Semoga Ia Mengukir Senyuman...

Semoga Ia Mengukir Senyuman...
Karya-karya Nazrie Haslieanie

Sunday, November 1, 2015

Cerpen Pertama dan Berikutnya

Sejak saya menjadi penulis sepenuh masa iaitu selama hampir 6 bulan ini, boleh saya katakan sudah 11 buah cerpen berjaya saya hasilkan. Walaupun pencapaian tidaklah membanggakan seperti mana penulis yang memang pakar dalam penulisan cerpen, saya tetap memandang 11 buah cerpen itu sebagai satu pencapaian yang agak baik sebabnya, saya sudah terlalu lama berhenti menulis cerpen (lebih tepat cerpen dewasa).

Seawal penglibatan saya sebagai seorang penulis, saya menulis cerpen dan hantar ke majalah Mingguan Wanita pada masa itu yang memang perlukan cerpen yang banyak kerana ia terbitan secara mingguan. Jadi, saya dan rakan-rakan pada masa itu ambil peluang dan setiap kali cerpen terbit di majalah, kami sangat teruja hingga mahu saja lompat bintang. Di bawah ini, merupakan anak sulung saya yang memberikan laluan kepada saya untuk terus berkarya.


***Alahai Ayah, terbitan Mingguan Wanita tahun 2005***


Seperti kebanyakan karya yang saya hasilkan, ia tentang kekeluargaan dan hubungan antara anak dan ayah. Pada masa ini masih terlalu hijau dalam bidang penulisan. Namun, ia pengalaman yang berguna buat saya.

Berbalik kepada 11 cerpen yang dihasilkan itu, ia terhasil kerana beberapa pertandingan yang dianjurkan oleh beberapa penerbit. Namun, daripada 11 buah cerpen ini, dua daripadanya ditolak penerbit. Cerpen yang ditolak itu mungkin sangat tidak kena temanya kerana bahasa yang saya gunakan seperti bahasa purbakala hehehe... manalah orang sekarang hendak baca, kan? 

Cerpen kedua yang kononnya ditolak, membuatkan saya bertambah terkilan hingga saya bertanyakan kembali sebab cerpen saya itu ditolak. Namun, mungkin sudah rezeki saya sebenarnya cerpen itu tidak ditolak pun cuma pengendali tersalah pandang. Alahai, kalau saya tak berkeras (dan masih seperti dahulu yang selalu saja membiarkan segala keputusan penerbit, pasti saya tak berpeluang untuk lihat cerpen saya itu diterbitkan. Cerpen yang sememangnya ditolak pula saya tidak diberikan apa-apa sebab munasabah. Jadi, saya ambil keputusan tidak perlu lagi menulis untuk penerbit itu. Saya bukan berputus asa tapi dari setiap bahan yang ditolak, saya semakin tahu bahan yang kena dengan cara rumah penerbitan tersebut.

Cerpen saya yang lain-lain pula adalah kerana saya ingin sekali terlibat dengan hal-hal kesusasteraan yang dianjurkan oleh salah sebuah penerbit yang berdekatan dengan negeri saya. Ini juga peluang yang saya tak lepaskan. Saya hantar dua buah cerpen ke penerbit berkenaan (dan walaupun masih belum terima apa-apa perkhabaran, saya akan menantikan dengan penuh sabar)

Cerpen lain juga yang dihasilkan mesti menggunakan tema yang diberikan. Dari situ, penulis perlu menjadi lebih kreatif dalam menghasilkan karyanya. Bagi saya pula, cerpen yang menggunakan tema sebegitu adalah unik. Saya menghantar setiap satu tema hanya sebuah cerpen manakala penerbit sebuah lagi, tidak perlu menyebut tema di dalam cerpen berkenaan. Hanya perlu hantarkan karya bebas.

Dua buah cerpen saya yang sudahpun diterima (dan salah satunya berada dalam antologi Sedegup Cinta) dengan senang hati saya menunggunya ke tangan saya. Cerpen yang sebuah lagi itu sudah masuk fasa penyuntingan dan semakan (agar penulis tidak memplagiat karya kerana timbul isu besar yang terjadi baru-baru ini jadi penerbit makin berhati-hati dan sewajarnya begitu).

Kesemua pengalaman menulis cerpen ini memang menyeronokkan. Cuma rasa sedikit pening sebab nak fikir cerpen yang lebih baik dan tak klise. Nanti ada yang kata cerita terlalu klise dan sudah dijangka pula pengakhirannya. Apapun, diharapkan tujuh buah cerpen saya yang lain itu berjaya mendapat tempat di hati penerbit sekali gus diterbitkan. Jika ia diterbitkan, jadi adalah peluang saya untuk ada banyak buku pada tahun 2016 (upss, salah satu impian sudah terburai rahsianya...) (^^,)V 



Friday, October 30, 2015

Apa yang Ada Sepanjang 2015?

Apa yang ada? Banyak sebenarnya. Antaranya, empat buah buku saya terbit termasuk yang paling baharu (cerpen dewasa). Wah, dah tulis cerpen dewasa sekarang? Alahai, jangan disulitkan benda yang mudah, jangan disempitkan benda yang sebenarnya sangat terbentang luas. Apabila bercakap soal cerpen dewasa atau novel cinta mesti kita terbayangkan kisah-kisah cinta yang ditayangkan di dalam televisyen itu, bukan? Ia memanglah sebahagiannya saja namun cinta itu luas sekali pengertiannya. Eh, apa kata kisah dan buku 'cinta' saya tu saya perincikan dalam entri yang lain dan kali ini kita reviu dulu serba sedikit buku saya yang ada pada tahun ini dan pada 2014 yang saya berhenti menulis seketika dulu tu. Terimalah... dipersembahkan...

***Apabila Ibu Ambil Cuti, novel kedua terbitan ITBM***

TAJUK: APABILA IBU AMBIL CUTI
TERBITAN: ITBM
TAHUN TERBITAN: 2014
KISAHNYA: Kisahnya pasal apa? Kenapa pula ibu ambil cuti? Ke mana? Ke Paris, London, New York, Bangsar South? Hah, semua ni akan terjawab apabila buku ini berjaya rakan-rakan hadam. Kisah remaja yang santai saja sebenarnya dan juga ceritanya biasa tapi insya-Allah setiap daripada buku-buku saya tentu ada mesej yang hendak disampaikan. Ya lah, kalau tak ada mesej hendak disampaikan, takkanlah buku ini mendapat tempat di hati para pemilih dari Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada tahun 2015 dan membelinya sebanyak 502 naskhah. Alhamdulillah itu rezeki. Rezeki tak disangka buat seorang "Penganggur Kelas Pertama"

***Ketiga-tiga buku bergambar pertama saya***

TAJUK:BOLEHKAH AIMAN..., PARI MAHU TERBANG, DONAT BERWARNA-WARNI TERBITAN: BUKU PRIMA
TAHUN TERBITAN: 2015
KISAHNYA: Buku bergambar pertama saya. Masa hasilkan buku-buku ini banyak sekali kesukaran saya hadapi dan juga pengalaman baharu yang saya kutip di sepanjang menyiapkannya. Pertama sekali, menghasilkan buku bergambar bersama pelukis yang saya cari sendiri atau saya akan 'dipasangkan' dengan mana-mana pelukis yang mungkin saya tidak kenali sama sekali. Alhamdulilah, seorang rakan editor membantu saya dengan memperkenalkan kepada sepupunya yang juga seorang pelukis. Sepanjang proses itu juga, beberapa kali saya diminta untuk mengubah lukisan (kerana pelukis pertama tidak menepati kehendak pihak penerbit hingga akhirnya saya diperkenalkan oleh editor berkenaan). Saya juga membayar sejumlah wang bagi lukisan untuk buku-buku itu (pada waktu ini belajar keluar modal sendiri). Rasa parah juga tapi itulah pelaburan yang saya lakukan sebab pelukis tersebut tidak mahu berkongsi royalti. Sebuah surat perjanjian turut kami tandatangani. Sepanjang proses penulisan juga, oleh kerana kekangan masa, saya pernah menaip bahan saya ini sewaktu saya menunggu bas di hentian bas hanya dengan menggunakan telefon bimbit yang kecil pada masa itu. Mata pun boleh sakit tapi memandangkan saya perlu mencuba untuk ambil peluang ini, saya tidak hiraukan semua itu. Apatah lagi saya pernah juga ke kafe siber semata-mata mahu siapkan bahan berikutnya demi mengejar tarikh akhir yang semakin hampir. Namun syukur kepada-Nya, kerana ketiga-tiga manuskrip saya diterima untuk diterbitkan.

***Sedegup Cinta, kisah cinta yang pelbagai***

TAJUK: ANTOLOGI CERPEN SEDEGUP CINTA
TERBITAN: SO PUBLICATION (DENGAN KERJASAMA GMM)
TAHUN TERBITAN: 2015
KISAHNYA: Apabila terbaca satu tawaran menulis cerpen, saya mencubanya. Walaupun tahu ia mungkin akan menjadi sebuah cerita yang kaku (mungkin) namun bukan saya yang menilai. Lagipun salah satu sebab saya suka untuk menulis dalam antologi ini adalah kerana ia kisah cinta yang sentiasa berlegar di sekeliling kita yang mungkin jarang kita beri perhatian. Cinta itu luas. Bukan terbatas pada lelaki dan perempuan ajnabi saja. Cinta pada kucing, pada agama, bangsa, kerjaya. Itu kategori cintalah tu! Tapi istimewanya penerbitan kali ini, ia tidak dibayar royalti atau belian putus akan tetapi kami para penulis yang terlibat perlu membayar sejumlah wang (untuk kos percetakan dan sebagainya) dan diberikan 20 buah naskhah buku untuk dijual. Ia masih segar dan wangi di tangan saya sebab baru keluar dari gudang. Saya pun masih dalam proses membuat pengeposan. Insya-Allah dan alhamdulillah untuk setiap perkara indah yang terjadi pada tahun ini. Sasaran tahun 2016? Hemmm... (^^,)

Kenapa Saya Mulakan Blog?

Sudah lama. Malah terlalu lama saya mendiamkan diri. Entri terakhir saya juga berkenaan buku Rifqi Di Dunia Nyum-nyum. Yang mana buku itu sudah beberapa kali saya peroleh royaltinya. Walaupun berkongsi royalti dengan rakan penulis tapi itulah antara buku kebanggaan kami kerana pertama kali kami melakukan JV (joint venture) - walaupun mungkin istilahnya tidaklah tepat. Berbalik kepada tajuk di atas, 'Kenapa Saya Mulakan Blog?'. Ya, beberapa tahun lalu saya berkeputusan untuk memulakan blog kerana saya nak buku-buku saya dan hasil kerja saya dikenali. Sepanjang tempoh itu juga, ada jatuh bangunnya saya sebagai seorang penulis tambahan penulis kecil (dan saya akui masih kecil sekarang ini). Bukan menjadi penulis selebriti, itulah akibat yang saya tanggung walaupun saya sendiri tidak gemar untuk menonjolkan diri. Akibat yang saya tanggung ialah, "Siapa Nazrie Haslieanie?". Sekali lagi, suka saya tegaskan, saya tidak mencari publisiti kerana saya bukanlah artis tetapi saya mahu karya-karya saya dikenali. Insya-Allah saya akan menantikan itu penuh sabar dengan berkarya dengan lebih baik lagi selepas ini. Sebab lain kenapa saya mulakan blog adalah kerana saya mahu tulis dan terus tulis dengan bahasa yang terjaga (kerana saya tidak sangat menjaga ejaan, tatabahasa dan segala hukum hakam bahasa apabila saya menulis di laman sosial. Jadi, blog menjadi satu wahana untuk saya menulis dengan lebih baik sekali gus membantu saya memperbaik hasil penulisan saya. Harapnya... Sepanjang tempoh saya berdiam diri, banyak perkara yang terjadi. Saya tidak sempat untuk mencoret apa-apa di blog kerana terlalu sibuk melunaskan tugasan dan impian orang lain hingga melupakan impian sendiri namun pada awal bulan Mac (jika tidak silap saya). Sekali lagi saya melepaskan jawatan sebagai orang yang bertanggungjawab mencantikkan bahan-bahan hingga menjadi buku. Pada masa itu saya mendapat tawaran sebagai seseorang yang di luar (sedikit) daripada bidang yang saya ceburi selama 9 tahun namun jodoh, ajal, maut itu bukan di tangan saya. Hanya kerana saya tidak mampu untuk mengawal tekanan yang mendatang, sekali lagi saya berkeputusan untuk berhenti kerja dan kini hampir 6 bulan saya sudah pun bergelar 'Penganggur Kelas Pertama' (saya sendiri yang menamakannya sebegitu) kerana pada zahirnya menganggur daripada tugasan yang dulu tapi bersyukur kerana dapat menjadi seseorang yang saya impikan iaitu Penulis Sepenuh Masa... Alhamdulillah (^^,)V

Saturday, June 28, 2014

Rifqi? Siapa Itu Rifqi?

Hahaha... saspen tajuk saya pada kali ini kan? Sebenarnya, selain Rifqi di alam nyata iaitu sepupu kesayangan saya, sebenarnya ia merupakan nama watak dalam buku terbaharu saya iaitu "Rifqi Di Dunia Nyum-nyum". Pada mulanya tajuk ini dicadangkan sebagai "Pengembaraan Nyum-nyum" namun ditukar atas nasihat penerbit. Begitu juga nama watak yang dicadangkan telah menimbulkan kekeliruan Puan Editor. Tapi, saya baik-baik saja menerima pandangan. Inikan demi kebaikan... Jangan bersikap mendabik dada kerana kita tak tahu apa yang telah dirancang oleh pihak penerbit. Buku ini menemui "peminat" sekitar bulan Mac. Belum cetak lagi kawan-kawan sudah "cop" dan mahu beli. Saya sangat terharu. Dan saya juga kali ini sudah berani buat promosi dan jual buku sendiri. Saya berikan hadiah (sebagai penghargaan) kepada pembeli terawal. Rasa seronok pula melalui pengalaman baharu jual buku sendiri. Yang saya fikirkan bukan pulangan tapi sokongan kawan-kawan tu buat saya sangat terharu. Di sini saya "tampalkan" beberapa gambar yang berkaitan dengan buku Rifqi tersebut.
- Kulit hadapan buku Rifqi -
- Sepuluh pembeli utama yang bertuah -
- Inilah hadiahnya... kecil tapi bermakna... yang penting ikut tema buku... :-) -

Monday, June 9, 2014

Lama Menyepi...

Sekali lagi, saya menyepi. Pada kali ini terlalu lama malah sangat lama. Ya, alasannya juga masih sama. Saya kesibukan. Sekarang bertambah sibuk kerana mempromosi sendiri dan juga menjualnya kepada rakan-rakan terdekat. Buku apa? Ya, buku baharu sayalah! Pada tahun ini ada dua buah buku baru (mungkin tiga atau empat? Upppsss...) itu masih lagi belum pasti dan saya tidak akan seenaknya berbicara jika sesuatu hal itu belum pasti dan sahih. Kena sah! dulu barulah saya akan mengiakannya. Semoga saya bertambah rajin mengemaskini blog dan luangkan banyak masa untuknya. Pada masa yang sama saya juga perlu siapkan beberapa manuskrip untuk beberapa buah rumah penerbitan. Semoga semuanya berjalan lancar dan segala rintangan dapat dihadapi dengan ketenangan. Insya-Allah.

Friday, October 18, 2013

Terapi Diri Melalui Pembacaan

Usai menjalani proses terapi diri dengan membaca buku penulis kegemaran saya iaitu Norhisham Mustaffa (yang saya panggil Pak Cik Hisham). Ya, saya ambil masa yang agak lama untuk menghadam isi kandungan buku ini kerana ada sahaja dugaan yang menerpa. Buku Persinggahan yang saya rasa tak perlu saya rungkai isi perutnya kerana jika anda mencarinya di enjin carian Google, akan ada blog yang menjelaskan tentangnya. Buku ini tidak saya beli secara segar dari kedai buku. Kebetulan saya terjumpanya di kedai buku secondhand. Mungkin sudah rezeki saya. Dan sebenarnya masih mengharap jika buku-buku malar hijau begini dapat saya temukan di mana-mana tapi kalau ada ulang cetak itu lebih berbaloi-baloi... Tidaklah malu jika mahu meminta tanda tangan penulis kelak. :)
Tentang buku ini yang ingin sekali saya kongsi ialah tatkala membacanya atau hasil penulisan lain Pak Cik Hisham tentunya saya tersenyum sendiri. Apabila saya terbaca perkataan seperti berlentang kalang, berpeluh rejap, soksek-soksek, sakler dan banyak lagi perkataan yang mustahil untuk saya senarai panjangkan di sini membuatkan saya terbuai bagaikan kembali ke ‘tanah air’ (kononnya saya perantau yang jauh sekali tinggalnya). Bukankah sesuatu yang menyeronokkan, yang indah, yang mencuit rasa apabila membaca hasil tulisan yang tertera perkataan yang biasa digunakan atau lebih tepat dialek yang dituturkan dieja dan menjadi perkataan yang akhirnya termaktub dalam sesebuah buku? Saya tunjukkan kawan-kawan makna perkataan yang saya ambil dalam Pusat Rujukan Persuratan Melayu @ DBP.
Dulu saya pernah mempersoalkan adakah dialek-dialek begini dikira sebagai Bahasa Melayu Rendah? Seperti mana yang pernah saya diberitahu contohnya tentang sebuah buku yang menulis dialog tentang dialek Kedah atau Melaka (jika tak salah perkiraan saya) seperti ‘Ulaq melingkaq atas pagar’ (sesuatu seperti ini)? Namun jika sudah termaktub dalam Kamus Dewan, maka bukankah ia sudah menjadi bahasa yang utuh penggunaannya dan boleh diguna pakai dalam mana-mana buku penulisan kreatif tanpa perlu menyoal itu dan ini? Atau bagaimana? Dalam Kumpulan Cerpen Pemberani ini juga, ada satu cerpen yang bertajuk Ceritera Sebuah Kampung yang menggunakan 'ambo' (kata ganti nama diri pertama yang pada masa belajar di sekolah dulu cikgu Bahasa Inggeris saya kata, ia bermaksud 'humble'. Jadi sesiapa yang menggunakan 'ambo', orangnya tentu sekali 'humble' ;-) dan 'kelik' yang bermaksud balik. Perkataan ini dicondongkan. Saya sedang mencari jawapan. Kepada tuan atau puan editor yang tahu apakah relevannya silalah maklumkan kepada saya eh, ambo ni... (^^,)v
*** Kumpulan cerpen yang memuatkan 16 buah cerpen yang bagi saya semuanya menarik belaka. Kata orang, kalau dah suka semuanya pasti sempurna... hehehe... dan buku ini diedit oleh sifu saya tau...

Wednesday, October 16, 2013

Menjadi Penilai Manuskrip Pula? Layak kah?

***Ini bukan rumah saya... Inilah RUMAH PENA yang berwajah baharu!*** Ya, saya berada di Rumah Pena. Pada suatu Ahad nan lalu. Pada mulanya hampir mahu membatalkan niat untuk menghadirkan diri kerana rakan saya yang sepatutnya menjemput saya pada jam 7.30 pagi tertidur. Saya pula bagaikan Patung Cendana berdiri di tepi jalan selama 1 jam setengah. Fuh! Hampir hilang sabar dibuatnya tapi mujurlah kerana nekad, rakan saya itu tetap ajak saya pergi dan ya, saya mahu katakan... berbaloi-baloi menghadirkan diri. Mujurlah majlis masih belum bermula. Bak kata kawan saya sewaktu sampai "Aku fikir hanya 'golongan-golongan' kita sahaja (nanti akan saya jelaskan sebabnya). Terasa kerdil pula... Ya, sangat kerdil kerana setelah masuk ke dewan (tempat bengkel dijalankan, barulah kami tahu kami bersama siapa di dalam bengkel tersebut).
*** Suasana sewaktu bengkel berlangsung *** Paginya sewaktu bersarapan, saya bersama dengan seseorang yang sungguh mesra. Di kala beliau 'tumpangkan' kopinya di meja kami, saya berkata "Puan, don't forget your coffee". Beliau menyambut pesanan saya dengan berkata "Sudah berapa kali pagi ini saya makan. Di hotel sudah makan, di sini pun makan lagi. I love food" Saya kemudiannya membalas "Me too". Lepas itu barulah saya tahu beliau ialah Puan Azmah Nordin. Oh, malunya... sebab tak kenal penulis tersohor... Ya, kerdilnya kami kerana bengkel tersebut turut dihadiri oleh Dr. Zurinah Hassan, PM Dr. Lim Swee Tin, Dato' Baha Zain dan ramai lagi yang mungkin saya sendiri, kerana kedangkalan saya tidak kenal mereka semua. Bengkel yang penuh warna-warni itu dimulakan dengan pembentangan oleh Dr. Salleh (Presiden PENA)yang kemudiannya mengusik Dr. Zurinah yang masuk sedikit lewat dan lalu depan khalayak dengan berkata "Model lalu... model 70-an" dan kemudian disambut oleh gelak tawa kami semua dan kelihatan Dr. Zurinah tersipu-sipu malu. Yang paling saya tak akan lupa apabila kawan saya kata "Aku demam hari ni (besoknya). Mungkin semalam sebab jumpa para senior yang berperangai 'pelik-pelik' (maksudnya kelakar dan bukan seperti orang dewasa. Lagak mereka juga seperti kami-kami sahaja. Alahai, para penulis, para pemuisi... orangnya tentulah berseni... halus dan ada karakter yang tersendiri. :)
*** Saya bersama Dato' Baha Zain dan kedua-dua orang sifu yang amat saya hormati. Hanya sempat ambil gambar bersama Dato' Baha kerana telefon bimbit saya sangatlah canggih *** Berbalik kepada Bengkel Penilai Manuskrip ini, sebenarnya kami (editor) yang dijemput bukanlah layak hendak menjadi penilai seperti tokoh yang disebut di atas tetapi sekadar perkongsian maklumat yang lebih menyenangkan kerja pelbagai pihak kelak dan saya, tentunya merasakan bengkel ini amat bermanfaat kerana di dalamnya turut disebutkan karya-karya yang akan dipilih dan yang tidak akan dipilih oleh pihak PENA dan ITBM. Sambil menyelam minum airlah! Hehehehe... Sebaik pulang dari bengkel itu, banyak ilmu bermanfaat yang diperoleh yang kemudiannya saya kongsi bersama rakan penulis agar mereka dapat menghantar karya ke ITBM dan yang penting diterbitkan. Sedikit saya kongsikan input yang saya peroleh daripada bengkel tersebut antaranya pihak ITBM & PENA akan menolak manuskrip buku kanak-kanak seperti buku bergambar kerana tiada nilai sastera di dalamnya. Kemudian, cerita-cerita cinta mudah,ala... seperti yang kebanyakannya di pasaran kini. Turut digalakkan bagi penulis yang mahu menghasilkan cerpen agar menghantar kumpulan cerpen dan seboleh-bolehnya bukan antologi cerpen kerana jika pihak PENA & ITBM mahu menilainya agar sukar (kerana ramai penulis) Nah, sekarang saya perkenalkan... inilah wajah-wajah yang selama ini mencantikkan lagi tulisan kalian di luar sana. Helaian demi helaian diteliti agar karya kalian menjadi cantik malah sangat cantik.
*** Saja saya letak bingkai yang berbunga-bunga... biar mereka mengedit dengan hati yang lebih berbunga riang... :p *** Bengkel tersebut memang meninggalkan kesan buat saya. Baik dari segi menambah semangat (kerana pada hemat saya, inilah dunia yang perlu saya kembangkan... dunia penulisan dan bergaul dengan mereka yang sewajarnya agar dapat mengutip ilmu-ilmu daripada mereka yang arif. Kalau ada bengkel seperti ini lagi, tak salah kalau jemput editor kerdil ini ya? (^^,)V