Semoga Ia Mengukir Senyuman...

Semoga Ia Mengukir Senyuman...
Karya-karya Nazrie Haslieanie

Thursday, April 14, 2011

Suratan dalam Kehidupan

Sesuatu yang tak disangka
Seringkali mendatangi kita
Itukah suratan dalam kehidupan
Atau hanya satu kebetulan

Kita asyik membicarakan
Persoalan hidup dan pilihan
Sedang kejujuran semakin berkurang
Masih tiada bertemu jawapan

Walau kita dihadapkan
Dengan berbagai pilihan
Mengapa sering terjadi
Pilihan tak menepati

Hingga amat menakutkan
Menghadapi masa depan
Seolah telah terhapus
Sebuah kehidupan yang kudus

Pertemuan sekali ini
Bagi diriku amat bererti
Tetapi ku bimbang untuk menyatakan
Bimbangkan berulang kesilapan
*lirik dipetik dari: http://www.liriklagu.com/liriklagu_jm/KennyRM_Suratan.html

Ha... jangan salah faham ya, ini bukan pertandingan karaoke... tapi sekadar hendak bernyanyi-nyanyi kecil depan PC tu bolehlah! Tiba-tiba terngiang-ngiang pula lirik lagu “suratan atau kebetulan” ini dalam kepala saya.
Mana tidaknya, hati saya masih kecewa dengan kejadian yang menimpa saya dengan penerbit “X”. Mungkin kerana mereka punyai kuasa atau nama, mereka mungkin boleh mempermainkan saya sesuka hati. Para penulis senior saya menasihati, biarkan mereka... nanti banyak bunyi kita disenaraihitam pula. Apa? Jadi..sampai bila kita perlu berdiam? Jika kita bersuara, maka kita akan dicop pemberontak... jika kita bercakap lebih-lebih, nama kita disenarai hitamkan. Jika kita tidak pandai puji-puji atau bodek-bodek, orang tidak memandang kita. Dunia jenis apakah ini? Ha... entri emosional sikit hari ni ye kawan-kawan...



Apa-apapun, saya suka bait-bait lagu ini yang bagi saya ‘kena’ dengan apa yang saya sedang lalui tika ini.
Kita nilai setiap rangkap lagu ini. Contohnya yang pertama: Saya tidak menyangka bahawa karya yang saya hantar kepada pihak penerbit pada 2009 akhirnya berjaya mencuit hati penerbit tersebut dan cik editor meminta saya memperbaik jalan ceritanya. Ini dinamakan sesuatu yang tidak disangka, bukan? Perghhh dua tahun baru saya mendapat jawapan. Mungkin ini juga sudah suratan yang tertulis.

Rangkap kedua, ketiga dan keempat: Rangkap ini menyentuh tentang pilihan yang kita buat. Tentang pilihan saya pula... rasanya saya tidak pernah menyesal dengan pilihan yang saya buat kerana saya percaya bahawa setiap pilihan itu adalah sebagai pengalaman yang boleh mematangkan saya kelak.

Rangkap terakhir: Rangkap ini berbicara tentang perasaan takut. Takut? Ya, sudah tentu saya takut. Tapi sampai bila? Jangan biarkan hidup ini diselubungi dengan ketakutan (sudah seperti misteri nusantara pula. Hehehe...). Jangan malu bertanya para senior tentang keadaan dan cara kerja suatu penerbit. Pengalaman dan pandangan mereka sememangnya boleh dijadikan panduan yang berguna.
Bila difikir-fikirkan balik, perlukah kita‘cool’ seperti si Donkey ini sepanjang masa dan membiarkan orang lain sewenang-wenangnya mempergunakan kita.



Ada penerbit yang hanya menanam tebu di tepi bibir. Tapi, tatkala produk sudah siap, penulis pula terpaksa mengemis duit sendiri. Alahai! Ingat satu perkara; penulis dan penerbit saling memerlukan. Hargai dan jagalah penulis seperti mana penulis menghargai penerbit. (**,)V

Saturday, April 9, 2011

Selamat Datang 'Anak' Keduaku



Hari ini, saya berkesempatan ke Kedai Buku Popular dan menjengah-jengah kalau-kalau Ku Juga Punya Hati (KJPH) ada di sana. Alhamdulillah, ‘anak’ saya yang kedua ini memang berada di rak buku-buku baharu. Lega dapat memegang dan menyentuh ‘anak’ dengan tangan sendiri. Tidak lagi ‘mencintai’ dari jarak jauh seperti sebulan yang lalu. Saya agak sibuk untuk update blog ini. Sepatutnya saya ‘meraikan’ ulang tahun pertama blog saya ini pada Mac yang lalu. Tapi tidak mengapalah kerana masih belum terlambat...hehehehe...jadi, marilah kita berdoa kepanjangan hayat blog ini akan berkekalan adanya..huuuuu...(^^,)V.



-KJPH ada di rak buku-



-Paksaan terhadap sahabat saya untuk menjadi model 'pembaca' setia buku saya berhasil jua..hahaha-

Friday, February 18, 2011

Akhirnya Muncul Jua...



“Jika dia mahu menjerit, jeritan itu hanyalah di dalam hatinya sahaja. Jika dia mahu menangis berulang-ulang kali pun, air matanya sudah kering. Jika dia mahu memberontak, manalah dia mampu kerana dia masih sedar siapalah dirinya.”

Itulah perasaan Nur tatkala dia memikirkan nasibnya itu. Namun, hadirnya Hani di dalam hidupnya memberikan suatu harapan baru buatnya. Insan yang bergelar sahabat itu bukan sahaja cuba untuk mencapai impiannya malahan juga sanggup berkorban apa sahaja deminya.

Sedangkan mereka tidak mempunyai hubungan yang istimewa. Hanyalah seorang sahabat. Apakah benar hubungan persahabatan bukan suatu hubungan yang istimewa? Apakah pula impian Nur? Bagaimanakah pengorbanan Hani terhadap sahabatnya itu? Temuilah jawapannya di dalam ‘Ku Juga Punya Hati’.

Syukur...Alhamdulillah...

Alhamdulillah...syukur...syukur...ingin saya ucapkan berkali-kali kalimat suci ini. Pada hari ini saja saya mendapat 'khabar' yang membuat saya sangat-sangat teruja. Betapa bersyukur dan gembira tidak terhingga. Cukup sekadar memandangnya dan belum lagi memegangnya...Alhamdulillah...akhirnya ia ada di situ dan bakal ada di tangan saya kelak. Insyaallah, moga-moga Allah permudahkan segala urusan. Terima kasih ya Allah...terima kasih jua buat sifu saya yang sudi mengedit, buat rakan-rakan yang 'meminjamkan' bahu mereka di saat saya berduka dan berkongsi rasa dengan saya...

Antara berita gembira yang saya peroleh> pertama, khabar daripada puan editor itu, manuskrip saya OK dan boleh teruskan perjuangan..manakala satu khabar lagi...lihatlah update terbaru ya!*terlampau seronok ni...hehehehe (^^,)

Friday, January 28, 2011

Cuti! Cuti! Cuti!

Wah, seronok ya dapat bercuti! Walaupun saya akan bercuti panjang, namun sudah saya rancang percutian saya nanti agar tidak saya penuhi dengan mengkaji bebola mata saya sahaja. hehehe...

Perkara pertama yang akan saya gunakan untuk memanfaatkan cuti saya adalah menyiapkan beberapa manuskrip yang sepatutnya saya siapakan sebelum Februari menjelma [Oh, tidak! Teruklah saya 'dibelasah' oleh rakan-rakan saya nanti kerana tidak berjaya menyiapkan kerja atau manuskrip yang sepatutnya.

Sudahlah cik puan editor meminta saya menyiapkan manuskrip yang lagi satu tapi tidak disiapkan juga. Bangkitlah Nazrie!...Macam mana hendak maju jika begini sikapnya!
Bila difikir-fikirkan kembali, berjayakah saya menyahut cabaran rakan-rakan saya untuk menghasilkan sepuluh buah buku dalam tahun ini [wow, bukan sedikit ya!].



Moga-moga saya kuat semangat...berusaha! berusaha!

Thursday, January 13, 2011

‘Ugutan’ dan Cabaran

Saya ke hospital Serdang dua hari lepas kerana melawat anak kepada sahabat baik saya yang berada di wad. Sewaktu pulang, saya singgah di sebuah kedai buku di dalam hospital tersebut. (Saya memang suka berhenti di kedai buku walaupun tidak membeli buku, hehehehe). Tiba-tiba saya mengukir senyum. Alahai, buku Si Belang berada di rak buku tersebut termasuk buku masak sahabat seperjuangan saya Syazlera Aibie!
Saya juga tertarik kepada buku-buku mini ini yang diterbitkan oleh Kohwai&Young. Cerita-cerita tersebut adalah terjemahan fabel Inggeris yang popular.



Jadi, saya membelinya. Oleh kerana tidak dapat membuat pilihan yang bijak (tentunya bukan sesuatu yang bagus, ya kawan-kawan!) maka saya ambil ketiga-tiga buku tersebut.
Sebenarnya saya membeli buku-buku ini sebagai bahan rujukan untuk projek terbaru saya. Saya sangat berterima kasih kepada Firas Firzana dan Balqis MZ kerana sudi menerangkan kepada saya tentang kriteria yang diperlukan dalam menghasilkan cerita tersebut. Ini adalah disebabkan saya tidak dapat menghadirkan diri ke bengkel pada Ahad yang lalu. Alahai...

Firas Firzana mencabar saya supaya menyiapkan projek ini malah ‘mengumpan’ saya dengan kemewahan tatkala saya berasa tidak pasti untuk menyiapkannya ataupun tidak. (hehehehe). Saya hampir-hampir mahu melarikan diri ke planet Pluto. Namun apabila ‘disogok’ dengan kemewahan, saya berubah fikiran. Seorang sahabat saya yang merupakan seorang editor pula, 'mengugut' [apakah ugutannya tidak boleh dinyatakan di sini kerana terlalu berbahaya hahahaha] jika saya tidak menyiapkan manuskrip saya. Baru semalam juga saya berbincang dengannya tentang isi kandungan kerja saya itu. Sungguh-sungguh dia membantu. Thanks Juls.

Kedua-dua orang sahabat saya ini mencabar saya. Firas Firzana mencabar agar saya menyiapkan 10 buah buku pada tahun ini. Alahai, 10 muka surat pun belum tentu(hahahaha, orang yang mudah lemah semangat, sangat tidak elok untuk kesihatan ni!).
Juls pula mencabar saya menyiapkan 2 atau 3 manuskrip sebelum Tahun Baru Cina ini. Kalau tidak saya akan diketuk! Aduh, benjollah kepala saya nanti ya!

Apa-apapun, janji pada diri saya juga harus ditunaikan dan sokongan rakan-rakan juga pasti akan membantu saya untuk lebih kuat berusaha dalam menyiapkan buku-buku saya.
Terima kasih kawan! Moga-moga kita sama-sama di puncak jaya! (^^,)V.

Friday, January 7, 2011

Tahun baharu menjengah lagi...

Nampaknya tahun baharu menjengah lagi. Saya tidak mahu berbicara soal azam. Biarlah azam itu disimpan untuk diri sendiri. Cuma saya tutupi malam 2010 dengan melaksanakan tugasan saya yang terbengkalai oleh kerana masalah-masalah negara yang sedang saya hadapi. Masakan tidak, dugaan datang bertimpa-timpa bagaikan menyerang saya agar jangan melangsaikan tugasan saya itu. Kononnya saya perlu menyiapkan banyak manuskrip sebelum 2011 menerjah. Tapi malangnya kerana nasib saya tidak sebaik pasukan bola sepak negara yang berjaya menggodol Piala AFF Suzuki sekaligus mengharumkan nama Malaysia. Nasib saya masih begini... tak sudah sudah dengan masalah komputer yang merupakan tangan kanan saya. Dihantar untuk baiki namun dikepam oleh pakcik yang membaikinya selama hampir sebulan. Sudah dibawa pulang, tidak boleh ON pula. Alahai...mujurlah walaupun dalam keadaan begini, saya gagahi jua untuk meneruskan perjuangan saya ini.
Awal tahun ini, memang dinanti-nantikan oleh saya kerana saya sedang menagih janji tentang karya saya yang bakal diterbitkan. Namun hasilnya masih belum kelihatan. Bagi saya, jika tidak dapat ditunaikan janji itu, usahlah berjanji. Sakitnya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Saya menanti dan terus menanti bagaikan suatu penyiksaan yang amat hebat. Harapnya saya masih rasional dan tidak membuat tindakan yang terburu-buru. Saya masih fikirkan bahawa penulis dan penerbit saling memerlukan. Sebagai penulis, hormatilah penerbit dan sebagai penerbit, jalankanlah tugas dengan sewajarnya dan jangan mengambil kesempatan jika penulis berdiam diri. Ada kalanya berdiam bukan bermakna takut tapi kerana penulis masih mahu hubungan baik berkekalan antara penerbit itu.
Maaf entri ini agak emosional...biarlah...saya memang bersedih dan menunggu masa yang sewajarnya untuk bertindak....