Semoga Ia Mengukir Senyuman...

Semoga Ia Mengukir Senyuman...
Karya-karya Nazrie Haslieanie

Monday, September 27, 2010

Sedang sambung belajar

Saya sedang sambung belajar… tetapi saya sambung belajar di universiti terbuka PTS. He he he… Saya sememangnya ingin sambung belajar akan tetapi, masalah kewangan yang menyebabkan niat saya terbantut. Jadi, saya ‘sambung’ dahulu pengajian saya di situ.

Tidak saya sangka, pengalaman pertama kali belajar dengan sifu Ainon mengujakan saya untuk terus-terusan mengutip ilmu daripada beliau. Gaya belajar yang santai dan menarik (walaupun ada para pelajar yang hadir terpaksa berada di luar kelas dan duduk di atas lantai kerana ruang belajar yang sempit), namun sesungguhnya itu tidak menghalang para ‘pelajar’ yang berminat untuk terus setia menghadirkan diri.

Saya sebenarnya pernah mendapat ‘jemputan secara tidak rasmi’ oleh sifu pada tahun lepas untuk mengikuti kursusnya. Namun saya hanya sempat mendaftar dan tidak pula saya hadirkan diri kerana pada masa itu saya agak kesibukan.

Tiba-tiba saya berasa rugi kerana lewat menghadirkan diri. Apatah lagi jika terlewat masuk ke kuliah. Semalam, sifu memulakan kuliah lebih awal daripada masa yang dinyatakan. Jadi, saya dan rakan pula terpaksa duduk di belakang dan saya sememangnya tidak suka berada di belakang semasa belajar. Apatah lagi dengan keadaan mata yang tidak mengizinkan, lagi merimaskan saya.

Tidak mengapa, saya nekad... untuk kuliah yang akan datang saya akan sampai lebih awal. Maklum sahajalah, saya terpaksa menaiki komuter dan juga menaiki LRT. Perjalanan saya dirasakan terlalu lama... namun apabila bercerita bersama ‘pelajar’ lain, rupa-rupanya ada dalam kalangan mereka yang datang dari Johor Bahru dan Singapura. Saya ternganga seketika. Kekaguman meresapi diri saya. Lihatlah, betapa rela orang yang dari jauh datang demi mendapatkan ilmu... dan sekiranya mereka yang hanya berada di sekitar Kuala Lumpur tidak dapat menghadirkan diri, sebenarnya mereka rugi sekali. Rugi kerana tidak mendapat sesuatu yang bermanfaat.
Moga-moga saya akan bergraduasi dengan cemerlang pada hujung tahun ini.
He he he (^^,)V


*saya dan rakan-rakan pose sehari sebelum hari graduasi
peringatan: jangan betulkan skrin komputer anda...(^^,)V

Teruskan berkarya!

Akhirnya saya kembali menulis cerpen. Dalam cerpen tersebut saya selitkan sedikit pengalaman saya ke Gunung Ledang. Namun, ceritanya bukanlah tentang Gunung Ledang secara keseluruhannya. Tajuknya dan apakah jalan ceritanya biarlah rahsia kerana cerpen tersebut masih dalam penilaian editor yang berkaliber. Saya baru sahaja menghantarnya dan saya perlu bersabar menantikan jawapan daripada pihak editor tersebut.

Seingat saya, kebanyakan cerpen saya menggunakan kaedah eponim (kaedah mengangkat nama watak utama sebagai judul cerita). Cerpen yang paling saya gemari tentu sekali “Alahai Ayah”. Sebuah karya yang sangat bermakna buat ‘budak baru belajar’ pada masa itu. Tatkala mendapati cerpen tersebut di Majalah Mingguan Wanita, saya melompat kegembiraan. Masakan tidak, karya pertama saya (yang dihantar kepada pihak penerbit) diterbitkan. Kita tutup dahulu kisah-kisah lalu saya. Jika punyai kelapangan, tentu sekali saya akan berkongsi cerpen-cerpen saya itu.

Berbalik kepada cerpen baru saya, sedikit pengalaman yang saya kutip semasa di Gunung Ledang, saya zahirkan ke dalam cerpen tersebut. Tentu sekali banyak perkara menarik yang terjadi memadangkan saya tidak pernah berkhemah di dalam hutan. Apabila menonton rancangan realiti ‘Gadis Melayu’ pada baru-baru ini yang diberi tugasan berkhemah di dalam hutan, saya mendapat sedikit ilmu daripada rancangan tersebut. Tiba-tiba saya ingin pergi berkhemah lagi. Tapi...(^^,)



-Cara untuk menghidupkan api pun kami tidak tahu, alahai...



-Teknik terkini membancuh teh...

Friday, September 24, 2010

Isy...isy...isy...

Alahai, sudah lama tidak update blog saya hinggakan saya hampir-hampir terlupa kata laluannya...ya, terlalu banyak yang ingin saya kongsikan namun terlalu banyak juga kekangan untuk saya menghadirkan diri di laman ini.
Insyaallah, akan ada sesuatu untuk dihidangkan...cuma perlukan sedikit kekuatan dan masa untuk menterjemahkannya...