Nampaknya tahun baharu menjengah lagi. Saya tidak mahu berbicara soal azam. Biarlah azam itu disimpan untuk diri sendiri. Cuma saya tutupi malam 2010 dengan melaksanakan tugasan saya yang terbengkalai oleh kerana masalah-masalah negara yang sedang saya hadapi. Masakan tidak, dugaan datang bertimpa-timpa bagaikan menyerang saya agar jangan melangsaikan tugasan saya itu. Kononnya saya perlu menyiapkan banyak manuskrip sebelum 2011 menerjah. Tapi malangnya kerana nasib saya tidak sebaik pasukan bola sepak negara yang berjaya menggodol Piala AFF Suzuki sekaligus mengharumkan nama Malaysia. Nasib saya masih begini... tak sudah sudah dengan masalah komputer yang merupakan tangan kanan saya. Dihantar untuk baiki namun dikepam oleh pakcik yang membaikinya selama hampir sebulan. Sudah dibawa pulang, tidak boleh ON pula. Alahai...mujurlah walaupun dalam keadaan begini, saya gagahi jua untuk meneruskan perjuangan saya ini.
Awal tahun ini, memang dinanti-nantikan oleh saya kerana saya sedang menagih janji tentang karya saya yang bakal diterbitkan. Namun hasilnya masih belum kelihatan. Bagi saya, jika tidak dapat ditunaikan janji itu, usahlah berjanji. Sakitnya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Saya menanti dan terus menanti bagaikan suatu penyiksaan yang amat hebat. Harapnya saya masih rasional dan tidak membuat tindakan yang terburu-buru. Saya masih fikirkan bahawa penulis dan penerbit saling memerlukan. Sebagai penulis, hormatilah penerbit dan sebagai penerbit, jalankanlah tugas dengan sewajarnya dan jangan mengambil kesempatan jika penulis berdiam diri. Ada kalanya berdiam bukan bermakna takut tapi kerana penulis masih mahu hubungan baik berkekalan antara penerbit itu.
Maaf entri ini agak emosional...biarlah...saya memang bersedih dan menunggu masa yang sewajarnya untuk bertindak....
No comments:
Post a Comment