CERPEN SEDEGUP CINTA
TERBITAN: SO PUBLICATION (DENGAN KERJASAMA GMM)
TAHUN TERBITAN: 2015
KISAHNYA: Apabila terbaca satu tawaran menulis cerpen, saya mencubanya. Walaupun tahu ia mungkin akan menjadi sebuah cerita yang kaku (mungkin) namun bukan saya yang menilai. Lagipun salah satu sebab saya suka untuk menulis dalam antologi ini adalah kerana ia kisah cinta yang sentiasa berlegar di sekeliling kita yang mungkin jarang kita beri perhatian. Cinta itu luas. Bukan terbatas pada lelaki dan perempuan ajnabi saja. Cinta pada kucing, pada agama, bangsa, kerjaya. Itu kategori cintalah tu! Tapi istimewanya penerbitan kali ini, ia tidak dibayar royalti atau belian putus akan tetapi kami para penulis yang terlibat perlu membayar sejumlah wang (untuk kos percetakan dan sebagainya) dan diberikan 20 buah naskhah buku untuk dijual. Ia masih segar dan wangi di tangan saya sebab baru keluar dari gudang. Saya pun masih dalam proses membuat pengeposan. Insya-Allah dan alhamdulillah untuk setiap perkara indah yang terjadi pada tahun ini. Sasaran tahun 2016? Hemmm... (^^,)

Saturday, June 28, 2014

Rifqi? Siapa Itu Rifqi?

Hahaha... saspen tajuk saya pada kali ini kan? Sebenarnya, selain Rifqi di alam nyata iaitu sepupu kesayangan saya, sebenarnya ia merupakan nama watak dalam buku terbaharu saya iaitu "Rifqi Di Dunia Nyum-nyum". Pada mulanya tajuk ini dicadangkan sebagai "Pengembaraan Nyum-nyum" namun ditukar atas nasihat penerbit. Begitu juga nama watak yang dicadangkan telah menimbulkan kekeliruan Puan Editor. Tapi, saya baik-baik saja menerima pandangan. Inikan demi kebaikan... Jangan bersikap mendabik dada kerana kita tak tahu apa yang telah dirancang oleh pihak penerbit. Buku ini menemui "peminat" sekitar bulan Mac. Belum cetak lagi kawan-kawan sudah "cop" dan mahu beli. Saya sangat terharu. Dan saya juga kali ini sudah berani buat promosi dan jual buku sendiri. Saya berikan hadiah (sebagai penghargaan) kepada pembeli terawal. Rasa seronok pula melalui pengalaman baharu jual buku sendiri. Yang saya fikirkan bukan pulangan tapi sokongan kawan-kawan tu buat saya sangat terharu. Di sini saya "tampalkan" beberapa gambar yang berkaitan dengan buku Rifqi tersebut.
- Kulit hadapan buku Rifqi -
- Sepuluh pembeli utama yang bertuah -
- Inilah hadiahnya... kecil tapi bermakna... yang penting ikut tema buku... :-) -

Thursday, January 12, 2012

Syukur, Masih Terjual dengan Baik...

Judul yang Terjual antara 1000 - 1999 Unit bagi Tahun 2011


Alhamdulillah... masih ada rezeki buat saya pada tahun ini. Buku Bacakan Saya Satu Cerita (BSSC) masih terjual dengan baik. Mengikut perkiraan, sudah 4 atau 5 tahun buku ini diterbitkan dan masih terjual dengan baik. Memandangkan inilah hasil bagi langkah pertama saya dalam bidang penulisan ini, tentunya saya sangat berasa bangga dan gembira.

Baiklah, mari saya kongsikan cerita saya yang terdapat dalam buku ini. Ceritanya sangat ringan tetapi mempunyai moral dan mesej yang jelas. Amat sesuai bagi para ibu bapa yang ingin membacakan untuk anak-anak atau bagi anak-anak yang ingin membacanya sendiri. Selamat membaca ya! (Klik bagi mendapatkan paparan yang lebih besar. Kalau tidak, kawan-kawan perlu menggunakan kanta pembesar pula untuk membacanya! He...he...he...

Nah, lagi satu...


Jika kawan-kawan masih tidak dapat membacanya dengan baik di skrin ini, apa tunggu lagi? Pergilah ke kedai buku dan sila dapatkan buku ini. Bukan sahaja cerita saya malah kawan-kawan dapat membaca cerita-cerita yang lain juga, daripada penulis ternama juga antaranya Pak Rejab (Rejab F.I), Kursyi Hirdan dan ramai lagi! Jadi, tak rugi membelinya. Jangan lupa dapatkan buku ini ya! (^^,)V.

Tuesday, July 13, 2010

Siapakah Jejaka Ini???



Siapakah jejaka ini? Wajahnya nampak ‘cool’. Sememangnya dia ‘cool’. Dia bukan adik saya. Apatah lagi jiran saya. Tapi dia antara penyumbang di dalam buku (buku-buku?) saya. Dia yang saya kenali beberapa tahun yang lalu, menjadi orang yang penting dalam kehidupan saya sepanjang saya berkarya terutama bersama KarnaDya. Cara KarnaDya mungkin sedikit berbeza daripada penerbit lain kerana mereka mahukan penulis sendiri mencari pelukis untuk buku-buku mereka (bagi buku awal remaja). Jadi, kepada para penulis yang sememangnya mempunyai bakat melukis, bolehlah ‘mempromosikan’ hasil penulisan dan lukisan sekaligus. Tapi saya, tahu melukis...Cuma tidak pakar. Saya risau jika saya lukis orang lidi, nanti pokok yang jadi. Maka eloklah saya memberikan pada yang pakar.
Ya, dan dialah orang pakar itu. Namanya Zuar. Dia masih belajar di Aswara. Saya berharap pabila dia habis belajar kelak, dia akan menjadi seperti yang dia harapkan. Saya juga akan turut membantunya apa-apa yang patut. Ini janji saya.
Cuma, apa yang saya kagum tentang anak muda ini
• Dia ada minat yang mendalam.
• Kesungguhan dalam menghasilkan karyanya
• Dia juga akan bertanya sehinggalah dia faham.
• Dia akan berjumpa saya jika dia mahukan penerangan yang terperinci.
• Memberikan pendapat tentang karya saya atau lukisan yang saya minta.
Tapi awas, dia pendiam!...diam-diam ubi tapi berisi ilmu ye...

Dan...perkara yang lebih mengagumkan saya, dia lebih ‘matang’ dalam menghasilkan karyanya. Di bawah ini, saya sertakan dua keping lukisannya daripada buku-buku saya. Kawan-kawan nilailah sendiri ‘kisah’ jejaka yang hangat diperkatakan ini (hahahahaha).


-Tahniah dan jutaan terima kasih saya ucapkan buatnya kerana sudi bekerjasama dengan saya-

terima kasih daun ubi,
kalau boleh kita bekerjasamalah lagi.(^^,)V

Monday, July 12, 2010

Kids On 2...Perghhhh!!!

Saya memuji pihak KarnaDya (KD) yang mengambil inisiatif untuk 'mempromosikan' produk terbitannya dan tentulah buat para penulisnya juga. Walaupun saya tahu saya hanyalah penulis yang sangat kerdil, akan tetapi masih diberikan peluang untuk muncul di kaca TV dan ditemuramah oleh adik Jacqueline yang petah berkata-kata.
Tidak ramai rakan-rakan saya termasuklah keluarga saya yang tahu akan hal ini. Entah, saya masih 'malu-malu'. Rancangan ini sudahpun ditayangkan di TV2 pada hari Ahad, 20 Jun yang lalu. Saya juga turut merakam rancangan tersebut supaya pada masa-masa akan datang, rancangan ini boleh saya tonton berkali-kali dan menjadi pembakar semangat saya.



Perkara yang lebih menggembirakan saya adalah sokongan daripada sepupu saya yang begitu teruja sepupunya ini 'masuk' TV. Dia sanggup untuk tidak ke sekolah(memandangkan di Pantai Timur, hari Ahad sudah bermula kembali persekolahan). Katanya, "kak, menulislah banyak-banyak lagi, barulah glamor dapat masuk tv". Saya hanya tergelak dengan mesej yang dihantar. Sungguh, tujuan saya menulis bukan untuk 'mengejar glamor' (sudah macam selebriti pula rasanya). Saya menulis juga bukan kerana nama, tapi... biarlah saya sahaja yang mengetahui sebab saya menulis.
Cuma, sudah agak lama tidak 'bersama kamera' membuatkan saya agak gugup. Semasa rehearsal, saya bagaikan mati kata-kata. Namun, bila 'action' sahaja, saya dengan lancar menjawab setiap soalan. Saya juga agak sedikit menyesal kerana terlupa membawa buku saya sendiri (aiskh...) tapi tak mengapa, yang penting pengalaman yang saya kutip ini sangat bermakna. Terima kasih KD, Shira, Suzi, Sal, Kids On 2 dan semua tentunya! Kalau sudi, jemputlah saya lagi...he..he..he..(^^,)V

Monday, March 29, 2010

Pesta Buku, Seronok!!!



Pada hari kedua pesta buku bermula, saya berada di booth KarnaDya. Memenuhi jemputan la katakan. Di dalam gambar itulah saya bersama dua orang sahabat penulis sedang menandatangani buku masing-masing (sign autograf > sudah macam artis pula rasanya) he...he...he...

Saya dan penulis Aqmaer Halim hanyalah tersenyum-senyum ke arah pengunjung yang datang akan tetapi lain cerita bagi penulis Sekuntum Mawar Buat Adikku, Puan Balqis MZ. Sepanjang berada di sana, beliau dapat menjual 10 buah buku beliau sendiri. Saya dan Aqmaer memang tabik kepada Puan Balqis. Dia mempunyai kemahiran persuasif yang bagus. Bijak memancing pembeli dengan caranya yang tersendiri. Beliau juga turut mempromosikan buku Si Belang dan Sayang Kakak. Kalau harapkan kami, sampai bila-bila kami tak mampu untuk mempromosikan buku kami sendiri.

Walaupun begitu, pengalaman ini amat bermakna dalam hidup saya. Mungkin saya bukan penulis hebat namun, sesuatu yang pasti ialah saya gembira dan bersyukur dengan perkara yang sedang saya lakukan di sini. Langkah pertama yang saya atur, pastinya akan saya jejaki hingga ke akhirnya. Nokhtahnya bukan di sini. Ini hanyalah permulaan. Sedikit dugaan dan cabaran yang mendatang moga-moga saya gagah menempuhinya. Saya tidak membeli apa-apa buku pada tahun ini tapi saya memperoleh pengalaman yang terlalu mahal harganya yang tak dapat dibayar oleh sesiapa.