Usai pertemuan dengan penulis yang terlibat sama dalam buku yang saya tangani. Beliau juga merupakan seorang penulis dalam antologi cerpen yang turut saya sertai. Pada waktu itu, sempat juga beliau menyelit tentang pesta buku tempoh hari. Katanya, ada seorang penulis muda yang datang ke reruai hampir setiap hari dan bukunya laku terjual. Pertemuan dia dengan pembaca juga membuatkan bukunya laris.
Itu namanya usaha. Saya terkejut. Secara peribadi saya tidaklah mengenalinya begitu mendalam namun ada banyak kisahnya dikisahkan kepada saya. Namun suatu hal yang saya pelajari, kita sibuk kisahkan orang begitu begini. Seperti contoh, dia tak bagus. Perangainya teruk (ini komen tentang keperibadian). Manuskripnya macam orang tak pernah menulis tapi perasan bagus (ini komen tentang bahannya). Semua ini sekadar contoh. Tapi mungkin kita tak sedar, seseorang itu ada usaha di luar kemampuan kita. Mungkin kita juga tak sedar yang bahan yang bagus, jika disimpan di dalam stor dan tidak terjual maka penulis dapat apa? Sekadar habuk di kulit buku-buku itu saja?
Sekurang-kurangnya dia ada kemahiran bercakap dan bertemu dengan orang. Harapkan saya? Sikit-sikit malu, sikit-sikit tak mahu 'paksa' orang beli buku sebab kasihan. Aduhai, sebab itu tak boleh jadi penjual! Teknik pemasaran awal-awal lagi sudah gagal. Diam tak diam memang saya mengaguminya apabila mengetahui kisahnya daripada sisi yang berlainan.
Kisah yang orang kisahkan tu, dengar saja tapi jangan sampai kita bersikap tidak adil pada pihak lagi satu sebab kita pun tak tahu pihak yang mengisahkan kisah itu sejauh mana benarnya.