Apa yang ada? Banyak sebenarnya. Antaranya, empat buah buku saya terbit termasuk yang paling baharu (cerpen dewasa). Wah, dah tulis cerpen dewasa sekarang? Alahai, jangan disulitkan benda yang mudah, jangan disempitkan benda yang sebenarnya sangat terbentang luas. Apabila bercakap soal cerpen dewasa atau novel cinta mesti kita terbayangkan kisah-kisah cinta yang ditayangkan di dalam televisyen itu, bukan? Ia memanglah sebahagiannya saja namun cinta itu luas sekali pengertiannya. Eh, apa kata kisah dan buku 'cinta' saya tu saya perincikan dalam entri yang lain dan kali ini kita reviu dulu serba sedikit buku saya yang ada pada tahun ini dan pada 2014 yang saya berhenti menulis seketika dulu tu. Terimalah... dipersembahkan...
***Apabila Ibu Ambil Cuti, novel kedua terbitan ITBM***
TAJUK: APABILA IBU AMBIL CUTI
TERBITAN: ITBM
TAHUN TERBITAN: 2014
KISAHNYA: Kisahnya pasal apa? Kenapa pula ibu ambil cuti? Ke mana? Ke Paris, London, New York, Bangsar South? Hah, semua ni akan terjawab apabila buku ini berjaya rakan-rakan hadam. Kisah remaja yang santai saja sebenarnya dan juga ceritanya biasa tapi insya-Allah setiap daripada buku-buku saya tentu ada mesej yang hendak disampaikan. Ya lah, kalau tak ada mesej hendak disampaikan, takkanlah buku ini mendapat tempat di hati para pemilih dari Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada tahun 2015 dan membelinya sebanyak 502 naskhah. Alhamdulillah itu rezeki. Rezeki tak disangka buat seorang "Penganggur Kelas Pertama"
***Ketiga-tiga buku bergambar pertama saya***
TAJUK:BOLEHKAH AIMAN..., PARI MAHU TERBANG, DONAT BERWARNA-WARNI
TERBITAN: BUKU PRIMA
TAHUN TERBITAN: 2015
KISAHNYA: Buku bergambar pertama saya. Masa hasilkan buku-buku ini banyak sekali kesukaran saya hadapi dan juga pengalaman baharu yang saya kutip di sepanjang menyiapkannya. Pertama sekali, menghasilkan buku bergambar bersama pelukis yang saya cari sendiri atau saya akan 'dipasangkan' dengan mana-mana pelukis yang mungkin saya tidak kenali sama sekali. Alhamdulilah, seorang rakan editor membantu saya dengan memperkenalkan kepada sepupunya yang juga seorang pelukis. Sepanjang proses itu juga, beberapa kali saya diminta untuk mengubah lukisan (kerana pelukis pertama tidak menepati kehendak pihak penerbit hingga akhirnya saya diperkenalkan oleh editor berkenaan). Saya juga membayar sejumlah wang bagi lukisan untuk buku-buku itu (pada waktu ini belajar keluar modal sendiri). Rasa parah juga tapi itulah pelaburan yang saya lakukan sebab pelukis tersebut tidak mahu berkongsi royalti. Sebuah surat perjanjian turut kami tandatangani. Sepanjang proses penulisan juga, oleh kerana kekangan masa, saya pernah menaip bahan saya ini sewaktu saya menunggu bas di hentian bas hanya dengan menggunakan telefon bimbit yang kecil pada masa itu. Mata pun boleh sakit tapi memandangkan saya perlu mencuba untuk ambil peluang ini, saya tidak hiraukan semua itu. Apatah lagi saya pernah juga ke kafe siber semata-mata mahu siapkan bahan berikutnya demi mengejar tarikh akhir yang semakin hampir. Namun syukur kepada-Nya, kerana ketiga-tiga manuskrip saya diterima untuk diterbitkan.
***Sedegup Cinta, kisah cinta yang pelbagai***
TAJUK: ANTOLOGI CERPEN SEDEGUP CINTA
TERBITAN: SO PUBLICATION (DENGAN KERJASAMA GMM)
TAHUN TERBITAN: 2015
KISAHNYA: Apabila terbaca satu tawaran menulis cerpen, saya mencubanya. Walaupun tahu ia mungkin akan menjadi sebuah cerita yang kaku (mungkin) namun bukan saya yang menilai. Lagipun salah satu sebab saya suka untuk menulis dalam antologi ini adalah kerana ia kisah cinta yang sentiasa berlegar di sekeliling kita yang mungkin jarang kita beri perhatian. Cinta itu luas. Bukan terbatas pada lelaki dan perempuan ajnabi saja. Cinta pada kucing, pada agama, bangsa, kerjaya. Itu kategori cintalah tu! Tapi istimewanya penerbitan kali ini, ia tidak dibayar royalti atau belian putus akan tetapi kami para penulis yang terlibat perlu membayar sejumlah wang (untuk kos percetakan dan sebagainya) dan diberikan 20 buah naskhah buku untuk dijual. Ia masih segar dan wangi di tangan saya sebab baru keluar dari gudang. Saya pun masih dalam proses membuat pengeposan. Insya-Allah dan alhamdulillah untuk setiap perkara indah yang terjadi pada tahun ini. Sasaran tahun 2016? Hemmm... (^^,)
Semoga Ia Mengukir Senyuman...
Friday, October 30, 2015
Kenapa Saya Mulakan Blog?
Sudah lama. Malah terlalu lama saya mendiamkan diri. Entri terakhir saya juga berkenaan buku Rifqi Di Dunia Nyum-nyum. Yang mana buku itu sudah beberapa kali saya peroleh royaltinya. Walaupun berkongsi royalti dengan rakan penulis tapi itulah antara buku kebanggaan kami kerana pertama kali kami melakukan JV (joint venture) - walaupun mungkin istilahnya tidaklah tepat.
Berbalik kepada tajuk di atas, 'Kenapa Saya Mulakan Blog?'. Ya, beberapa tahun lalu saya berkeputusan untuk memulakan blog kerana saya nak buku-buku saya dan hasil kerja saya dikenali. Sepanjang tempoh itu juga, ada jatuh bangunnya saya sebagai seorang penulis tambahan penulis kecil (dan saya akui masih kecil sekarang ini). Bukan menjadi penulis selebriti, itulah akibat yang saya tanggung walaupun saya sendiri tidak gemar untuk menonjolkan diri. Akibat yang saya tanggung ialah, "Siapa Nazrie Haslieanie?". Sekali lagi, suka saya tegaskan, saya tidak mencari publisiti kerana saya bukanlah artis tetapi saya mahu karya-karya saya dikenali. Insya-Allah saya akan menantikan itu penuh sabar dengan berkarya dengan lebih baik lagi selepas ini.
Sebab lain kenapa saya mulakan blog adalah kerana saya mahu tulis dan terus tulis dengan bahasa yang terjaga (kerana saya tidak sangat menjaga ejaan, tatabahasa dan segala hukum hakam bahasa apabila saya menulis di laman sosial. Jadi, blog menjadi satu wahana untuk saya menulis dengan lebih baik sekali gus membantu saya memperbaik hasil penulisan saya. Harapnya...
Sepanjang tempoh saya berdiam diri, banyak perkara yang terjadi. Saya tidak sempat untuk mencoret apa-apa di blog kerana terlalu sibuk melunaskan tugasan dan impian orang lain hingga melupakan impian sendiri namun pada awal bulan Mac (jika tidak silap saya). Sekali lagi saya melepaskan jawatan sebagai orang yang bertanggungjawab mencantikkan bahan-bahan hingga menjadi buku. Pada masa itu saya mendapat tawaran sebagai seseorang yang di luar (sedikit) daripada bidang yang saya ceburi selama 9 tahun namun jodoh, ajal, maut itu bukan di tangan saya. Hanya kerana saya tidak mampu untuk mengawal tekanan yang mendatang, sekali lagi saya berkeputusan untuk berhenti kerja dan kini hampir 6 bulan saya sudah pun bergelar 'Penganggur Kelas Pertama' (saya sendiri yang menamakannya sebegitu) kerana pada zahirnya menganggur daripada tugasan yang dulu tapi bersyukur kerana dapat menjadi seseorang yang saya impikan iaitu Penulis Sepenuh Masa... Alhamdulillah (^^,)V
Subscribe to:
Posts (Atom)