Semoga Ia Mengukir Senyuman...

Semoga Ia Mengukir Senyuman...
Karya-karya Nazrie Haslieanie

Sunday, May 23, 2010

Apabila Dr. Lim Swee Tim Berbicara...

Saya mengagumi beliau. Saya suka mendengar beliau berkata-kata dan juga mendeklamasikan sajak. Tatkala saya mengetahui beliau akan membincangkan tentang suatu topik di Radio 24, saya tidak membazirkan masa, saya mendengar apa yang beliau kupaskan.
"DASAR BUKU NEGARA yang dilancarkan pada 1988 dilihat gagal diterjemahkan apabila deretan soalan masih belum terjawab. Isu penerbit dan penulis, kempen membaca yang tidak jelas serta budaya membaca yang tidak menjadi amalan kita. Nasib buku juga terus tenggelam dalam mengharungi kecanggihan ICT"-FB Radio 24.

Antara isu yang dibincangkan adalah tentang minat membaca dalam kalangan kita. Jenis buku yang dibaca juga turut memainkan peranan penting. Menurut Dr. Lim Swee Tim tatkala diajukan persoalan bahawa; ramai orang selesa membaca e-book, jawapan beliau sama seperti yang pernah diperkatakan oleh pensyarah saya; Membaca di mana-mana atau melalui medium apa-apa sahaja pun, konsepnya tetap sama. Membaca memberi kita ilmu, maklumat dan percambahan minda yang berbeza. Namun, membaca melalui buku memberikan kita kepuasan yang tidak kita peroleh daripada membaca di Internet.

Bagi saya, terdapat banyak cara untuk kita membaca. Tidak kisahlah melalui buku atau melalui medium apa pun. Yang penting, bacaan tersebut adalah sesuatu yang memberikan manfaat kepada kita. Tambahan pula, kecanggihan teknologi kini tidak memberi ruang kepada kita untuk memberikan alasan 'tidak punyai masa' untuk membaca. Jika kita tidak sempat menghadap Internet, aplikasi e-book di telefon bimbit juga sudah ada. Bukan itu sahaja, malah terdapatnya e-book 'kindle'yang membolehkan kita membaca pelbagai jenis 'buku' dan majalah serta banyak lagi.

Namun, pilihan saya pula bagaimana? Saya boleh katakan, saya masih menyukai kaedah tipikal cara buku dipegang dan dibaca. Helaian kertas yang saya selak, cetakan teks pada buku tersebut, memberikan suatu nyawa kepada buku itu. (^^,)V


-Walaupun terdapat banyaknya cara canggih untuk kita membaca, kaedah lama dilupa jangan...-

Saturday, May 22, 2010

Kisah di Gunung Ledang







Jom, jamu mata!

Itulah beberapa keping gambar yang ingin saya kongsikan dengan kawan-kawan. Gambar yang saya ambil sendiri. Keindahan yang saya saksikan sendiri dan ketenangan yang saya nikmati pada waktu itu, ingin saya nikmati lagi dan lagi.

Saya berasa ingin berkongsi dengan kawan-kawan tentang pengalaman saya ke Gunung Ledang. Mungkin bukan sesuatu yang boleh dibanggakan sangat kerana saya bukanlah dapat menawan puncaknya. Namun, apa yang saya ingin perkatakan adalah mengenai langkah saya yang saya sudah mulakan. Saya berasa saya perlu untuk melakukan banyak lagi perkara-perkara yang tidak dapat saya lakukan sewaktu saya remaja. Mungkin saya tidak menggunakan waktu dan peluang itu sebaiknya atau sikap saya sendiri pada masa itu yang kurang aktif dan tidak suka bergaul.

Baru-baru ini, seorang kawan menghantar emel mengajak saya untuk camping. Saya pula dengan cepat menjawab ‘YA’. Selepas itu baru saya terfikir tentang segala macam ketakutan yang bakal saya hadapi di sana. Namun, saya gagahi jua untuk menghadapi keadaan itu dan niat yang paling utama, biarlah saya ke sana untuk muhasabah diri.

Saya tidak punyai pengalaman camping! Itu sudah pasti dan sudah saya nyatakan kepada sahabat saya itu. Namun kata mereka, mereka ada cukup pengalaman camping dan boleh membantu saya. Malangnya, saya boleh katakan bahawa ilmu perkhemahan mereka masih belum cukup. Masakan tidak, kami terpaksa makan burger yang kami bakar di atas 'bara surat khabar' dan bukan di atas bara api. Aduhai...

Namun, saat melangkahkan kaki ke Kolam Puteri, hati saya berasa tersangat kagum dengan penciptaan yang Maha Esa. Saya berasa sayu di saat sampai ke Kolam Puteri tersebut. Mungkin saya penat, mungkin juga saya tidak percaya bahawa saya sedang melakukan aktiviti itu. Tambahan pula, sepanjang malam saya tidak dapat tidur kerana perasaan bimbang dan gusar sekiranya berlaku apa-apa yang tidak diingini. Maklumlah, hanya khemah kami sahaja berada di situ. Walaupun khemah kami di tempatkan di tepi kabin namun, masakan kita tahu apakah musibah yang bakal menimpa. Ini kerana hanya kami berempat berada di sana.

Cukuplah pengalaman yang sedetik cuma itu mengajar saya bahawa, jika kita ingin melakukan sesuatu, sedikit sebanyak biarlah berilmu. Kedua, saat tidur di dalam khemah di atas tanah menyebabkan saya mengucapkan kata syukur kerana sekurang-kurangnya saya hanya perlu tidur di atas tanah hanya semalaman. Bagaimanakah pula dengan mereka yang tidak punyai rumah dan kurang berkemampuan? Pada masa yang sama juga, terasa diri ini begitu kerdil ditemani penghuni alam yang lain.

Moga-moga pengalaman ini memberi erti sebuah kehidupan kepada saya.

Masalah! Masalah!

Agak sekian lama tidak mengetak papan kekunci dan mengemas kini blog ini. Banyak masalah yang menimpa. Antaranya, masalah untuk mengemas kini blog ini kerana saya telah menukar template yang 'terlalu' canggih hinggakan saya tidak tahu di mana mahu mengeditnya.

Manakala masalah kemalasan diri yang terlampau juga bagaikan tiada ubatnya. Apabila pulang dari tempat kerja, saya berasa terlampau penat. Masa yang saya ada bagaikan tidak cukup. "Kerja-kerja" yang sepatutnya saya lakukan apabila saya pulang, banyak yang terbengkalai. Tapi sebenarnya itu hanyalah suatu alasan. Saya mungkin hanya melayani perasaan. Ada orang lain yang lebih penat daripada saya. Bekerja di siang hari, apabila pulang terpaksa menjaga anak-anak dan keluarga.

Ya, saya sedang berusaha untuk melawannya. Kawan-kawan juga mesti begitu. Mesti mempunyai daya kental untuk menahan segala perkara negatif yang menghalang kita daripada berjaya. Bukankah kata orang, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih?
Ayuh, kita sama-sama bangkit dalam menyelesaikan setiap masalah yang kita hadapi dengan cara kita tersendiri.

Masalah pertama saya sudahpun selesai. Saya terpaksa menukar template blog saya kepada yang biasa-biasa sahaja. Tapi tidak mengapalah, asalkan berfungsi dengan baik. Masalah kedua, saya sedang berusaha mengatur masa saya dengan lebih terurus dan tidak mensia-siakan masa lapang saya. (^^,)V