Semoga Ia Mengukir Senyuman...
Friday, October 18, 2013
Terapi Diri Melalui Pembacaan
Usai menjalani proses terapi diri dengan membaca buku penulis kegemaran saya iaitu Norhisham Mustaffa (yang saya panggil Pak Cik Hisham). Ya, saya ambil masa yang agak lama untuk menghadam isi kandungan buku ini kerana ada sahaja dugaan yang menerpa. Buku Persinggahan yang saya rasa tak perlu saya rungkai isi perutnya kerana jika anda mencarinya di enjin carian Google, akan ada blog yang menjelaskan tentangnya. Buku ini tidak saya beli secara segar dari kedai buku. Kebetulan saya terjumpanya di kedai buku secondhand. Mungkin sudah rezeki saya. Dan sebenarnya masih mengharap jika buku-buku malar hijau begini dapat saya temukan di mana-mana tapi kalau ada ulang cetak itu lebih berbaloi-baloi... Tidaklah malu jika mahu meminta tanda tangan penulis kelak. :)
Tentang buku ini yang ingin sekali saya kongsi ialah tatkala membacanya atau hasil penulisan lain Pak Cik Hisham tentunya saya tersenyum sendiri. Apabila saya terbaca perkataan seperti berlentang kalang, berpeluh rejap, soksek-soksek, sakler dan banyak lagi perkataan yang mustahil untuk saya senarai panjangkan di sini membuatkan saya terbuai bagaikan kembali ke ‘tanah air’ (kononnya saya perantau yang jauh sekali tinggalnya). Bukankah sesuatu yang menyeronokkan, yang indah, yang mencuit rasa apabila membaca hasil tulisan yang tertera perkataan yang biasa digunakan atau lebih tepat dialek yang dituturkan dieja dan menjadi perkataan yang akhirnya termaktub dalam sesebuah buku?
Saya tunjukkan kawan-kawan makna perkataan yang saya ambil dalam Pusat Rujukan Persuratan Melayu @ DBP.
Dulu saya pernah mempersoalkan adakah dialek-dialek begini dikira sebagai Bahasa Melayu Rendah? Seperti mana yang pernah saya diberitahu contohnya tentang sebuah buku yang menulis dialog tentang dialek Kedah atau Melaka (jika tak salah perkiraan saya) seperti ‘Ulaq melingkaq atas pagar’ (sesuatu seperti ini)? Namun jika sudah termaktub dalam Kamus Dewan, maka bukankah ia sudah menjadi bahasa yang utuh penggunaannya dan boleh diguna pakai dalam mana-mana buku penulisan kreatif tanpa perlu menyoal itu dan ini? Atau bagaimana?
Dalam Kumpulan Cerpen Pemberani ini juga, ada satu cerpen yang bertajuk Ceritera Sebuah Kampung yang menggunakan 'ambo' (kata ganti nama diri pertama yang pada masa belajar di sekolah dulu cikgu Bahasa Inggeris saya kata, ia bermaksud 'humble'. Jadi sesiapa yang menggunakan 'ambo', orangnya tentu sekali 'humble' ;-) dan 'kelik' yang bermaksud balik. Perkataan ini dicondongkan. Saya sedang mencari jawapan. Kepada tuan atau puan editor yang tahu apakah relevannya silalah maklumkan kepada saya eh, ambo ni... (^^,)v
*** Kumpulan cerpen yang memuatkan 16 buah cerpen yang bagi saya semuanya menarik belaka. Kata orang, kalau dah suka semuanya pasti sempurna... hehehe... dan buku ini diedit oleh sifu saya tau...
Wednesday, October 16, 2013
Menjadi Penilai Manuskrip Pula? Layak kah?
***Ini bukan rumah saya... Inilah RUMAH PENA yang berwajah baharu!***
Ya, saya berada di Rumah Pena. Pada suatu Ahad nan lalu. Pada mulanya hampir mahu membatalkan niat untuk menghadirkan diri kerana rakan saya yang sepatutnya menjemput saya pada jam 7.30 pagi tertidur. Saya pula bagaikan Patung Cendana berdiri di tepi jalan selama 1 jam setengah. Fuh! Hampir hilang sabar dibuatnya tapi mujurlah kerana nekad, rakan saya itu tetap ajak saya pergi dan ya, saya mahu katakan... berbaloi-baloi menghadirkan diri. Mujurlah majlis masih belum bermula. Bak kata kawan saya sewaktu sampai "Aku fikir hanya 'golongan-golongan' kita sahaja (nanti akan saya jelaskan sebabnya). Terasa kerdil pula... Ya, sangat kerdil kerana setelah masuk ke dewan (tempat bengkel dijalankan, barulah kami tahu kami bersama siapa di dalam bengkel tersebut).
*** Suasana sewaktu bengkel berlangsung ***
Paginya sewaktu bersarapan, saya bersama dengan seseorang yang sungguh mesra. Di kala beliau 'tumpangkan' kopinya di meja kami, saya berkata "Puan, don't forget your coffee". Beliau menyambut pesanan saya dengan berkata "Sudah berapa kali pagi ini saya makan. Di hotel sudah makan, di sini pun makan lagi. I love food" Saya kemudiannya membalas "Me too". Lepas itu barulah saya tahu beliau ialah Puan Azmah Nordin. Oh, malunya... sebab tak kenal penulis tersohor... Ya, kerdilnya kami kerana bengkel tersebut turut dihadiri oleh Dr. Zurinah Hassan, PM Dr. Lim Swee Tin, Dato' Baha Zain dan ramai lagi yang mungkin saya sendiri, kerana kedangkalan saya tidak kenal mereka semua.
Bengkel yang penuh warna-warni itu dimulakan dengan pembentangan oleh Dr. Salleh (Presiden PENA)yang kemudiannya mengusik Dr. Zurinah yang masuk sedikit lewat dan lalu depan khalayak dengan berkata "Model lalu... model 70-an" dan kemudian disambut oleh gelak tawa kami semua dan kelihatan Dr. Zurinah tersipu-sipu malu. Yang paling saya tak akan lupa apabila kawan saya kata "Aku demam hari ni (besoknya). Mungkin semalam sebab jumpa para senior yang berperangai 'pelik-pelik' (maksudnya kelakar dan bukan seperti orang dewasa. Lagak mereka juga seperti kami-kami sahaja. Alahai, para penulis, para pemuisi... orangnya tentulah berseni... halus dan ada karakter yang tersendiri. :)
*** Saya bersama Dato' Baha Zain dan kedua-dua orang sifu yang amat saya hormati. Hanya sempat ambil gambar bersama Dato' Baha kerana telefon bimbit saya sangatlah canggih ***
Berbalik kepada Bengkel Penilai Manuskrip ini, sebenarnya kami (editor) yang dijemput bukanlah layak hendak menjadi penilai seperti tokoh yang disebut di atas tetapi sekadar perkongsian maklumat yang lebih menyenangkan kerja pelbagai pihak kelak dan saya, tentunya merasakan bengkel ini amat bermanfaat kerana di dalamnya turut disebutkan karya-karya yang akan dipilih dan yang tidak akan dipilih oleh pihak PENA dan ITBM. Sambil menyelam minum airlah! Hehehehe...
Sebaik pulang dari bengkel itu, banyak ilmu bermanfaat yang diperoleh yang kemudiannya saya kongsi bersama rakan penulis agar mereka dapat menghantar karya ke ITBM dan yang penting diterbitkan. Sedikit saya kongsikan input yang saya peroleh daripada bengkel tersebut antaranya pihak ITBM & PENA akan menolak manuskrip buku kanak-kanak seperti buku bergambar kerana tiada nilai sastera di dalamnya. Kemudian, cerita-cerita cinta mudah,ala... seperti yang kebanyakannya di pasaran kini. Turut digalakkan bagi penulis yang mahu menghasilkan cerpen agar menghantar kumpulan cerpen dan seboleh-bolehnya bukan antologi cerpen kerana jika pihak PENA & ITBM mahu menilainya agar sukar (kerana ramai penulis)
Nah, sekarang saya perkenalkan... inilah wajah-wajah yang selama ini mencantikkan lagi tulisan kalian di luar sana. Helaian demi helaian diteliti agar karya kalian menjadi cantik malah sangat cantik.
*** Saja saya letak bingkai yang berbunga-bunga... biar mereka mengedit dengan hati yang lebih berbunga riang... :p ***
Bengkel tersebut memang meninggalkan kesan buat saya. Baik dari segi menambah semangat (kerana pada hemat saya, inilah dunia yang perlu saya kembangkan... dunia penulisan dan bergaul dengan mereka yang sewajarnya agar dapat mengutip ilmu-ilmu daripada mereka yang arif. Kalau ada bengkel seperti ini lagi, tak salah kalau jemput editor kerdil ini ya? (^^,)V
Subscribe to:
Posts (Atom)