Semoga Ia Mengukir Senyuman...

Semoga Ia Mengukir Senyuman...
Karya-karya Nazrie Haslieanie

Monday, September 27, 2010

Sedang sambung belajar

Saya sedang sambung belajar… tetapi saya sambung belajar di universiti terbuka PTS. He he he… Saya sememangnya ingin sambung belajar akan tetapi, masalah kewangan yang menyebabkan niat saya terbantut. Jadi, saya ‘sambung’ dahulu pengajian saya di situ.

Tidak saya sangka, pengalaman pertama kali belajar dengan sifu Ainon mengujakan saya untuk terus-terusan mengutip ilmu daripada beliau. Gaya belajar yang santai dan menarik (walaupun ada para pelajar yang hadir terpaksa berada di luar kelas dan duduk di atas lantai kerana ruang belajar yang sempit), namun sesungguhnya itu tidak menghalang para ‘pelajar’ yang berminat untuk terus setia menghadirkan diri.

Saya sebenarnya pernah mendapat ‘jemputan secara tidak rasmi’ oleh sifu pada tahun lepas untuk mengikuti kursusnya. Namun saya hanya sempat mendaftar dan tidak pula saya hadirkan diri kerana pada masa itu saya agak kesibukan.

Tiba-tiba saya berasa rugi kerana lewat menghadirkan diri. Apatah lagi jika terlewat masuk ke kuliah. Semalam, sifu memulakan kuliah lebih awal daripada masa yang dinyatakan. Jadi, saya dan rakan pula terpaksa duduk di belakang dan saya sememangnya tidak suka berada di belakang semasa belajar. Apatah lagi dengan keadaan mata yang tidak mengizinkan, lagi merimaskan saya.

Tidak mengapa, saya nekad... untuk kuliah yang akan datang saya akan sampai lebih awal. Maklum sahajalah, saya terpaksa menaiki komuter dan juga menaiki LRT. Perjalanan saya dirasakan terlalu lama... namun apabila bercerita bersama ‘pelajar’ lain, rupa-rupanya ada dalam kalangan mereka yang datang dari Johor Bahru dan Singapura. Saya ternganga seketika. Kekaguman meresapi diri saya. Lihatlah, betapa rela orang yang dari jauh datang demi mendapatkan ilmu... dan sekiranya mereka yang hanya berada di sekitar Kuala Lumpur tidak dapat menghadirkan diri, sebenarnya mereka rugi sekali. Rugi kerana tidak mendapat sesuatu yang bermanfaat.
Moga-moga saya akan bergraduasi dengan cemerlang pada hujung tahun ini.
He he he (^^,)V


*saya dan rakan-rakan pose sehari sebelum hari graduasi
peringatan: jangan betulkan skrin komputer anda...(^^,)V

Teruskan berkarya!

Akhirnya saya kembali menulis cerpen. Dalam cerpen tersebut saya selitkan sedikit pengalaman saya ke Gunung Ledang. Namun, ceritanya bukanlah tentang Gunung Ledang secara keseluruhannya. Tajuknya dan apakah jalan ceritanya biarlah rahsia kerana cerpen tersebut masih dalam penilaian editor yang berkaliber. Saya baru sahaja menghantarnya dan saya perlu bersabar menantikan jawapan daripada pihak editor tersebut.

Seingat saya, kebanyakan cerpen saya menggunakan kaedah eponim (kaedah mengangkat nama watak utama sebagai judul cerita). Cerpen yang paling saya gemari tentu sekali “Alahai Ayah”. Sebuah karya yang sangat bermakna buat ‘budak baru belajar’ pada masa itu. Tatkala mendapati cerpen tersebut di Majalah Mingguan Wanita, saya melompat kegembiraan. Masakan tidak, karya pertama saya (yang dihantar kepada pihak penerbit) diterbitkan. Kita tutup dahulu kisah-kisah lalu saya. Jika punyai kelapangan, tentu sekali saya akan berkongsi cerpen-cerpen saya itu.

Berbalik kepada cerpen baru saya, sedikit pengalaman yang saya kutip semasa di Gunung Ledang, saya zahirkan ke dalam cerpen tersebut. Tentu sekali banyak perkara menarik yang terjadi memadangkan saya tidak pernah berkhemah di dalam hutan. Apabila menonton rancangan realiti ‘Gadis Melayu’ pada baru-baru ini yang diberi tugasan berkhemah di dalam hutan, saya mendapat sedikit ilmu daripada rancangan tersebut. Tiba-tiba saya ingin pergi berkhemah lagi. Tapi...(^^,)



-Cara untuk menghidupkan api pun kami tidak tahu, alahai...



-Teknik terkini membancuh teh...

Friday, September 24, 2010

Isy...isy...isy...

Alahai, sudah lama tidak update blog saya hinggakan saya hampir-hampir terlupa kata laluannya...ya, terlalu banyak yang ingin saya kongsikan namun terlalu banyak juga kekangan untuk saya menghadirkan diri di laman ini.
Insyaallah, akan ada sesuatu untuk dihidangkan...cuma perlukan sedikit kekuatan dan masa untuk menterjemahkannya...

Tuesday, July 13, 2010

Siapakah Jejaka Ini???



Siapakah jejaka ini? Wajahnya nampak ‘cool’. Sememangnya dia ‘cool’. Dia bukan adik saya. Apatah lagi jiran saya. Tapi dia antara penyumbang di dalam buku (buku-buku?) saya. Dia yang saya kenali beberapa tahun yang lalu, menjadi orang yang penting dalam kehidupan saya sepanjang saya berkarya terutama bersama KarnaDya. Cara KarnaDya mungkin sedikit berbeza daripada penerbit lain kerana mereka mahukan penulis sendiri mencari pelukis untuk buku-buku mereka (bagi buku awal remaja). Jadi, kepada para penulis yang sememangnya mempunyai bakat melukis, bolehlah ‘mempromosikan’ hasil penulisan dan lukisan sekaligus. Tapi saya, tahu melukis...Cuma tidak pakar. Saya risau jika saya lukis orang lidi, nanti pokok yang jadi. Maka eloklah saya memberikan pada yang pakar.
Ya, dan dialah orang pakar itu. Namanya Zuar. Dia masih belajar di Aswara. Saya berharap pabila dia habis belajar kelak, dia akan menjadi seperti yang dia harapkan. Saya juga akan turut membantunya apa-apa yang patut. Ini janji saya.
Cuma, apa yang saya kagum tentang anak muda ini
• Dia ada minat yang mendalam.
• Kesungguhan dalam menghasilkan karyanya
• Dia juga akan bertanya sehinggalah dia faham.
• Dia akan berjumpa saya jika dia mahukan penerangan yang terperinci.
• Memberikan pendapat tentang karya saya atau lukisan yang saya minta.
Tapi awas, dia pendiam!...diam-diam ubi tapi berisi ilmu ye...

Dan...perkara yang lebih mengagumkan saya, dia lebih ‘matang’ dalam menghasilkan karyanya. Di bawah ini, saya sertakan dua keping lukisannya daripada buku-buku saya. Kawan-kawan nilailah sendiri ‘kisah’ jejaka yang hangat diperkatakan ini (hahahahaha).


-Tahniah dan jutaan terima kasih saya ucapkan buatnya kerana sudi bekerjasama dengan saya-

terima kasih daun ubi,
kalau boleh kita bekerjasamalah lagi.(^^,)V

Monday, July 12, 2010

Kids On 2...Perghhhh!!!

Saya memuji pihak KarnaDya (KD) yang mengambil inisiatif untuk 'mempromosikan' produk terbitannya dan tentulah buat para penulisnya juga. Walaupun saya tahu saya hanyalah penulis yang sangat kerdil, akan tetapi masih diberikan peluang untuk muncul di kaca TV dan ditemuramah oleh adik Jacqueline yang petah berkata-kata.
Tidak ramai rakan-rakan saya termasuklah keluarga saya yang tahu akan hal ini. Entah, saya masih 'malu-malu'. Rancangan ini sudahpun ditayangkan di TV2 pada hari Ahad, 20 Jun yang lalu. Saya juga turut merakam rancangan tersebut supaya pada masa-masa akan datang, rancangan ini boleh saya tonton berkali-kali dan menjadi pembakar semangat saya.



Perkara yang lebih menggembirakan saya adalah sokongan daripada sepupu saya yang begitu teruja sepupunya ini 'masuk' TV. Dia sanggup untuk tidak ke sekolah(memandangkan di Pantai Timur, hari Ahad sudah bermula kembali persekolahan). Katanya, "kak, menulislah banyak-banyak lagi, barulah glamor dapat masuk tv". Saya hanya tergelak dengan mesej yang dihantar. Sungguh, tujuan saya menulis bukan untuk 'mengejar glamor' (sudah macam selebriti pula rasanya). Saya menulis juga bukan kerana nama, tapi... biarlah saya sahaja yang mengetahui sebab saya menulis.
Cuma, sudah agak lama tidak 'bersama kamera' membuatkan saya agak gugup. Semasa rehearsal, saya bagaikan mati kata-kata. Namun, bila 'action' sahaja, saya dengan lancar menjawab setiap soalan. Saya juga agak sedikit menyesal kerana terlupa membawa buku saya sendiri (aiskh...) tapi tak mengapa, yang penting pengalaman yang saya kutip ini sangat bermakna. Terima kasih KD, Shira, Suzi, Sal, Kids On 2 dan semua tentunya! Kalau sudi, jemputlah saya lagi...he..he..he..(^^,)V

Friday, July 9, 2010

Aduh, kecundang lagi!

Nampaknya saya kecundang lagi. Kecundang pada janji-janji yang telah saya tabur untuk 'update' blog ini beberapa kali dalam sebulan. Nampaknya sudah terlalu lama blog ini 'mati'. Saya tidak ingin membiarkannya begini dan terus-terusan 'mati' dan akhirnya terkubur begitu sahaja.

Dulu, saya tidak punyai banyak cerita yang hendak dikongsikan. Kini, sudah terlalu banyak pun masih tidak sempat juga. Apakah sebabnya? Sebabnya, hanya saya dan biarlah saya sahaja yang mengetahuinya. Tidak mahu pula dicop sebagai orang yang suka beralasan...
hemmmm....

Sunday, June 20, 2010

Buku Raya???

"Tahniah Nazrie", kata sahabat saya.
"Kenapa?" saya bertanya.
"Tahniah kerana cerpen kau terpilih di PTS One", katanya lagi.
Saya hanya menyambut ucapan tahniah itu dengan sebuah senyuman dan ucapan terima kasih.
Alhamdulillah, ini kali kedua cerpen saya diterbitkan oleh PTS One (cerpen raya).
Pada mulanya saya tidak berminat untuk menyertainya kerana saya anggap cerpen raya tentu sekali banyak karya yang cliche. Namun, setelah buku tersebut sampai ke tangan saya, saya dapati terdapat kepelbagaian cerita yang disampaikan dan yang pasti, peristiwa tersebut bertemakan bulan puasa dan hari raya. Di bawah ini, kulit buku raya tersebut. Kalau 'terserempak' di kedai buku kelak, jangan lupa beli ya! (^^,)V