Semoga Ia Mengukir Senyuman...

Semoga Ia Mengukir Senyuman...
Karya-karya Nazrie Haslieanie

Monday, March 29, 2010

Pesta Buku, Seronok!!!



Pada hari kedua pesta buku bermula, saya berada di booth KarnaDya. Memenuhi jemputan la katakan. Di dalam gambar itulah saya bersama dua orang sahabat penulis sedang menandatangani buku masing-masing (sign autograf > sudah macam artis pula rasanya) he...he...he...

Saya dan penulis Aqmaer Halim hanyalah tersenyum-senyum ke arah pengunjung yang datang akan tetapi lain cerita bagi penulis Sekuntum Mawar Buat Adikku, Puan Balqis MZ. Sepanjang berada di sana, beliau dapat menjual 10 buah buku beliau sendiri. Saya dan Aqmaer memang tabik kepada Puan Balqis. Dia mempunyai kemahiran persuasif yang bagus. Bijak memancing pembeli dengan caranya yang tersendiri. Beliau juga turut mempromosikan buku Si Belang dan Sayang Kakak. Kalau harapkan kami, sampai bila-bila kami tak mampu untuk mempromosikan buku kami sendiri.

Walaupun begitu, pengalaman ini amat bermakna dalam hidup saya. Mungkin saya bukan penulis hebat namun, sesuatu yang pasti ialah saya gembira dan bersyukur dengan perkara yang sedang saya lakukan di sini. Langkah pertama yang saya atur, pastinya akan saya jejaki hingga ke akhirnya. Nokhtahnya bukan di sini. Ini hanyalah permulaan. Sedikit dugaan dan cabaran yang mendatang moga-moga saya gagah menempuhinya. Saya tidak membeli apa-apa buku pada tahun ini tapi saya memperoleh pengalaman yang terlalu mahal harganya yang tak dapat dibayar oleh sesiapa.

Tuesday, March 16, 2010

Kita Mulakan Ya! Huuuu...



Kawan-kawan,
Pernahkah kawan-kawan memiliki barang-barang yang kawan-kawan suka? Adakah kawan-kawan masih menyimpannya sehingga ke hari ini? Tentunya barang-barang tersebut mempunyai 'nilainya' yang tersendiri. Nilainya bukan dari harganya sahaja, kawan-kawan malahan juga boleh jadi barangan tersebut merupakan pemberian daripada ayah ibu atau sesiapa sahaja. Seperti barangan di dalam gambar ini, terdapatnya barangan yang pernah dihadiahkan oleh murid-murid saya semasa mengajar dahulu. Shrek kesukaan saya itu pula pemberian daripada seorang sahabat saya.

Pen holder ladybird itu juga pemberian sahabat saya di hari terakhirnya bekerja. Frame gambar rama-rama pula adalah hadiah tempat kedua sewaktu saya memasuki pertandingan mendeklamasikan sajak di universiti. Cantik, bukan? Benda yang paling lama yang pernah saya simpan di dalam gambar tersebut ialah pasu bunga kecil (yang berdekatan jam) yang saya panggil bunga kaca. Bunga tersebut pemberian pak cik saya semasa di sekolah rendah. Saya menyimpannya sehingga ke hari ini. Sesungguhnya setiap barang tersebut mempunyai kisahnya tersendiri. Bagaimanakah pula dengan kawan-kawan? Apakah barangan kesayangan kawan-kawan dan kisah di sebaliknya. Jika ada, kawan-kawan kongsi ya!