Semoga Ia Mengukir Senyuman...

Semoga Ia Mengukir Senyuman...
Karya-karya Nazrie Haslieanie

Monday, December 13, 2010

Tahniah! Tahniah! Tahniah!


*Awas, jangan ditiru aksi ini...

He…he…he…tahniah kepada diri sendiri kerana sudahpun lulus kuliah bagi sesi pertama tahun 2010 [walaupun tidak begitu cemerlang]. Hanya tiga kelas yang saya tidak hadiri kerana masalah kesihatan. Alahai, rugi sungguh!

Kuliah terakhir semalam adalah tentang bahasa persuasif yang menyebabkan orang suka membaca buku-buku kita *terutama buku-buku motivasi. Apabila kelas berakhir, saya seperti biasa akan berjumpa sifu dan mengucapkan terima kasih kepada beliau.

Namun, saya tentu sekali tidak terlepas daripada pertanyaan ini “Bagaimana dengan buku baru?"
Saya menjawab malu-malu “Masih dalam proses”
“Lambat! Kerja yang baik jangan ditangguh!” Sambung beliau sambil mengetap bibir pula.
Saya hanya tersenyum dan menyatakan tentang masalah komputer saya yang tidak ‘baik-baik’ kedaannya...


*Inilah keadaan PC saya yang dhaif sama sekali setelah saya cuba untuk mendalami 'isi hatinya' ha...ha...ha...

Beliau yang baru sahaja mengajar tentang bahasa persuasif menyatakan bahawa, jangan gunakan perkataan masalah sebaliknya gunakan perkataan cabaran..hahahahaha...
Saya kata “Baiklah...saya akan ke kafe siber untuk menyiapkannya”.
Sebenarnya kadang kala saya mengambil masa rehat di pejabat untuk menulis. Tapi, kerana sudah terbiasa menulis pada waktu malam, saya jadi serba tidak kena. Entah mengapa...aduhai, tolongggggg...Apa yang akan terjadi jika keadaan terus-terusan begini? Aduhai...(^^,)V

Wednesday, December 1, 2010

Mendung Tiba Jua...

~Angin pun turut bersedih~



~Awak pun sedih, cik KU?

~Ni saya lukis, sedih ke? Ha...ha...ha...

~Aik, bunga pun turut layu?~


Jika dapat digambarkan tentang perasaan saya kini, inilah dia! He…he…he…[masih sempat untuk tersenyum walaupun di jiwa sangat kecewa].

Ya, saya sedang bersedih walaupun wajah saya nampak biasa. Entah bagaimana saya harus mulakan luahan hati saya ini.

Oppss... jangan salah faham ya! Saya bukan bersedih kerana kekasih hati dilarikan oleh ahli sihir yang jahat, apatah lagi dikejar along atau angah atau achik. Ha...ha..ha...

Sebenarnya saya tidak sabar-sabar untuk menantikan suatu kelahiran...ya, kelahiran karya saya yang berikutnya. Namun, apa yang menyedihkan saya ialah pada sebuah janji...Setelah menunggu proses penerbitan hampir setahun, saya dikhabarkan bahawa pada penghujung tahun ini maka 'anak kedua' saya itu pasti menemui peminat (wah, ingat artis rakaman? Ha ha ha...)

Namun, pengkhabaran yang lain pula diterima kerana dikatakan bahawa 'anak' saya itu bakal lahir pada awal tahun hadapan pula. Sungguh mudah menabur janji dan amatlah payah untuk mengotakannya. Awas ya, kalau kawan-kawan berjanji, pastikan kawan-kawan tahu akibat tidak mengotakan janji.

Saya cuba mengerti permasalahan yang mungkin dihadapi oleh pihak tersebut. Tapi jauh di sudut hati saya, saya masih bersedih dan kecewa. Setiap malam saya termimpikan wajah 'anak kedua' saya itu. Tapi hakikatnya sungguh memeritkan sekali.

Walaupun begitu, saya bukanlah orang yang tidak dapat menerima kesedihan ini. Sekadar meluah..pada hakikatnya saya bersabar dan masih setia menanti...ini bukan kali pertama karya saya ‘dikepam’. Malah ada mengambil masa hingga bertahun-tahun lamanya.

Saya masih juga bersabar. Saya ingat kata-kata mak saya; semua perkara kita boleh belajar> mengenal ABC di sekolah, cara memegang pensel, apabila ke universiti kita belajar pula perkara lain..tapi kenapakah kita tidak boleh belajar untuk bersabar? Jika mak mendengar luahan hati anak mak ini, hanya satu yang ingin saya katakan “Mak, saya sedang BERSABAR... (^^,)V

Monday, November 22, 2010

Itulah yang membakar semangatku!

Sebelum pulang berhari raya, saya masih ke ‘sekolah’. Rajin betullah saya ni, kan? He he he. Sebaik sahaja ‘loceng tamat sekolah’ berbunyi, sudah menjadi suatu kemestian untuk saya mengucapkan terima kasih kepada sifu saya dan bersalaman dengan beliau. Namun, beliau tidak mudah melepaskan tangan saya malah mengenggamnya erat. Perghhh sifu mengenggam tangan saya tu...Terasa ada aura yang menusuk. Aura untuk berkarya! Hahaha...

Beliau mula membuka bicara “Apakah buku terbaharu yang ditulis?”
Saya menerangkan kepada beliau tentang perancangan saya.
“Bagus!” kata beliau lagi.
Saya turut menyatakan tentang teguran yang dibuat oleh editor di PTS.
Kata sifu, “Jadikan editor itu sebagai mentor anda!”

Saya memberitahu beliau bahawa saya bersedia mendengar teguran para editor kerana tahu mereka dapat membentuk saya menjadi penulis yang lebih baik. Untuk berjaya, kita tentunya tidak boleh bodoh sombong. Ya, diakui bahawa editor tersebut juga hanyalah manusia biasa. Namun, pada masa inilah perlu wujud komunikasi dua hala antara editor dan penulis. Editor juga dapat belajar dan memberi tunjuk ajar. Begitu juga dengan para penulis.

Saya sendiri kerap berbincang dengan editor tentang penulisan saya. Bukan sahaja editor perlu faham keadaan penulis yang memerah idea dan mahukan maklum balas tentang karya mereka malah penulis juga perlu faham akan keadaan editor yang bekerja dalam jadual yang padat demi mematuhi deadline serta untuk mengedit manuskrip yang menimbun. Oleh itu, perlu jika editor dan penulis memudahkan kerja di antara satu sama lain supaya buku yang dihasilkan menjalani proses penerbitan yang lancar. Sesungguhnya editor dan penulis saling memerlukan. Kalau dapat jadi best friend pun boleh juga! He...he...he... (^^,)V.

Tuesday, November 9, 2010

::Stesen Kerja Saya::



*Kononnya lapangan kerja saya. Abaikan barangan yang tidak berkaitan. he...he...he...(^^,)V

"Zaman Penulis Miskin Sudah Berakhir!"

Hah, jangan terkedu pula membaca tajuk di atas. Itu adalah petikan kata-kata Sifu Ainon kepada para pelajar yang menyertai kuliahnya pada hari Ahad yang lalu. Kata-kata itu disuntik ke gegendang telinga kami berkali-kali. Kelihatan dalam mata para pelajar bersinar-sinar. Ha...ha...ha...
Kalau sebut soal wang, siapa yang tidak suka, bukan? Ada benarnya kata-kata Sifu itu. Saya sendiri menulis kerana wang. Ya, tepat sekali! Kekurangan wang menyebabkan saya cuba 'membuat kerja sambilan' yang tentunya saya sendiri gemarkannya.
Tapi, saya masih tidak kaya-kaya! Hal ini disebabkan saya masih berada dalam kategori penulis kerdil. Namun, bukankah setiap perkara yang bermula biarlah berdikit-dikit dahulu. Berbekalkan keazaman yang utuh dan displin yang tinggi, tidak mustahil kawan-kawan yang minat menulis boleh mengubah kehidupan menjadi lebih baik. Tidak terlambat bagi mereka yang benar-benar ingin berubah. Jadi, kalau hendak kaya...jadilah penulis! hahaha...*walaupun begitu harus diingat, menulis juga ada 'peraturan' yang tersendiri. Bukan hentam kromo saja tau! (^^,)V.

Wednesday, October 13, 2010

Bertukar! Beep...beep...beep

A, ha! Wajah blog saya sudahpun bertukar...
Lebih mudah dibaca, bukan? He...he...he...

Jika kawan-kawan perasan, mengapakah saya meletakkan gambar buku-buku Roald Dahl?
Sebenarnya, Roald Dahl adalah penulis kegemaran saya. Set buku Roald Dahl ini saya beli untuk koleksi saya dan pada masa yang sama, mungkin dapat memberikan idea-idea penulisan kepada saya.
Bagi saya, beliau adalah seorang penulis yang sangat luar biasa. Jika mahu tahu dimanakah luar biasanya Roald Dahl ini, kawan-kawan kenalah baca buku-bukunya! Nanti jika ada masa, saya pasti akan mengulas beberapa buah buku hasil penulisan beliau di sini ya! (^^,)V

Tuesday, October 12, 2010

Kosong



Saat ini, KOSONG...
Minda saya, KOSONG...
Hati saya, KOSONG...
Poket saya, apatah lagi...juga KOSONG (ha...ha...ha).

Seorang rakan berbual KOSONG (kosong lagi!) dengan saya beberapa hari lepas.
Dia juga seorang penulis. Saya anggap dia sebagai penulis senior. Ya, dia menyatakan keazamannya untuk menulis dengan lebih banyak lagi. Hem...sama seperti saya. Tapi, entah mengapa di saat azam itu berkobar-kobar, ada pula halangannya. Terlalu banyak... halangan yang paling menyesakkan adalah apabila saya TIADA IDEA untuk menulis. Sama seperti luahan sahabat saya itu. Jika ada sekalipun, idea itu hanya berlegar-legar di minda tanpa saya muntahkan pada tempatnya yang sesuai. Aduh, bagaimanakah mampu saya menjadi penulis prolifik kalau begini gayanya? (*walaupun itu bukanlah 'cita-cita' asal saya sejak saya menceburi bidang ini. Alahai... (^^,)V

Monday, September 27, 2010

Sedang sambung belajar

Saya sedang sambung belajar… tetapi saya sambung belajar di universiti terbuka PTS. He he he… Saya sememangnya ingin sambung belajar akan tetapi, masalah kewangan yang menyebabkan niat saya terbantut. Jadi, saya ‘sambung’ dahulu pengajian saya di situ.

Tidak saya sangka, pengalaman pertama kali belajar dengan sifu Ainon mengujakan saya untuk terus-terusan mengutip ilmu daripada beliau. Gaya belajar yang santai dan menarik (walaupun ada para pelajar yang hadir terpaksa berada di luar kelas dan duduk di atas lantai kerana ruang belajar yang sempit), namun sesungguhnya itu tidak menghalang para ‘pelajar’ yang berminat untuk terus setia menghadirkan diri.

Saya sebenarnya pernah mendapat ‘jemputan secara tidak rasmi’ oleh sifu pada tahun lepas untuk mengikuti kursusnya. Namun saya hanya sempat mendaftar dan tidak pula saya hadirkan diri kerana pada masa itu saya agak kesibukan.

Tiba-tiba saya berasa rugi kerana lewat menghadirkan diri. Apatah lagi jika terlewat masuk ke kuliah. Semalam, sifu memulakan kuliah lebih awal daripada masa yang dinyatakan. Jadi, saya dan rakan pula terpaksa duduk di belakang dan saya sememangnya tidak suka berada di belakang semasa belajar. Apatah lagi dengan keadaan mata yang tidak mengizinkan, lagi merimaskan saya.

Tidak mengapa, saya nekad... untuk kuliah yang akan datang saya akan sampai lebih awal. Maklum sahajalah, saya terpaksa menaiki komuter dan juga menaiki LRT. Perjalanan saya dirasakan terlalu lama... namun apabila bercerita bersama ‘pelajar’ lain, rupa-rupanya ada dalam kalangan mereka yang datang dari Johor Bahru dan Singapura. Saya ternganga seketika. Kekaguman meresapi diri saya. Lihatlah, betapa rela orang yang dari jauh datang demi mendapatkan ilmu... dan sekiranya mereka yang hanya berada di sekitar Kuala Lumpur tidak dapat menghadirkan diri, sebenarnya mereka rugi sekali. Rugi kerana tidak mendapat sesuatu yang bermanfaat.
Moga-moga saya akan bergraduasi dengan cemerlang pada hujung tahun ini.
He he he (^^,)V


*saya dan rakan-rakan pose sehari sebelum hari graduasi
peringatan: jangan betulkan skrin komputer anda...(^^,)V

Teruskan berkarya!

Akhirnya saya kembali menulis cerpen. Dalam cerpen tersebut saya selitkan sedikit pengalaman saya ke Gunung Ledang. Namun, ceritanya bukanlah tentang Gunung Ledang secara keseluruhannya. Tajuknya dan apakah jalan ceritanya biarlah rahsia kerana cerpen tersebut masih dalam penilaian editor yang berkaliber. Saya baru sahaja menghantarnya dan saya perlu bersabar menantikan jawapan daripada pihak editor tersebut.

Seingat saya, kebanyakan cerpen saya menggunakan kaedah eponim (kaedah mengangkat nama watak utama sebagai judul cerita). Cerpen yang paling saya gemari tentu sekali “Alahai Ayah”. Sebuah karya yang sangat bermakna buat ‘budak baru belajar’ pada masa itu. Tatkala mendapati cerpen tersebut di Majalah Mingguan Wanita, saya melompat kegembiraan. Masakan tidak, karya pertama saya (yang dihantar kepada pihak penerbit) diterbitkan. Kita tutup dahulu kisah-kisah lalu saya. Jika punyai kelapangan, tentu sekali saya akan berkongsi cerpen-cerpen saya itu.

Berbalik kepada cerpen baru saya, sedikit pengalaman yang saya kutip semasa di Gunung Ledang, saya zahirkan ke dalam cerpen tersebut. Tentu sekali banyak perkara menarik yang terjadi memadangkan saya tidak pernah berkhemah di dalam hutan. Apabila menonton rancangan realiti ‘Gadis Melayu’ pada baru-baru ini yang diberi tugasan berkhemah di dalam hutan, saya mendapat sedikit ilmu daripada rancangan tersebut. Tiba-tiba saya ingin pergi berkhemah lagi. Tapi...(^^,)



-Cara untuk menghidupkan api pun kami tidak tahu, alahai...



-Teknik terkini membancuh teh...

Friday, September 24, 2010

Isy...isy...isy...

Alahai, sudah lama tidak update blog saya hinggakan saya hampir-hampir terlupa kata laluannya...ya, terlalu banyak yang ingin saya kongsikan namun terlalu banyak juga kekangan untuk saya menghadirkan diri di laman ini.
Insyaallah, akan ada sesuatu untuk dihidangkan...cuma perlukan sedikit kekuatan dan masa untuk menterjemahkannya...

Tuesday, July 13, 2010

Siapakah Jejaka Ini???



Siapakah jejaka ini? Wajahnya nampak ‘cool’. Sememangnya dia ‘cool’. Dia bukan adik saya. Apatah lagi jiran saya. Tapi dia antara penyumbang di dalam buku (buku-buku?) saya. Dia yang saya kenali beberapa tahun yang lalu, menjadi orang yang penting dalam kehidupan saya sepanjang saya berkarya terutama bersama KarnaDya. Cara KarnaDya mungkin sedikit berbeza daripada penerbit lain kerana mereka mahukan penulis sendiri mencari pelukis untuk buku-buku mereka (bagi buku awal remaja). Jadi, kepada para penulis yang sememangnya mempunyai bakat melukis, bolehlah ‘mempromosikan’ hasil penulisan dan lukisan sekaligus. Tapi saya, tahu melukis...Cuma tidak pakar. Saya risau jika saya lukis orang lidi, nanti pokok yang jadi. Maka eloklah saya memberikan pada yang pakar.
Ya, dan dialah orang pakar itu. Namanya Zuar. Dia masih belajar di Aswara. Saya berharap pabila dia habis belajar kelak, dia akan menjadi seperti yang dia harapkan. Saya juga akan turut membantunya apa-apa yang patut. Ini janji saya.
Cuma, apa yang saya kagum tentang anak muda ini
• Dia ada minat yang mendalam.
• Kesungguhan dalam menghasilkan karyanya
• Dia juga akan bertanya sehinggalah dia faham.
• Dia akan berjumpa saya jika dia mahukan penerangan yang terperinci.
• Memberikan pendapat tentang karya saya atau lukisan yang saya minta.
Tapi awas, dia pendiam!...diam-diam ubi tapi berisi ilmu ye...

Dan...perkara yang lebih mengagumkan saya, dia lebih ‘matang’ dalam menghasilkan karyanya. Di bawah ini, saya sertakan dua keping lukisannya daripada buku-buku saya. Kawan-kawan nilailah sendiri ‘kisah’ jejaka yang hangat diperkatakan ini (hahahahaha).


-Tahniah dan jutaan terima kasih saya ucapkan buatnya kerana sudi bekerjasama dengan saya-

terima kasih daun ubi,
kalau boleh kita bekerjasamalah lagi.(^^,)V

Monday, July 12, 2010

Kids On 2...Perghhhh!!!

Saya memuji pihak KarnaDya (KD) yang mengambil inisiatif untuk 'mempromosikan' produk terbitannya dan tentulah buat para penulisnya juga. Walaupun saya tahu saya hanyalah penulis yang sangat kerdil, akan tetapi masih diberikan peluang untuk muncul di kaca TV dan ditemuramah oleh adik Jacqueline yang petah berkata-kata.
Tidak ramai rakan-rakan saya termasuklah keluarga saya yang tahu akan hal ini. Entah, saya masih 'malu-malu'. Rancangan ini sudahpun ditayangkan di TV2 pada hari Ahad, 20 Jun yang lalu. Saya juga turut merakam rancangan tersebut supaya pada masa-masa akan datang, rancangan ini boleh saya tonton berkali-kali dan menjadi pembakar semangat saya.



Perkara yang lebih menggembirakan saya adalah sokongan daripada sepupu saya yang begitu teruja sepupunya ini 'masuk' TV. Dia sanggup untuk tidak ke sekolah(memandangkan di Pantai Timur, hari Ahad sudah bermula kembali persekolahan). Katanya, "kak, menulislah banyak-banyak lagi, barulah glamor dapat masuk tv". Saya hanya tergelak dengan mesej yang dihantar. Sungguh, tujuan saya menulis bukan untuk 'mengejar glamor' (sudah macam selebriti pula rasanya). Saya menulis juga bukan kerana nama, tapi... biarlah saya sahaja yang mengetahui sebab saya menulis.
Cuma, sudah agak lama tidak 'bersama kamera' membuatkan saya agak gugup. Semasa rehearsal, saya bagaikan mati kata-kata. Namun, bila 'action' sahaja, saya dengan lancar menjawab setiap soalan. Saya juga agak sedikit menyesal kerana terlupa membawa buku saya sendiri (aiskh...) tapi tak mengapa, yang penting pengalaman yang saya kutip ini sangat bermakna. Terima kasih KD, Shira, Suzi, Sal, Kids On 2 dan semua tentunya! Kalau sudi, jemputlah saya lagi...he..he..he..(^^,)V

Friday, July 9, 2010

Aduh, kecundang lagi!

Nampaknya saya kecundang lagi. Kecundang pada janji-janji yang telah saya tabur untuk 'update' blog ini beberapa kali dalam sebulan. Nampaknya sudah terlalu lama blog ini 'mati'. Saya tidak ingin membiarkannya begini dan terus-terusan 'mati' dan akhirnya terkubur begitu sahaja.

Dulu, saya tidak punyai banyak cerita yang hendak dikongsikan. Kini, sudah terlalu banyak pun masih tidak sempat juga. Apakah sebabnya? Sebabnya, hanya saya dan biarlah saya sahaja yang mengetahuinya. Tidak mahu pula dicop sebagai orang yang suka beralasan...
hemmmm....

Sunday, June 20, 2010

Buku Raya???

"Tahniah Nazrie", kata sahabat saya.
"Kenapa?" saya bertanya.
"Tahniah kerana cerpen kau terpilih di PTS One", katanya lagi.
Saya hanya menyambut ucapan tahniah itu dengan sebuah senyuman dan ucapan terima kasih.
Alhamdulillah, ini kali kedua cerpen saya diterbitkan oleh PTS One (cerpen raya).
Pada mulanya saya tidak berminat untuk menyertainya kerana saya anggap cerpen raya tentu sekali banyak karya yang cliche. Namun, setelah buku tersebut sampai ke tangan saya, saya dapati terdapat kepelbagaian cerita yang disampaikan dan yang pasti, peristiwa tersebut bertemakan bulan puasa dan hari raya. Di bawah ini, kulit buku raya tersebut. Kalau 'terserempak' di kedai buku kelak, jangan lupa beli ya! (^^,)V

Sunday, May 23, 2010

Apabila Dr. Lim Swee Tim Berbicara...

Saya mengagumi beliau. Saya suka mendengar beliau berkata-kata dan juga mendeklamasikan sajak. Tatkala saya mengetahui beliau akan membincangkan tentang suatu topik di Radio 24, saya tidak membazirkan masa, saya mendengar apa yang beliau kupaskan.
"DASAR BUKU NEGARA yang dilancarkan pada 1988 dilihat gagal diterjemahkan apabila deretan soalan masih belum terjawab. Isu penerbit dan penulis, kempen membaca yang tidak jelas serta budaya membaca yang tidak menjadi amalan kita. Nasib buku juga terus tenggelam dalam mengharungi kecanggihan ICT"-FB Radio 24.

Antara isu yang dibincangkan adalah tentang minat membaca dalam kalangan kita. Jenis buku yang dibaca juga turut memainkan peranan penting. Menurut Dr. Lim Swee Tim tatkala diajukan persoalan bahawa; ramai orang selesa membaca e-book, jawapan beliau sama seperti yang pernah diperkatakan oleh pensyarah saya; Membaca di mana-mana atau melalui medium apa-apa sahaja pun, konsepnya tetap sama. Membaca memberi kita ilmu, maklumat dan percambahan minda yang berbeza. Namun, membaca melalui buku memberikan kita kepuasan yang tidak kita peroleh daripada membaca di Internet.

Bagi saya, terdapat banyak cara untuk kita membaca. Tidak kisahlah melalui buku atau melalui medium apa pun. Yang penting, bacaan tersebut adalah sesuatu yang memberikan manfaat kepada kita. Tambahan pula, kecanggihan teknologi kini tidak memberi ruang kepada kita untuk memberikan alasan 'tidak punyai masa' untuk membaca. Jika kita tidak sempat menghadap Internet, aplikasi e-book di telefon bimbit juga sudah ada. Bukan itu sahaja, malah terdapatnya e-book 'kindle'yang membolehkan kita membaca pelbagai jenis 'buku' dan majalah serta banyak lagi.

Namun, pilihan saya pula bagaimana? Saya boleh katakan, saya masih menyukai kaedah tipikal cara buku dipegang dan dibaca. Helaian kertas yang saya selak, cetakan teks pada buku tersebut, memberikan suatu nyawa kepada buku itu. (^^,)V


-Walaupun terdapat banyaknya cara canggih untuk kita membaca, kaedah lama dilupa jangan...-

Saturday, May 22, 2010

Kisah di Gunung Ledang







Jom, jamu mata!

Itulah beberapa keping gambar yang ingin saya kongsikan dengan kawan-kawan. Gambar yang saya ambil sendiri. Keindahan yang saya saksikan sendiri dan ketenangan yang saya nikmati pada waktu itu, ingin saya nikmati lagi dan lagi.

Saya berasa ingin berkongsi dengan kawan-kawan tentang pengalaman saya ke Gunung Ledang. Mungkin bukan sesuatu yang boleh dibanggakan sangat kerana saya bukanlah dapat menawan puncaknya. Namun, apa yang saya ingin perkatakan adalah mengenai langkah saya yang saya sudah mulakan. Saya berasa saya perlu untuk melakukan banyak lagi perkara-perkara yang tidak dapat saya lakukan sewaktu saya remaja. Mungkin saya tidak menggunakan waktu dan peluang itu sebaiknya atau sikap saya sendiri pada masa itu yang kurang aktif dan tidak suka bergaul.

Baru-baru ini, seorang kawan menghantar emel mengajak saya untuk camping. Saya pula dengan cepat menjawab ‘YA’. Selepas itu baru saya terfikir tentang segala macam ketakutan yang bakal saya hadapi di sana. Namun, saya gagahi jua untuk menghadapi keadaan itu dan niat yang paling utama, biarlah saya ke sana untuk muhasabah diri.

Saya tidak punyai pengalaman camping! Itu sudah pasti dan sudah saya nyatakan kepada sahabat saya itu. Namun kata mereka, mereka ada cukup pengalaman camping dan boleh membantu saya. Malangnya, saya boleh katakan bahawa ilmu perkhemahan mereka masih belum cukup. Masakan tidak, kami terpaksa makan burger yang kami bakar di atas 'bara surat khabar' dan bukan di atas bara api. Aduhai...

Namun, saat melangkahkan kaki ke Kolam Puteri, hati saya berasa tersangat kagum dengan penciptaan yang Maha Esa. Saya berasa sayu di saat sampai ke Kolam Puteri tersebut. Mungkin saya penat, mungkin juga saya tidak percaya bahawa saya sedang melakukan aktiviti itu. Tambahan pula, sepanjang malam saya tidak dapat tidur kerana perasaan bimbang dan gusar sekiranya berlaku apa-apa yang tidak diingini. Maklumlah, hanya khemah kami sahaja berada di situ. Walaupun khemah kami di tempatkan di tepi kabin namun, masakan kita tahu apakah musibah yang bakal menimpa. Ini kerana hanya kami berempat berada di sana.

Cukuplah pengalaman yang sedetik cuma itu mengajar saya bahawa, jika kita ingin melakukan sesuatu, sedikit sebanyak biarlah berilmu. Kedua, saat tidur di dalam khemah di atas tanah menyebabkan saya mengucapkan kata syukur kerana sekurang-kurangnya saya hanya perlu tidur di atas tanah hanya semalaman. Bagaimanakah pula dengan mereka yang tidak punyai rumah dan kurang berkemampuan? Pada masa yang sama juga, terasa diri ini begitu kerdil ditemani penghuni alam yang lain.

Moga-moga pengalaman ini memberi erti sebuah kehidupan kepada saya.

Masalah! Masalah!

Agak sekian lama tidak mengetak papan kekunci dan mengemas kini blog ini. Banyak masalah yang menimpa. Antaranya, masalah untuk mengemas kini blog ini kerana saya telah menukar template yang 'terlalu' canggih hinggakan saya tidak tahu di mana mahu mengeditnya.

Manakala masalah kemalasan diri yang terlampau juga bagaikan tiada ubatnya. Apabila pulang dari tempat kerja, saya berasa terlampau penat. Masa yang saya ada bagaikan tidak cukup. "Kerja-kerja" yang sepatutnya saya lakukan apabila saya pulang, banyak yang terbengkalai. Tapi sebenarnya itu hanyalah suatu alasan. Saya mungkin hanya melayani perasaan. Ada orang lain yang lebih penat daripada saya. Bekerja di siang hari, apabila pulang terpaksa menjaga anak-anak dan keluarga.

Ya, saya sedang berusaha untuk melawannya. Kawan-kawan juga mesti begitu. Mesti mempunyai daya kental untuk menahan segala perkara negatif yang menghalang kita daripada berjaya. Bukankah kata orang, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih?
Ayuh, kita sama-sama bangkit dalam menyelesaikan setiap masalah yang kita hadapi dengan cara kita tersendiri.

Masalah pertama saya sudahpun selesai. Saya terpaksa menukar template blog saya kepada yang biasa-biasa sahaja. Tapi tidak mengapalah, asalkan berfungsi dengan baik. Masalah kedua, saya sedang berusaha mengatur masa saya dengan lebih terurus dan tidak mensia-siakan masa lapang saya. (^^,)V

Monday, March 29, 2010

Pesta Buku, Seronok!!!



Pada hari kedua pesta buku bermula, saya berada di booth KarnaDya. Memenuhi jemputan la katakan. Di dalam gambar itulah saya bersama dua orang sahabat penulis sedang menandatangani buku masing-masing (sign autograf > sudah macam artis pula rasanya) he...he...he...

Saya dan penulis Aqmaer Halim hanyalah tersenyum-senyum ke arah pengunjung yang datang akan tetapi lain cerita bagi penulis Sekuntum Mawar Buat Adikku, Puan Balqis MZ. Sepanjang berada di sana, beliau dapat menjual 10 buah buku beliau sendiri. Saya dan Aqmaer memang tabik kepada Puan Balqis. Dia mempunyai kemahiran persuasif yang bagus. Bijak memancing pembeli dengan caranya yang tersendiri. Beliau juga turut mempromosikan buku Si Belang dan Sayang Kakak. Kalau harapkan kami, sampai bila-bila kami tak mampu untuk mempromosikan buku kami sendiri.

Walaupun begitu, pengalaman ini amat bermakna dalam hidup saya. Mungkin saya bukan penulis hebat namun, sesuatu yang pasti ialah saya gembira dan bersyukur dengan perkara yang sedang saya lakukan di sini. Langkah pertama yang saya atur, pastinya akan saya jejaki hingga ke akhirnya. Nokhtahnya bukan di sini. Ini hanyalah permulaan. Sedikit dugaan dan cabaran yang mendatang moga-moga saya gagah menempuhinya. Saya tidak membeli apa-apa buku pada tahun ini tapi saya memperoleh pengalaman yang terlalu mahal harganya yang tak dapat dibayar oleh sesiapa.

Tuesday, March 16, 2010

Kita Mulakan Ya! Huuuu...



Kawan-kawan,
Pernahkah kawan-kawan memiliki barang-barang yang kawan-kawan suka? Adakah kawan-kawan masih menyimpannya sehingga ke hari ini? Tentunya barang-barang tersebut mempunyai 'nilainya' yang tersendiri. Nilainya bukan dari harganya sahaja, kawan-kawan malahan juga boleh jadi barangan tersebut merupakan pemberian daripada ayah ibu atau sesiapa sahaja. Seperti barangan di dalam gambar ini, terdapatnya barangan yang pernah dihadiahkan oleh murid-murid saya semasa mengajar dahulu. Shrek kesukaan saya itu pula pemberian daripada seorang sahabat saya.

Pen holder ladybird itu juga pemberian sahabat saya di hari terakhirnya bekerja. Frame gambar rama-rama pula adalah hadiah tempat kedua sewaktu saya memasuki pertandingan mendeklamasikan sajak di universiti. Cantik, bukan? Benda yang paling lama yang pernah saya simpan di dalam gambar tersebut ialah pasu bunga kecil (yang berdekatan jam) yang saya panggil bunga kaca. Bunga tersebut pemberian pak cik saya semasa di sekolah rendah. Saya menyimpannya sehingga ke hari ini. Sesungguhnya setiap barang tersebut mempunyai kisahnya tersendiri. Bagaimanakah pula dengan kawan-kawan? Apakah barangan kesayangan kawan-kawan dan kisah di sebaliknya. Jika ada, kawan-kawan kongsi ya!