Semoga Ia Mengukir Senyuman...

Semoga Ia Mengukir Senyuman...
Karya-karya Nazrie Haslieanie

Friday, October 18, 2013

Terapi Diri Melalui Pembacaan

Usai menjalani proses terapi diri dengan membaca buku penulis kegemaran saya iaitu Norhisham Mustaffa (yang saya panggil Pak Cik Hisham). Ya, saya ambil masa yang agak lama untuk menghadam isi kandungan buku ini kerana ada sahaja dugaan yang menerpa. Buku Persinggahan yang saya rasa tak perlu saya rungkai isi perutnya kerana jika anda mencarinya di enjin carian Google, akan ada blog yang menjelaskan tentangnya. Buku ini tidak saya beli secara segar dari kedai buku. Kebetulan saya terjumpanya di kedai buku secondhand. Mungkin sudah rezeki saya. Dan sebenarnya masih mengharap jika buku-buku malar hijau begini dapat saya temukan di mana-mana tapi kalau ada ulang cetak itu lebih berbaloi-baloi... Tidaklah malu jika mahu meminta tanda tangan penulis kelak. :)
Tentang buku ini yang ingin sekali saya kongsi ialah tatkala membacanya atau hasil penulisan lain Pak Cik Hisham tentunya saya tersenyum sendiri. Apabila saya terbaca perkataan seperti berlentang kalang, berpeluh rejap, soksek-soksek, sakler dan banyak lagi perkataan yang mustahil untuk saya senarai panjangkan di sini membuatkan saya terbuai bagaikan kembali ke ‘tanah air’ (kononnya saya perantau yang jauh sekali tinggalnya). Bukankah sesuatu yang menyeronokkan, yang indah, yang mencuit rasa apabila membaca hasil tulisan yang tertera perkataan yang biasa digunakan atau lebih tepat dialek yang dituturkan dieja dan menjadi perkataan yang akhirnya termaktub dalam sesebuah buku? Saya tunjukkan kawan-kawan makna perkataan yang saya ambil dalam Pusat Rujukan Persuratan Melayu @ DBP.
Dulu saya pernah mempersoalkan adakah dialek-dialek begini dikira sebagai Bahasa Melayu Rendah? Seperti mana yang pernah saya diberitahu contohnya tentang sebuah buku yang menulis dialog tentang dialek Kedah atau Melaka (jika tak salah perkiraan saya) seperti ‘Ulaq melingkaq atas pagar’ (sesuatu seperti ini)? Namun jika sudah termaktub dalam Kamus Dewan, maka bukankah ia sudah menjadi bahasa yang utuh penggunaannya dan boleh diguna pakai dalam mana-mana buku penulisan kreatif tanpa perlu menyoal itu dan ini? Atau bagaimana? Dalam Kumpulan Cerpen Pemberani ini juga, ada satu cerpen yang bertajuk Ceritera Sebuah Kampung yang menggunakan 'ambo' (kata ganti nama diri pertama yang pada masa belajar di sekolah dulu cikgu Bahasa Inggeris saya kata, ia bermaksud 'humble'. Jadi sesiapa yang menggunakan 'ambo', orangnya tentu sekali 'humble' ;-) dan 'kelik' yang bermaksud balik. Perkataan ini dicondongkan. Saya sedang mencari jawapan. Kepada tuan atau puan editor yang tahu apakah relevannya silalah maklumkan kepada saya eh, ambo ni... (^^,)v
*** Kumpulan cerpen yang memuatkan 16 buah cerpen yang bagi saya semuanya menarik belaka. Kata orang, kalau dah suka semuanya pasti sempurna... hehehe... dan buku ini diedit oleh sifu saya tau...

Wednesday, October 16, 2013

Menjadi Penilai Manuskrip Pula? Layak kah?

***Ini bukan rumah saya... Inilah RUMAH PENA yang berwajah baharu!*** Ya, saya berada di Rumah Pena. Pada suatu Ahad nan lalu. Pada mulanya hampir mahu membatalkan niat untuk menghadirkan diri kerana rakan saya yang sepatutnya menjemput saya pada jam 7.30 pagi tertidur. Saya pula bagaikan Patung Cendana berdiri di tepi jalan selama 1 jam setengah. Fuh! Hampir hilang sabar dibuatnya tapi mujurlah kerana nekad, rakan saya itu tetap ajak saya pergi dan ya, saya mahu katakan... berbaloi-baloi menghadirkan diri. Mujurlah majlis masih belum bermula. Bak kata kawan saya sewaktu sampai "Aku fikir hanya 'golongan-golongan' kita sahaja (nanti akan saya jelaskan sebabnya). Terasa kerdil pula... Ya, sangat kerdil kerana setelah masuk ke dewan (tempat bengkel dijalankan, barulah kami tahu kami bersama siapa di dalam bengkel tersebut).
*** Suasana sewaktu bengkel berlangsung *** Paginya sewaktu bersarapan, saya bersama dengan seseorang yang sungguh mesra. Di kala beliau 'tumpangkan' kopinya di meja kami, saya berkata "Puan, don't forget your coffee". Beliau menyambut pesanan saya dengan berkata "Sudah berapa kali pagi ini saya makan. Di hotel sudah makan, di sini pun makan lagi. I love food" Saya kemudiannya membalas "Me too". Lepas itu barulah saya tahu beliau ialah Puan Azmah Nordin. Oh, malunya... sebab tak kenal penulis tersohor... Ya, kerdilnya kami kerana bengkel tersebut turut dihadiri oleh Dr. Zurinah Hassan, PM Dr. Lim Swee Tin, Dato' Baha Zain dan ramai lagi yang mungkin saya sendiri, kerana kedangkalan saya tidak kenal mereka semua. Bengkel yang penuh warna-warni itu dimulakan dengan pembentangan oleh Dr. Salleh (Presiden PENA)yang kemudiannya mengusik Dr. Zurinah yang masuk sedikit lewat dan lalu depan khalayak dengan berkata "Model lalu... model 70-an" dan kemudian disambut oleh gelak tawa kami semua dan kelihatan Dr. Zurinah tersipu-sipu malu. Yang paling saya tak akan lupa apabila kawan saya kata "Aku demam hari ni (besoknya). Mungkin semalam sebab jumpa para senior yang berperangai 'pelik-pelik' (maksudnya kelakar dan bukan seperti orang dewasa. Lagak mereka juga seperti kami-kami sahaja. Alahai, para penulis, para pemuisi... orangnya tentulah berseni... halus dan ada karakter yang tersendiri. :)
*** Saya bersama Dato' Baha Zain dan kedua-dua orang sifu yang amat saya hormati. Hanya sempat ambil gambar bersama Dato' Baha kerana telefon bimbit saya sangatlah canggih *** Berbalik kepada Bengkel Penilai Manuskrip ini, sebenarnya kami (editor) yang dijemput bukanlah layak hendak menjadi penilai seperti tokoh yang disebut di atas tetapi sekadar perkongsian maklumat yang lebih menyenangkan kerja pelbagai pihak kelak dan saya, tentunya merasakan bengkel ini amat bermanfaat kerana di dalamnya turut disebutkan karya-karya yang akan dipilih dan yang tidak akan dipilih oleh pihak PENA dan ITBM. Sambil menyelam minum airlah! Hehehehe... Sebaik pulang dari bengkel itu, banyak ilmu bermanfaat yang diperoleh yang kemudiannya saya kongsi bersama rakan penulis agar mereka dapat menghantar karya ke ITBM dan yang penting diterbitkan. Sedikit saya kongsikan input yang saya peroleh daripada bengkel tersebut antaranya pihak ITBM & PENA akan menolak manuskrip buku kanak-kanak seperti buku bergambar kerana tiada nilai sastera di dalamnya. Kemudian, cerita-cerita cinta mudah,ala... seperti yang kebanyakannya di pasaran kini. Turut digalakkan bagi penulis yang mahu menghasilkan cerpen agar menghantar kumpulan cerpen dan seboleh-bolehnya bukan antologi cerpen kerana jika pihak PENA & ITBM mahu menilainya agar sukar (kerana ramai penulis) Nah, sekarang saya perkenalkan... inilah wajah-wajah yang selama ini mencantikkan lagi tulisan kalian di luar sana. Helaian demi helaian diteliti agar karya kalian menjadi cantik malah sangat cantik.
*** Saja saya letak bingkai yang berbunga-bunga... biar mereka mengedit dengan hati yang lebih berbunga riang... :p *** Bengkel tersebut memang meninggalkan kesan buat saya. Baik dari segi menambah semangat (kerana pada hemat saya, inilah dunia yang perlu saya kembangkan... dunia penulisan dan bergaul dengan mereka yang sewajarnya agar dapat mengutip ilmu-ilmu daripada mereka yang arif. Kalau ada bengkel seperti ini lagi, tak salah kalau jemput editor kerdil ini ya? (^^,)V

Sunday, August 18, 2013

Antara Buku Kebanggaan Saya

Wah, tajuk entri kali ini seolah-olah 'pilih kasih' pula. Buku-buku saya yang lain itu macam mana halnya? Semuanya saya suka dan bangga namun 'Budak Tin' ini paling saya banggakan kerana mungkin penerbitnya merupakan salah sebuah penerbit besar tapi tidak sesekali memperbesar diri mereka dengan ayat-ayat yang tidak enak didengar. Apatah lagi membuatkan penulis-penulis kecil berasa bertambah kecil dan turut berkecil hati hehehe. Yang saya banggakan, pada bahagian belakang itu tertera perkataan PENA. Oh, kononnya buku saya ini dikategorikan sebagai sastera (yang mengikut pemahaman saya ayatnya mestilah bombastik, penuh metafora serta kiasan-kiasan atau bait-bait yang sangat indah. Pabila saya katakan kepada seorang rakan yang saya sedang menulis untuk rumah penerbitan itu, ada rakan yang mengatakan "Wah, selepas ini awak akan seiring dengan SN A. Samad Said lah!" Oh, tak lah sampai begitu. Jauh sekali kelayakan saya apatah lagi ilmu-ilmu saya berbanding beliau. Saya tidak menulis untuk menjadi sebahagian daripada mereka. Cukuplah saya menulis untuk saya namun bukan syok sendiri. Andai ada teguran yang membina saya akan ambil sebagai panduan untuk menjadi lebih baik tentunya. Sewaktu buku ini sudahpun diterbitkan, seorang sifu menghantar mesej di dinding laman sosial saya dengan mengatakan "Biarlah kita menulis buku kerana kita ghairah akan buku dan dunia penulisan. Menulis memang untuk mendapatkan keuntungan material. Tapi biarlah material itu datang bersama-sama 'roh' sebagai seorang penulis. Maka, paling tidak tulis dan terbitkan sebuah buku setahun dengan penerbit yang turut sama menerbitkan karya A. Samad Said, Sutung Umar RS, Omar Mamat, Rejab F.I., Marsli N.O., Norhisham Mustafa, S.M. Zakir, Shamsuddin Othman, Rahimidin Zahari dan banyak nama besar yang lain. Biarlah di antara celah nama besar tersebut terselit nama Nazrie Haslianie ~ Sifu Mat Jack. Terima kasih!!! Saya akan terus berkarya...

Sedikit Cercaan Tidaklah Menggoyahkan!

Kiranya tidak perlu saya perkenalkan siapa beliau yang melontarkan kata-kata ini. Saya terpaut pada kata-kata ini. Kata-kata yang membangkitkan saya dari sedar bahawa hidup ini tidak hanya mempunyai jalan yang lurus. Jalan yang berliku-liku pasti turut ditempuhi. Saat saya menulis dan apabila menjerit meminta hak saya, saya dilontar dengan kata-kata yang mengatakan "Kamu ini bukan penulis hebat mana pun" > Begitulah seolah-olahnya... Kata-kata yang akan sentiasa melekat di hati saya agar menjadi peringatan supaya saya sentiasa sedar diri yang saya hanyalah penulis kecilan dan tiada nama yang gah! Satu kes yang lain pula apabila acapkali saya meminta penjelasan tentang manuskrip yang terkepam atas alasan yang sama, saya dibandingkan pula dengan penulis yang menulis bersama dengan saya yang mempunyai nama dan bukunya laku dengan baik tentunya bahawa "Penulis itu tidak kisah pun! Beliau tulis buku banyak dengan syarikat kami" > yang seolah-olah menyatakan 'Berapa buku yang kau ada hinggakan kau mahu memekik terlolong di sini? Gah mana nama kau atau hebat mana atau laku sangatkah karya kau yang kau mahu melalak di sini?" Itulah secebis kisah saya penulis biasa-biasa dengan karya yang biasa-biasa dan tidak pernah laku dengan baik pun. Hanya biasa-biasa juga. Sejujurnya saya sendiri tidak meletakkan harapan yang tinggi pada setiap karya-karya saya kerana saya sedar yang tahap penulisan saya masih biasa-biasa sahaja. Tak apalah yang biasa-biasa pun. Yang penting saya terus berkarya dan post ini sekadar menyatakan apa yang terbuku di hati, sesungguhnya sedikit cercaan tidaklah menggoyahkan malah mengingatkan... hanya terima kasih yang mampu diungkapkan... (^^,) *gambar di atas, diambil dengan niat daripada https://www.facebook.com/Dailyinspirationandmotivation

Saya Memang Pemalas!!!

Kali terakhir saya melihat post saya ini adalah pada Januari 2012 dan saya tergerak hati untuk menulis blog lagi setelah setahun kemudian malah lebih. Ya, saya malas untuk menulis blog kerana banyak hal yang berlaku. Pada bulan Mei 2012 saya melepaskan jawatan di syarikat lama dan pada Jun 2012 pula saya diterima ke syarikat yang baharu. Kata bekas bos saya, "Sekurang-kurangnya pengalaman awak semakin luas dan resume awak akan menjadi 'cantik'. Eprk! Baiklah, saya terima nasihat itu. Pada bulan Mei itu juga (Pesta Buku Antarabangsa KL), saya bertemu dengan seorang editor yang sangat ramah dan menyuntik kata-kata semangat kepada saya agar saya menulis untuk syarikatnya walaupun pada mulanya saya berasa segan. Beliau tidak putus-putus berkata "Penulis yang kecil akan menjadi seorang penulis yang berjaya juga kelak"... dan saya pegang kata-kata beliau hinggalah karya saya diterbitkan pada tahun ini. Pada tahun 2012 juga banyak kisah-kisah yang suka duka (mungkin lebih kepada duka saya lalui) dan berlarutan hinggalah ke tahun ini. Perihal kisah duka yang dilalui itu membuatkan benak saya yang kurang rasional ini kerap sahaja bertanya "Kenapa semua ini terjadi?" Hati kecil pula dan sahabat yang baik menasihati "Tuhan mahu berikan kau pengalaman. Kau orang yang sangat kaya dengan pengalaman" dan setelah kata-kata itu diungkapkan, saya terfikir sejenak... saya bukan orang yang bijak pandai... orang yang luas pembacaannya namun saya ditakdirkan jadi penulis kerana saya menyintai apa-apa bidang berkaitan dengan penerbitan buku malah saya diberikan kelebihan untuk mencari ilmu baru dalam setiap buku saya (sekurang-kurangnya ilmu itu baru buat saya). Malah pengalaman saya yang serba sedikit saya jadikan panduan semasa menulis apatah lagi pengalaman yang saya amati daripada kisah orang lain. Sekurang-kurangnya Tuhan mahu menjadikan saya insan yang lebih baik. Lebih dewasa, lebih banyak pengalaman dan mengambil iktibar daripada segala sikap-sikap manusia terhadap saya. Dan, di saat ini pada jam 1.52 pagi waktu tempatan, pada 18.8.13 saya berjanji, daripada pengalaman itu akan saya garap menjadi sesuatu yang bakal memberikan saya hal-hal yang indah. Inshaallah... Doakan saya... (^^,)V