Semoga Ia Mengukir Senyuman...

Semoga Ia Mengukir Senyuman...
Karya-karya Nazrie Haslieanie

Wednesday, September 21, 2011

Tiada kerja atau tiada masa?

Di pejabat, kerja saya hampir selesai. Lalu saya saja-saja menjengah laman sesawang atau blog untuk melihat kalau-kalau ada previu tentang buku-buku saya (terutama novel solo saya). Nampaknya ada, tapi belum dibaca lagi bak kata tuan empunya blog. Aduh, rasa berdebar juga ya! Saya hendak tahu juga tentang buku-buku saya itu. Baik atau sebaliknya previu tersebut, saya terima! Sekarang saya menjadi ‘semakin penakut’. Takut buku-buku saya itu tidak memberi manfaat kepada pembaca dan berpaksikan ‘auta’ semata dan bukan fakta yang tepat.

Penulis berpengalaman menyatakan dalam Facebook, sebagai penulis “kita mesti lebih pandai daripada pembaca” maksudnya, apa-apa yang tertulis di dalam karya-karya kita mestilah yang memandaikan orang lain dan fakta-fakta yang tepat agar pembaca tidak berkata begini jika membaca karya kita “eh, salah lah fakta yang ditulis ni. Apalah penulis ni!”* sekadar contoh. Hal ini juga pernah dinyatakan oleh penulis novel popular juga bahawa pembaca kita terdiri daripada pelbagai golongan. Ada yang profesional, pembaca tegar dan sesiapa sajalah! Jadi, seharusnya berhati-hati dalam penyampaian kita melalui karya-karya yang dihasilkan.

Sekarang, manuskrip saya ‘tersangkut’ oleh kerana hal ini. Wah, benarkah? Atau alasan semata-mata? Masa yang sengaja ditiadakan. Banyak ‘menulis’ dan ‘mengarang’ di Facebook saja. Apalah hendak jadi Cik Nazrie oiiii... orang lain hampir tiap-tiap bulan ada sahaja produknya! Bagaimana pula dengan diri sendiri ni? Hahahaha...

Hobi menjengah blog orang lain dan membaca tips penulisan akan saya lakukan bila kebosanan melanda. Jadi, ada yang menyatakan bahawa, jika hendak menulis biarlah displinkan diri. Ya, displin! Kalau boleh sediakan satu waktu yang kita betul-betul boleh patuhi, cukup satu atau dua jam setiap hari pada waktu yang sama. Itu pun saya tak mampu buat? Ah, sudah tentu alasan semata bukan? Kawan-kawan, sila jangan jadi seperti saya. Sekarang, ubah gaya hidup daripada 'tidak sosial' dengan laptop dan buku-buku (banyak membaca), kita mulakan kehidupan 'sosial' itu. Yeaahhh!!! (^^,)V.

Sunday, September 4, 2011

Takut dengan Penerbit yang Tidak Jujur

Jelas sekali tajuk entri saya pada kali ini. Ya, tentang penerbit dan tentang orang yang tidak jujur tentunya. Hal ini berlaku sejak awal tahun lagi. Tapi saya masih bertolak ansur demi menjaga air muka seseorang dan menjaga perhubungan. Kebetulan juga saya baru sahaja mendapat panggilan daripada seseorang yang menyatakan bahawa wang (lump sum) untuk ketiga-tiga buku saya sudahpun dibayar. Namun, surat perjanjian entah ke mana. Sudah beberapa kali saya minta tapi didiamkan juga.

Tambahan pula, sebelum balik bercuti, seorang sahabat penulis datang kepada saya dan bercerita tentang para penulis yang bernasib malang kerana karya mereka yang dibayar secara lump sum itu telah menjadi teks KOMSAS. Maka mereka sedang meneriak di manakah keadilan buat mereka. Tentang penerbit yang dinyatakan itu, saya sudah sedia maklum 'keadaannya'. Lalu kami bercerita sakan.

Rakan: Nazrie, kau bagitahulah aku penerbit mana yang bermasalah agar aku tak terkena sama.

Saya: Setahu aku, penerbit A, penerbit INI, penerbit ITU... aku pun sedang menghasilkan buku dengan penerbit SANA. Bayarannya sekian-sekian...

Rakan: Sikitnya... bayaran lump sum untuk sebuah buku sebanyak itu? Sikitlah, Nazrie!

Saya: Ya, editor yang handle tu juga kata sikit tapi hendak buat macam mana, sudah itu amaunnya, aku terpaksa terima sajalah. Yang best'nye' editor tu siap kata lagi "Mana ada orang nak bagi duit macam ni kalau tak menulis. Lagipun menulis tak pakai modal macam berniaga ada untung rugi (maaf, fakta ini saya bangkang tapi dalam hati saja, ugh!)

Rakan saya mendengar dengan tekun kisah saya ini sambil wajahnya berkerut-kerut.

Saya: Editor tu cakap macam ni pada aku "so, Nazrie lepas ni dah serik ke untuk menulis?" Aku jawab "Saya tak pernah serik untuk menulis kerana itu adalah minat saya" (tapi dalam hati, saya berjanji TAKKAN menulis bagi penerbit yang mahu membayar lump sum lagi).

Saya seorang yang tak suka mencanang hal sendiri. Berkenaan editor itu pun, dia sendiri tak tahu yang saya sudah ada beberapa buah buku. Jadi, dia asyik gunakan ayat 'bayaran tak penting, yang penting pengalaman menulis. Tapi saya beritahu editor itu bahawa Puan Ainon ada berkata bahawa penulis sekarang bukan menulis kerana minat sahaja malah boleh mendapat pendapatan yang lumayan. Editor itu terkedu seketika dengan jawapan saya. Biarlah! Sekurang-kurangnya dia tahu perkara yang terbuku dalam hati saya.

Kes ini sama dengan seseorang yang kononnya nak membantu rakan-rakan untuk mencari pendapatan lebih. Tapi bila sudah buat, sampai sekarang produk tak sampai ke tangan saya dan rakan-rakan. Selain wang, saya juga hendak lihat produk yang saya hasilkan. Tapi manusia-manusia yang begini yang menganggap saya ini hanyalah bocah hingusan menggunakan 'kaedah' yang sama pada setiap kali saya tanya tentang produk tersebut.

Saya harap, penerbit SANA akan mengotakan janjinya untuk memberikan final produk nanti. Jika tidak, luka lagilah hati saya ini...:(

Thursday, August 25, 2011

Maaf Zahir Batin



Sungguh sedih rasanya kerana ramadan bakal meninggalkan kita. Kita berharap agar dapat bertemu lagi dengannya. Dikesempatan yang ada sebelum saya pulang beraya, saya ingin memohon ampun dan maaf andai kata-kata dalam blog saya ini ada yang mengguris jiwa-jiwa yang membacanya.

Segalanya hanya pandangan peribadi saya yang kadangkala berbaur emosional dan rasional. Mana-mana yang baik kita ambil sebagai panduan dan yang sebaliknya kita tapis sebagai pengajaran.

Alhamdulillah, dalam bulan yang mulia ini saya diberikan kekuatan menyiapkan sebuah manuskrip dan bakal menyiapkan sebuah lagi dalam masa terdekat ini. Syukur yang amat sangat kerana berjaya menggunakan masa dengan baik. Cuma menunggu perkhabaran berita baik sahaja daripada editor. Jika diberikan lampu hijau maka syukur sekali lagi.. jika tidak pun saya tetap bersyukur juga kerana mungkin masih ada cela pada manuskrip saya yang perlu saya baiki. Semoga saya sentiasa berpositif. Amin. (^^,)V

Thursday, July 28, 2011

Penantian Berakhir Sudah!

Alhamdulillah... penantian saya selama EMPAT tahun, saya ulangi EMPAT tahun, bukan empat hari atau empat bulan ya! Akhirnya berakhir apabila anak saya yang berikutnya sudah dipromosikan di laman sesawang pts. Nah, barulah saya berani hendak bercerita tentang buku saya ini. Opss, saya tak mahu mempromosikan buku ini kerana di web pts sudah menerangkan segala-galanya tentang buku ini. Tinjau di link ini ya: http://http//pts.com.my/index.php/buku/40-tokoh-islam/

Apalah penulis ni, malas betul hendak promosikan buku sendiri! Hehehe... bukan begitu, saya rasa biarlah produk saya sendiri yang berbicara. Inilah kaver depan buku saya itu. Cun tak? Yang penting, isinya lagi cun ya!


Hah, terkebil-kebil mata kawan-kawan memandang kaver buku terbaru saya ni kan? Hehehe... tak mengapalah. Tak lama lagi buku ini akan berada di pasaran ya (ha, promosi sikit!). Berbalik kepada cerita saya tentang penantian selama empat tahun menunggu cerita ini diterbitkan, bukan suatu hal yang selesa. Saya akui, sampai satu tahap saya hampir terlupa tentang buku ini. Tapi apabila ia sudah menjadi produk, maka saya bersyukur dan sangat gembira.

Mesti kawan-kawan tertanya-tanya macam mana saya boleh terlibat dalam menghasilkan buku tokoh Islam ini. Ya, sesiapa yang mengenali saya tahu bahawa saya bukan berkelulusan bidang agama. Tapi entah kenapa tatkala puan editor melamar saya, saya terus terima. Dalam fikiran saya pada masa itu (pada hari pertemuan para penulis dan editor Bacakan Saya Satu Cerita (BSSC)) "Orang sudah memberi kepercayaan kepada saya untuk melakukan tugas ini, maka tak salah kalau cuba. Lagi pula, bukannya menulis sesuatu yang berat. Hanya sumbangan para tokoh dan sedikit biografi mereka." Saya sanggup membeli buku terbitan Indonesia untuk dijadikan rujukan dan tentu sekali membuat rujukan di Internet dan rujukan-rujukan lain juga. Inilah yang dinamakan pelaburan ya!

Pada hari itulah saya diajak untuk menjadi penulis bersama beberapa orang penulis lain. Setelah pembahagian tugas dilakukan, saya teruja membuat manuskrip tokoh ini kerana secara tak langsung, saya mengenali tokoh-tokoh Islam (yang sebagai orang Islam perlu tahu sumbangan para tokoh ini). Namun boleh saya katakan banyak dugaan yang melanda sepanjang pembikinan manuskrip ini dan saya tetap gagahi jua walaupun keadaan agak kelam-kabut sehinggalah memakan masa empat tahun. Dan kini, jeng jeng jeng... (^^,)V

Wednesday, July 13, 2011

Ikhtiar Hidup Rentasi Lautan Pasifik

Ya, tajuk tersebut BUKANLAH tajuk untuk buku baru saya ya! Itu adalah sebuah tajuk yang dipetik daripada komik kegemaran saya iaitu Komik Bersiri Ikhtiar Hidup yang diterjemah daripada komik paling popular di Korea. Kenapa pula pagi-pagi begini saya mahu bercerita tentang komik ini? Ya, saya tersenyum sendirian mengenangkan nasib diri. Wah, sudah seperti rancangan Bersamamu pula ya! Sebelum saya membebel dan mungkin boleh menyebabkan kawan-kawan saya yang membaca blog ini mendapat kecederaan parah di mata, jom kita cuci mata dengan kulit hadapan komik ini:


dipetik daripada laman web: http://www.gempakstarz.com/uploads/graphic/sea_f.jpg

Kenapa saya beria membeli komik ini berbanding kasut merah yang sudah saya lepaskan tadi? Ini kerana komik ini bercerita tentang ikan! Ya, terngiang-ngiang pula bebelan kawan saya si chef itu, "Tak habis-habis dengan ikan!"
Wah, sudah itu minat saya hendak buat macam mana kan? Ya, saya minat untuk mengetahui dan menggali dengan lebih mendalam tentang ikan. Kalau hendak cerita tentang ikan, malam ini tidak cukup untuk saya menjadi penglipur lara ya namun berduka lara si pendengar mungkin! hahahaha...

Syhhh... ini rahsia ya! (Eh, rahsia mana boleh beritahu orang! Baiklah, saya buka rahsia sekarang!)Semalam saya baru sahaja menghantar sebuah manuskrip yang berkisar tentang ikan. Hendak tahu dengan lebih lanjut, kenalah tungguuuu...
Apa yang saya maksudkan dengan nasib malang tadi ya? Oh, ya! Setiap kali saya selesai menyiapkan sesebuah manuskrip dan ketika tercari-cari fakta yang tepat semasa menulis, selalunya saya akan berhadapan dengan masalah percanggahan fakta. Tambahan pula untuk bahan rujukan daripada teks bahasa Inggeris, saya tidak boleh menterjemah sesuka hati saya! Saya perlu menggunakan kaedah atau teknik adaptasi (saya perlu hadiri kelas ini semula kerana saya tidak menghadiri kelas ini pada kelas yang lalu) Aduhai!

Setiap kali selesai menulis, barulah saya berjumpa dengan bahan rujukan yang sesuai. Contohnya komik ini! Aduhai, dugaan kan? Tapi tak mengapa, saya sudahpun memberitahu puan editor agar menghantar kembali kepada saya jika terdapat apa-apa kemusykilan. Hehehehehe... moga-moga buku saya akan terbit dengan cepat ya! (^^,)V.

Tuesday, July 5, 2011

Fuh, Maka Berakhir Sudah!

Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya menyiapkan manuskrip terakhir saya. Pada kali ini, cabaran dalam menyiapkan kerja ini sangatlah besar sekali. Sepanjang proses menyiapkannya pula, banyak juga pengalaman yang saya kutip. Walaupun berasa sukar pada mulanya, namun saya gagahi jua.

Cuma, apa yang ingin saya perkatakan ialah, saya kurang gemar dengan cara bayaran yang bakal saya peroleh. Tapi bila difikir-fikirkan secara positif, "Arghh, ambil sajalah! Asalkan dapat duit!"

Namun jauh di sudut hati yang lain pula berbisik "Tapi bayarannya tak lumayan,"
Apatah lagi tatkala bercerita kepada kawan-kawan yang senior mengatakan bahawa bayaran yang bakal diterima itu tersangatlah murah. Pada masa yang sama, saya sentiasa mengubati hati dengan mengatakan "Apa salahnya ambil tawaran yang diberikan walaupun murah, mahal, dibayar royalti atau lump sum namun yang penting ada produk yang diterbitkan malah dapat dipegang hasilnya (hem, jangan pula jadi seperti kes sebelumnya yang membuatkan saya fobia untuk membuat kerja seperti ini. Kelak saya akan ceritakan pengalaman 'ngeri' saya itu.)





Aduh, saya jadi serba salah dengan semua ini. Pada mulanya saya sendiri tidak mahu melibatkan diri. Namun entah macam mana, saya bagai sudah disunting sekaligus menjadi 'tunangan' kepada penerbit itu.

Senang cerita ialah, saya bekerja secara terpaksa. Tapi saya masih berpositif bahawa apa jua penglibatan saya dalam dunia penulisan ini, saya anggap sebagai suatu proses pembelajaran. (aduh, klise sungguh ayat, tapi tak mengapalah! Mengubati hati.

Bukankah puan pensyarah saya juga pernah katakan,"Tidak manis suatu kejayaan itu tanpa ada halangan dan cubaan dalam hidup?" Ayat puan itu sungguh terkesan di hati saya. Adakah saya pula mampu menghadapi situasi ini? Tunggu saja hasilnya nanti. Pastinya akan di'umumkan' dalam blog saya yang tak seberapa ini. He...he...he...(^^,)V

Wednesday, June 22, 2011

Mula Terasa Hendak Mengomel...

Tajuk di atas, JELAS! Memang sangat jelas! Ya, saya ingin mengomel. Saya tak berminat untuk mengomel sesuatu yang di luar bidang saya. Jadi omelan saya ini tetap berkaitan dengan buku-buku.He...he...he...
Setiap kali saya terlihat buku-buku baru di blog atau di laman sesawang penerbit, saya akan meracau-racau. Kadang kala saya akan meracau tentang "Alamak, ini seperti buku yang aku hendak tulis. Tapi dah terbit?" Hah, padan muka sendiri. Mulalah otak saya memutarkan kata-kata daripada sifu Ainon "Benda yang baik jangan ditangguh". Adoi, sekarang sudah terkena batang hidung sendiri. Lagipun, sesiapa jua mempunyai idea yang sama. Cuma kaedah penyampaian sahaja tentu berbeza.
Tapi, tak mengapalah! Jangan khuatir kerana saya tentunya tak akan berpeluk tubuh sahaja. Pasti akan ada lagi kelahiran-kelahiran yang bakal tak terjangka kelak. Semuanya saya lakukan kerana...opsss biar saya sahaja yang mengetahuinya. Sekarang pun saya sedang menyibukkan diri untuk kelahiran yang berikutnya. Yang penting, 'hutang' tertunggak kepada penerbit perlu 'dibayar'. Moga-moga saya kuat menempuhnya... (^^,)V.

***imej yang tak ada kena mengena dengan entri. Saja letak sebab saya suka cerita ini***Over the Hedge...