Semoga Ia Mengukir Senyuman...

Semoga Ia Mengukir Senyuman...
Karya-karya Nazrie Haslieanie

Saturday, May 22, 2010

Kisah di Gunung Ledang







Jom, jamu mata!

Itulah beberapa keping gambar yang ingin saya kongsikan dengan kawan-kawan. Gambar yang saya ambil sendiri. Keindahan yang saya saksikan sendiri dan ketenangan yang saya nikmati pada waktu itu, ingin saya nikmati lagi dan lagi.

Saya berasa ingin berkongsi dengan kawan-kawan tentang pengalaman saya ke Gunung Ledang. Mungkin bukan sesuatu yang boleh dibanggakan sangat kerana saya bukanlah dapat menawan puncaknya. Namun, apa yang saya ingin perkatakan adalah mengenai langkah saya yang saya sudah mulakan. Saya berasa saya perlu untuk melakukan banyak lagi perkara-perkara yang tidak dapat saya lakukan sewaktu saya remaja. Mungkin saya tidak menggunakan waktu dan peluang itu sebaiknya atau sikap saya sendiri pada masa itu yang kurang aktif dan tidak suka bergaul.

Baru-baru ini, seorang kawan menghantar emel mengajak saya untuk camping. Saya pula dengan cepat menjawab ‘YA’. Selepas itu baru saya terfikir tentang segala macam ketakutan yang bakal saya hadapi di sana. Namun, saya gagahi jua untuk menghadapi keadaan itu dan niat yang paling utama, biarlah saya ke sana untuk muhasabah diri.

Saya tidak punyai pengalaman camping! Itu sudah pasti dan sudah saya nyatakan kepada sahabat saya itu. Namun kata mereka, mereka ada cukup pengalaman camping dan boleh membantu saya. Malangnya, saya boleh katakan bahawa ilmu perkhemahan mereka masih belum cukup. Masakan tidak, kami terpaksa makan burger yang kami bakar di atas 'bara surat khabar' dan bukan di atas bara api. Aduhai...

Namun, saat melangkahkan kaki ke Kolam Puteri, hati saya berasa tersangat kagum dengan penciptaan yang Maha Esa. Saya berasa sayu di saat sampai ke Kolam Puteri tersebut. Mungkin saya penat, mungkin juga saya tidak percaya bahawa saya sedang melakukan aktiviti itu. Tambahan pula, sepanjang malam saya tidak dapat tidur kerana perasaan bimbang dan gusar sekiranya berlaku apa-apa yang tidak diingini. Maklumlah, hanya khemah kami sahaja berada di situ. Walaupun khemah kami di tempatkan di tepi kabin namun, masakan kita tahu apakah musibah yang bakal menimpa. Ini kerana hanya kami berempat berada di sana.

Cukuplah pengalaman yang sedetik cuma itu mengajar saya bahawa, jika kita ingin melakukan sesuatu, sedikit sebanyak biarlah berilmu. Kedua, saat tidur di dalam khemah di atas tanah menyebabkan saya mengucapkan kata syukur kerana sekurang-kurangnya saya hanya perlu tidur di atas tanah hanya semalaman. Bagaimanakah pula dengan mereka yang tidak punyai rumah dan kurang berkemampuan? Pada masa yang sama juga, terasa diri ini begitu kerdil ditemani penghuni alam yang lain.

Moga-moga pengalaman ini memberi erti sebuah kehidupan kepada saya.

No comments:

Post a Comment