Semoga Ia Mengukir Senyuman...

Semoga Ia Mengukir Senyuman...
Karya-karya Nazrie Haslieanie

Sunday, August 14, 2016

Kisah Orang, Orang Kisahkan

Usai pertemuan dengan penulis yang terlibat sama dalam buku yang saya tangani. Beliau juga merupakan seorang penulis dalam antologi cerpen yang turut saya sertai. Pada waktu itu, sempat juga beliau menyelit tentang pesta buku tempoh hari. Katanya, ada seorang penulis muda yang datang ke reruai hampir setiap hari dan bukunya laku terjual. Pertemuan dia dengan pembaca juga membuatkan bukunya laris. 

Itu namanya usaha. Saya terkejut. Secara peribadi saya tidaklah mengenalinya begitu mendalam namun ada banyak kisahnya dikisahkan kepada saya. Namun suatu hal yang saya pelajari, kita sibuk kisahkan orang begitu begini. Seperti contoh, dia tak bagus. Perangainya teruk (ini komen tentang keperibadian). Manuskripnya macam orang tak pernah menulis tapi perasan bagus (ini komen tentang bahannya). Semua ini sekadar contoh. Tapi mungkin kita tak sedar, seseorang itu ada usaha di luar kemampuan kita. Mungkin kita juga tak sedar yang bahan yang bagus, jika disimpan di dalam stor dan tidak terjual maka penulis dapat apa? Sekadar habuk di kulit buku-buku itu saja? 

Sekurang-kurangnya dia ada kemahiran bercakap dan bertemu dengan orang. Harapkan saya? Sikit-sikit malu, sikit-sikit tak mahu 'paksa' orang beli buku sebab kasihan. Aduhai, sebab itu tak boleh jadi penjual! Teknik pemasaran awal-awal lagi sudah gagal. Diam tak diam memang saya mengaguminya apabila mengetahui kisahnya daripada sisi yang berlainan. 

Kisah yang orang kisahkan tu, dengar saja tapi jangan sampai kita bersikap tidak adil pada pihak lagi satu sebab kita pun tak tahu pihak yang mengisahkan kisah itu sejauh mana benarnya.

Sunday, August 7, 2016

Karya 2016

Jika diikutkan, sasaran saya pada tahun ini ialah 10 buah buku diterbitkan. Namun, semua itu hanyalah perancangan sahaja. Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, dua buah buku sudahpun ditangguh penerbitannya pada tahun hadapan. Begitu juga buku kanak-kanak saya yang sepatutnya pada tahun ini, dianjak juga ke tahun depan. Positifnya, tahun hadapan saya masih ada buku baharu. Cuma jangan dianjak lagi tempohnya sudahlah! Tak sanggup rasanya.

Pada tahun ini, karya yang tidak dirancang langsung ialah buku antologi puisi (yang masih belum saya tuntut). Sesuatu yang baharu juga tu sedangkan saya tak pandai tulis puisi. Jika berkelapangan, saya kongsi puisi-puisi itu di sini nanti. Untuk hari ini, saya persembahkan karya-karya saya yang sudahpun terbit pada tahun ini dan bakal terbit tidak lama lagi. 

***Antologi Sedetik.doc***


*** Antologi Cerpen Untukmu Ibu***

 ***Antologi Puisi Bahtera Peradaban***

 ***Antologi Cerpen Sarkas II***

***Antologi Cerpen Cupcakes***

Masih ada 5 bulan dalam tahun 2016 ini untuk saya merealisasikan impian saya itu. Diharapkan impian 10 buah buku itu bakal menjadi nyata. Insya-Allah... amin... 

2016, Kembalinya ke Dunia Penerbitan Buku

Tahun 2016, saya kembali ke Kuala Lumpur. Di sini, saya ditawarkan jawatan editor di sebuah syarikat yang cukup dikenali. Saya teruja? Jika ditanya, saya mampu jawab biasa-biasa saja. Kembali menjadi editor bermakna kembali merentas masa juga kurikulum. Kali ini subjek yang dikendalikan juga bertambah. Memandangkan saya masih di rumah lama, perjalanan ke tempat kerja juga memakan masa dan saya cepat penat. Apa kena mengena penat dengan perkara yang saya nak kongsi? Apabila penat, saya tidak mampu lagi jadi 'burung hantu' seperti dulu. Nak menulis, walaupun otak kembali meligat dengan macam-macam hal namun kekuatan saya tidak lagi seperti selalu. Eh, cakap macam dah tua sangat, kan? Hahaha...

Kembali ke 'lubuk rezeki' sememangnya memberi banyak pengalaman baharu buat saya. Jangan tak tahu, saya ditemuramah oleh pelajar universiti bagi tugasan mereka tentang proses kreatif saya. Terkejut juga kerana siapalah saya ini namun saya tetap teruja kerana mereka sudi menjadikan saya sebagai tempat rujukan. Maaf juga kepada mereka kerana bagi saya tidak banyak membantu. Sekadar informasi biasa saja yang dapat saya kongsi. Yang paling teruja mereka menambah dalam laporan mereka, tentang pandangan mereka terhadap saya. Allah... terima kasih atas pandangan positif itu.

Kemudian, saya dihubungi oleh pensyarah saya untuk berkongsi cerita kejayaan saya dalam bidang penulisan malah saya 'diangkat' oleh mereka sebagai penulis prolifik. Sekali lagi, sesuatu yang di luar imaginasi saya. Prolifik, saya belajar perkataan ini sewaktu saya di universiti. Pada waktu itu Tuan Ahadiat Akashah menjadi tamu dalam forum yang dianjurkan oleh pihak fakulti. Saya hanya penonton. Tidak pernah terdetik bahawa saya akan menjadi prolifik (itu pun bukan saya yang berikan 'pengiktirafan'). Dua orang penting, iaitu Puan Pengerusi Syarikat saya serta Puan Pensyarah yang berikannya. Saya hanya mampu bersyukur ke hadrat-Nya dan 'pengiktirafan' itu memberi saya satu inspirasi untuk terus berkarya dan bukan menjadi bodoh sombong dengan nikmat kurniaan-Nya.

Tidak lama selepas itu, seorang lagi pelajar tingkatan enam juga menghubungi saya dan meminta maklumat ringkas tentang saya. Saya memang tidak keberatan untuk beri kerjasama namun sebolehnya para pelajar juga tidak keberatan untuk kongsi perkembangan kerja tersebut dengan saya sebagai rekod sendiri sahaja.

Atas dasar kepercayaan juga, saya diberi tanggungjawab oleh senior dalam bidang penulisan untuk menjadi penyelenggara dalam antologi cerpen. Sekarang, antologi itu berada pada peringkat pengumpulan bahan sekali gus pada peringkat penyuntingan. Apa yang membuatkan saya teruja, beberapa orang rakan saya turut sertai antologi itu yang sekian lama saya nantikan mereka untuk menulis. Tahniah buat mereka!

Alhamdulillah, itulah seputar perjalanan saya pada 2016. Walau apa jua yang saya alami, saya mesti terus berkarya. Penat? Waktu melayan penat sudah habis. Sekarang saya mahu tumpu memuntahkan segala macam idea yang bersarang di minda. Jumpa karya saya nanti ya!

Jalan Tuju Jaya Itu Berliku

LUAHAN: Pada baru-baru ini saya berasa sedikit kecewa apabila dua buah buku saya bersama seorang rakan (kami menulis bersama) dikatakan bakal terbit pada tahun depan. Sudah dijanjikan untuk terbit, apa mahu lagi kan? Ya... itu memang benar tapi manuskrip itu kami hantar kepada penerbit pada penghujung 2013. Kemudian, 2014 sepi... lalu saya minta rakan saya itu (kerana dia yang ditugaskan untuk tanya tentang perjalanan manuskrip) kepada pihak penerbit. Maka pada 2015 kami menyemak pruf nya. Pada 2016 dikatakan bahan itu bakal terbit (mungkin) pada pesta buku antarabangsa (tapi sudah lepas). Kali ini saya pula yang tanya tentang manuskrip itu. Kata editor, bakal terbit pada pesta buku negeri. Namun masih tiada. Selepas itu, mungkin diterbitkan pada penghujung 2016 dan paling baharu status yang dimaklumkan kepada rakan saya (kerana saya sudah penat mahu tanya) buku-buku itu bakal terbit pada tahun depan. Harapnya bukan pada bulan Disember tahun depan. Kami menunggu anak-anak kami itu dilahirkan dengan penuh pengharapan... kami faham, editor pun susah hendak jangka bila buku mahu terbit jika pihak atasan tidak memaklumkan apa-apa. Malah kami faham, pada kali ini juga akibat daripada pelbagai hal maka buku yang menjadi mangsa namun kami ini bukan lagi anak-anak kecil yang boleh disuap ke mulutnya dengan alasan sebegitu sedangkan buku lain (mungkin sebab orang-orang itu merupakan orang penting atau ternama) diterbitkan pula.
Sudahlah lama tidak tulis apa-apa di blog. Sebaik tulis, saya membebel tentang hal sebegini. Maaflah, saya mahu katakan hal sebenar. Jika tidak, orang anggap... kita tabur manuskrip saja, terus orang terima. Sedangkan hakikatnya sukar ditelan... 

Sunday, November 1, 2015

Cerpen Pertama dan Berikutnya

Sejak saya menjadi penulis sepenuh masa iaitu selama hampir 6 bulan ini, boleh saya katakan sudah 11 buah cerpen berjaya saya hasilkan. Walaupun pencapaian tidaklah membanggakan seperti mana penulis yang memang pakar dalam penulisan cerpen, saya tetap memandang 11 buah cerpen itu sebagai satu pencapaian yang agak baik sebabnya, saya sudah terlalu lama berhenti menulis cerpen (lebih tepat cerpen dewasa).

Seawal penglibatan saya sebagai seorang penulis, saya menulis cerpen dan hantar ke majalah Mingguan Wanita pada masa itu yang memang perlukan cerpen yang banyak kerana ia terbitan secara mingguan. Jadi, saya dan rakan-rakan pada masa itu ambil peluang dan setiap kali cerpen terbit di majalah, kami sangat teruja hingga mahu saja lompat bintang. Di bawah ini, merupakan anak sulung saya yang memberikan laluan kepada saya untuk terus berkarya.


***Alahai Ayah, terbitan Mingguan Wanita tahun 2005***


Seperti kebanyakan karya yang saya hasilkan, ia tentang kekeluargaan dan hubungan antara anak dan ayah. Pada masa ini masih terlalu hijau dalam bidang penulisan. Namun, ia pengalaman yang berguna buat saya.

Berbalik kepada 11 cerpen yang dihasilkan itu, ia terhasil kerana beberapa pertandingan yang dianjurkan oleh beberapa penerbit. Namun, daripada 11 buah cerpen ini, dua daripadanya ditolak penerbit. Cerpen yang ditolak itu mungkin sangat tidak kena temanya kerana bahasa yang saya gunakan seperti bahasa purbakala hehehe... manalah orang sekarang hendak baca, kan? 

Cerpen kedua yang kononnya ditolak, membuatkan saya bertambah terkilan hingga saya bertanyakan kembali sebab cerpen saya itu ditolak. Namun, mungkin sudah rezeki saya sebenarnya cerpen itu tidak ditolak pun cuma pengendali tersalah pandang. Alahai, kalau saya tak berkeras (dan masih seperti dahulu yang selalu saja membiarkan segala keputusan penerbit, pasti saya tak berpeluang untuk lihat cerpen saya itu diterbitkan. Cerpen yang sememangnya ditolak pula saya tidak diberikan apa-apa sebab munasabah. Jadi, saya ambil keputusan tidak perlu lagi menulis untuk penerbit itu. Saya bukan berputus asa tapi dari setiap bahan yang ditolak, saya semakin tahu bahan yang kena dengan cara rumah penerbitan tersebut.

Cerpen saya yang lain-lain pula adalah kerana saya ingin sekali terlibat dengan hal-hal kesusasteraan yang dianjurkan oleh salah sebuah penerbit yang berdekatan dengan negeri saya. Ini juga peluang yang saya tak lepaskan. Saya hantar dua buah cerpen ke penerbit berkenaan (dan walaupun masih belum terima apa-apa perkhabaran, saya akan menantikan dengan penuh sabar)

Cerpen lain juga yang dihasilkan mesti menggunakan tema yang diberikan. Dari situ, penulis perlu menjadi lebih kreatif dalam menghasilkan karyanya. Bagi saya pula, cerpen yang menggunakan tema sebegitu adalah unik. Saya menghantar setiap satu tema hanya sebuah cerpen manakala penerbit sebuah lagi, tidak perlu menyebut tema di dalam cerpen berkenaan. Hanya perlu hantarkan karya bebas.

Dua buah cerpen saya yang sudahpun diterima (dan salah satunya berada dalam antologi Sedegup Cinta) dengan senang hati saya menunggunya ke tangan saya. Cerpen yang sebuah lagi itu sudah masuk fasa penyuntingan dan semakan (agar penulis tidak memplagiat karya kerana timbul isu besar yang terjadi baru-baru ini jadi penerbit makin berhati-hati dan sewajarnya begitu).

Kesemua pengalaman menulis cerpen ini memang menyeronokkan. Cuma rasa sedikit pening sebab nak fikir cerpen yang lebih baik dan tak klise. Nanti ada yang kata cerita terlalu klise dan sudah dijangka pula pengakhirannya. Apapun, diharapkan tujuh buah cerpen saya yang lain itu berjaya mendapat tempat di hati penerbit sekali gus diterbitkan. Jika ia diterbitkan, jadi adalah peluang saya untuk ada banyak buku pada tahun 2016 (upss, salah satu impian sudah terburai rahsianya...) (^^,)V 



Friday, October 30, 2015

Apa yang Ada Sepanjang 2015?

Apa yang ada? Banyak sebenarnya. Antaranya, empat buah buku saya terbit termasuk yang paling baharu (cerpen dewasa). Wah, dah tulis cerpen dewasa sekarang? Alahai, jangan disulitkan benda yang mudah, jangan disempitkan benda yang sebenarnya sangat terbentang luas. Apabila bercakap soal cerpen dewasa atau novel cinta mesti kita terbayangkan kisah-kisah cinta yang ditayangkan di dalam televisyen itu, bukan? Ia memanglah sebahagiannya saja namun cinta itu luas sekali pengertiannya. Eh, apa kata kisah dan buku 'cinta' saya tu saya perincikan dalam entri yang lain dan kali ini kita reviu dulu serba sedikit buku saya yang ada pada tahun ini dan pada 2014 yang saya berhenti menulis seketika dulu tu. Terimalah... dipersembahkan...

***Apabila Ibu Ambil Cuti, novel kedua terbitan ITBM***

TAJUK: APABILA IBU AMBIL CUTI
TERBITAN: ITBM
TAHUN TERBITAN: 2014
KISAHNYA: Kisahnya pasal apa? Kenapa pula ibu ambil cuti? Ke mana? Ke Paris, London, New York, Bangsar South? Hah, semua ni akan terjawab apabila buku ini berjaya rakan-rakan hadam. Kisah remaja yang santai saja sebenarnya dan juga ceritanya biasa tapi insya-Allah setiap daripada buku-buku saya tentu ada mesej yang hendak disampaikan. Ya lah, kalau tak ada mesej hendak disampaikan, takkanlah buku ini mendapat tempat di hati para pemilih dari Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada tahun 2015 dan membelinya sebanyak 502 naskhah. Alhamdulillah itu rezeki. Rezeki tak disangka buat seorang "Penganggur Kelas Pertama"

***Ketiga-tiga buku bergambar pertama saya***

TAJUK:BOLEHKAH AIMAN..., PARI MAHU TERBANG, DONAT BERWARNA-WARNI TERBITAN: BUKU PRIMA
TAHUN TERBITAN: 2015
KISAHNYA: Buku bergambar pertama saya. Masa hasilkan buku-buku ini banyak sekali kesukaran saya hadapi dan juga pengalaman baharu yang saya kutip di sepanjang menyiapkannya. Pertama sekali, menghasilkan buku bergambar bersama pelukis yang saya cari sendiri atau saya akan 'dipasangkan' dengan mana-mana pelukis yang mungkin saya tidak kenali sama sekali. Alhamdulilah, seorang rakan editor membantu saya dengan memperkenalkan kepada sepupunya yang juga seorang pelukis. Sepanjang proses itu juga, beberapa kali saya diminta untuk mengubah lukisan (kerana pelukis pertama tidak menepati kehendak pihak penerbit hingga akhirnya saya diperkenalkan oleh editor berkenaan). Saya juga membayar sejumlah wang bagi lukisan untuk buku-buku itu (pada waktu ini belajar keluar modal sendiri). Rasa parah juga tapi itulah pelaburan yang saya lakukan sebab pelukis tersebut tidak mahu berkongsi royalti. Sebuah surat perjanjian turut kami tandatangani. Sepanjang proses penulisan juga, oleh kerana kekangan masa, saya pernah menaip bahan saya ini sewaktu saya menunggu bas di hentian bas hanya dengan menggunakan telefon bimbit yang kecil pada masa itu. Mata pun boleh sakit tapi memandangkan saya perlu mencuba untuk ambil peluang ini, saya tidak hiraukan semua itu. Apatah lagi saya pernah juga ke kafe siber semata-mata mahu siapkan bahan berikutnya demi mengejar tarikh akhir yang semakin hampir. Namun syukur kepada-Nya, kerana ketiga-tiga manuskrip saya diterima untuk diterbitkan.

***Sedegup Cinta, kisah cinta yang pelbagai***

TAJUK: ANTOLOGI CERPEN SEDEGUP CINTA
TERBITAN: SO PUBLICATION (DENGAN KERJASAMA GMM)
TAHUN TERBITAN: 2015
KISAHNYA: Apabila terbaca satu tawaran menulis cerpen, saya mencubanya. Walaupun tahu ia mungkin akan menjadi sebuah cerita yang kaku (mungkin) namun bukan saya yang menilai. Lagipun salah satu sebab saya suka untuk menulis dalam antologi ini adalah kerana ia kisah cinta yang sentiasa berlegar di sekeliling kita yang mungkin jarang kita beri perhatian. Cinta itu luas. Bukan terbatas pada lelaki dan perempuan ajnabi saja. Cinta pada kucing, pada agama, bangsa, kerjaya. Itu kategori cintalah tu! Tapi istimewanya penerbitan kali ini, ia tidak dibayar royalti atau belian putus akan tetapi kami para penulis yang terlibat perlu membayar sejumlah wang (untuk kos percetakan dan sebagainya) dan diberikan 20 buah naskhah buku untuk dijual. Ia masih segar dan wangi di tangan saya sebab baru keluar dari gudang. Saya pun masih dalam proses membuat pengeposan. Insya-Allah dan alhamdulillah untuk setiap perkara indah yang terjadi pada tahun ini. Sasaran tahun 2016? Hemmm... (^^,)